08 June 2012

BERNIAGA DI SEKOLAH



Tidak lama lagi bulan Ramadhan bakal menjelma. Selain ibadat berpuasa, ramai yang akan sibuk memikirkan kuih muih dan juadah berbuka puasa.  Memikirkan juga kuih-kuih raya.  Jangan bimbang, akan ada pihak yang menyediakan khidmat menjual kuih raya di tempat kerja.  Lihat sampel dalam katalog. Atau sampel kuih sebenar.  Boleh cuba rasanya.  Jika berkenan, sila buat tempahan. Macam-macam  jenis.  Tart nanas, mama carey, biskut makmur....



Di sekolah, cikgu ambil peluang jual kuih raya. Itu jika musim raya. Di luar musim, lain pula produknya. Dari kain batik, tudung, kerongsang, pinggan mangkuk,  alat mekap, produk kesihatan atau pizza buat sendiri. Macam hal ehwal wanita di situ. Jika guru lelaki , produk  ICT, MLM, hal ehwal kereta, ikan patin, sayur-sayuran, buku agama.

Soalan. Sejauh mana aktiviti berniaga di sekolah menjejaskan kerja buat utama di sekolah?  Core- business guru di sekolah ialah mengajar.   Guru mengajar, murid belajar.  Jika guru sibuk menjual beli barang di bilik guru, mungkin kelaspun tertinggal. Atau terlewat masuk kelas. Terkadang sedang mengajar di dalam kelas, masih lagi menjawab telefon berhubungan dengan pelanggan. Atau rakan berbincang tentang produk.  Ataukah tidak sempat buat persediaan mengajar? Sehingga apabila masuk ke kelas, akan bertanya murid; kita nak belajar apa hari ini? Belajar bebas?

Guru besar pun kadang-kadang merestui aktiviti  guru berniaga di sekolah.  Beliau mungkin bertindak sebagai pelanggan. Mungkin juga sebagai penjual. Misalnya guru besar sebagai agen menjual kek lapis Sarawak. Sebenarnya kek itu dibuat oleh isterinya.

Berniaga di sekolah sememangnya tidak selaras dengan Kod Etika Keguruan Malaysia. Lihat kod ini dalam buku rekod mengajar guru. Dalam buku rekod juga ada pekeliling menyatakan bagaimana guru menggunakan waktu  tidak megajar  (free period).  Sudah tentu bukan membuka kaunter di bilik guru di mana di atas meja akan ada kain, tudung, biskut, kek, produk dari Wakaf Che Yeh, segala macam katalog.

Apakah  fenomena  ini sihat?

No comments:

Post a Comment