01 December 2011

Menjulang Sayang Kasih Kekasih


Setelah hampir  tujuh bulan aku berpindah ke daerah ini maka isteriku  akhirnya dapt juga mengikutiku. Jangan sekali menyangka aku tidak suka dia mengikutiku. Aku malah sangat mengharapkan dia sentiasa di sampingku. Ini disebabkan  sangat-sangat banyak keperluan seorang suami sekaligus  seorang lelaki yang perlu dibereskan oleh si isteri.  Bukankah tempat seorang isteri itu di sisi suami? 

      Kelewatannya berpindah mengikutiku hanyalah disebabkan proses birokrasi di Jabatan peringkat Negeri. Kini isteriku sudah ada tinggal bersamaku. Kami tinggal di sebuah rumah guru. Isteriku seorang guru. Rumah ini terletak  berhampiran sekolah. Anak-anak kami yang seramai tiga orang tentu sekali turut bersama.  Namun begitu, anak kami yang sulung hanya akan berada di rumah sekali sekala kerana dia tinggal di asrama.  Sebelum isteriku datang ke sini, aku tinggal menyewa bersama tiga lagi rakan di sebuah rumah di  taman perumahan.

       Masa berlalu. Isteriku memang aku akui, seorang yang sangat cepat menyesuaikan diri. Dia dengan mudah melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya di sekolah tempat dia bertugas. Dia selalu diberi kepercayaan oleh Guru Besar dan rakan-rakan sekerja untuk  mengetuai sesuatu Jawatankuasa kerja. 

        Aku bangga dengan kelebihannya itu. Namun dalam masa yang sama aku jadi amat kasihan pula kepadanya. Manakan tidak . Dia merupakan guru yang paling banyak jumlah  jam mengajar dalam sehari. Bermula pukul 7.45 pagi hinggalah pukul 12.00 tengahari, setiap hari,  lima hari seminggu, dia terus berada di kelasnya mengajar dan mendidik murid-muridnya. Inilah tugas guru prasekolah yang sering tidak disedari oleh guru lain atau guru besar sendiri.  

        Tidak seperti guru-guru lain yang  masa keluar masuk kelas mereka akan diselangi dengan waktu kosong (free period).  Waktu kosong ini dapat digunakan untuk minum, rehat, menyiapkan rancangan mengajar, memeriksa latihan murid, malah untuk berbual-bual, bertukar fikiran dengan guru-guru lain. Menurut isteriku, dia tidak punya masa untuk bersembang di bilik guru. Malah meja atau tempat duduk untuknya memang tiada disediakan di bilik guru.

       Jika memikirkan kepadatan jam bekerjanya itu, adalah demokratik jika jawatan-jawatan lain tidak diberikan kepadannya.  Berilah kepada guru lain. Guru Pemulihan Khas  misalnya, yang pada  zahirnya memang kelihatan agak santai di sekolah. Guru Pemulihan Khas sejak akhir-akhir ini semakin hilang peranan. Jumlah murid pemulihan semakin merosot dengan drastic.  Ini  ada kaitan dengan kejayaan program Kelas Intervensi Awal atau Literasi Numerasi yang menunjukkan kesan yang sangat positif. Semakin ramai murid yang dapat membaca dan menulis serta mengira sebelum berakhirnya Tahun Satu.  Menurut isteriku,murid di kelas prasekolahnya hanya seorang sahaja  yang belum mampu membaca. Nah! Kalau begitu, apa yang tinggal untuk Guru Pemulihan Khas? Di sekolah isteriku itu, murid pemulihan hanya seorang. Itupun  masih belum pulih-pulih lagi..!


NOTA: INI ADALAH SEBUAH CERITA PENDEK (CERPEN). BERSTATUS PERCUBAAN..  AKAN BERSAMBUNG...



No comments:

Post a Comment