07 March 2012

lagu cinta lama (iv)


KEMISKINAN ADALAH KEKEJAMAN!!

Ibu Ramlah, Rupawan namanya,  mengambil upah menoreh getah. Getah tua daripada baka yang ditanam biji, bukan getah klon, tidak menghasilkan susu getah yang banyak. Kulit pokok getah itu pun sudah beberapa kali pusingan torehannya setelah beberapa tahun. Ditokok lagi harga getah yang tidak stabil mainan pasaran dunia, ditambah lagi dengan kudrat  Rupawan yang tidak sekuat mana, dicampur dengan kekerapan hari hujan, di samping kebun getah yang semak samun.  Selalu juga Rupawan diserang sakit pening, demam sejuk, lenguh lutut atau luka-luka ringan. Setiap minggu Rupawan akan mengutip getah untuk dijual ke tauke Cina. Duit ini akan dibahagi dua pula dengan tuan punya kebun getah.  Maka banyak mana lah hasil yang diperolehi . 

Ayah Ramlah, Silong,  bekerja dengan tauke balak, Pan Jang.   Sering juga  Silong tidak balik ke rumah berhari-hari. Dia masuk hutan menebang balak.  Bila  balik, Silong  hampir tidak pernah membawa wang.  Rupawan, Ramlah dan adik-adik Ramlah tidak berani bertanya. Silong lebih banyak berdiam diri. Watak ayah dulu-dulu memang tak banyak cakap, tegas, dan ditakuti oleh anak-anak. 

Dengan wajah yang manis, mahir mengurus kerja rumah, ada sedikit pelajaran  dan bertanggungjawab, Ramlah adalah gadis pingitan. Gadis kampung yang suci lagi naif dari godaan hidup kota yang menghancurkan.  Ramlah dianggap sudah  layak berumahtangga. Inilah nasib anak perempuan seperti Ramlah.  Lantaran kemiskinan, melepaskan anak perempuan pergi dari keluarga mungkin suatu pilihan bagi meringankan beban.  Ramlah harus dikahwinkan segera.

Sebagai anak yang taat kepada ibu dan ayah, Ramlah tiada pilihan. Untuk terus tinggal di rumah, dia  tidak dilihat perlu lagi. Adik perempuannya yang berusia 14 tahun sudah sedikit boleh membuat kerja rumah.  Untuk sambung belajar, Ramlah sudah lama meluputkan impian itu dari benaknya. Untuk bekerja di bandar, dia takut kerana tidak pernah berjauhan dari keluarganya. Lagipun tidak pernah ada  anak perempuan di kampungnya yang bekerja di bandar. 

Ayahnya mahukan dia segera berkahwin. Apakan daya. Jika boleh dia mahu  terus tinggal lagi di rumah bersama ibu dan adik-adik. Belum puas memeluk ibu dan adik-adik. Belum puas memarahi dan menyayangi adik-adik. Belum puas berbakti kepada ibu. Paling tidak untuk beberapa tahun lagi. Dia belum bersedia untuk berkahwin.  Namun, rata-rata kawan-kawannya sudahpun berkahwin. Oh ya, memang anak-anak  gadis di kampungnya itu berkahwin pada usia belasan tahun.

1 comment:

  1. kefakiran membawa kepada kekufuran.
    nauzubillah...

    ReplyDelete