26 February 2012

lagu cinta lama (ii)


Fajar subuh   tersenyum manis di langit timur.  Dari atas perbukitan ini langit Khatulistiwa terbentang saujana bagai sebuah kanvas.    Masih kelihatan beberapa butir bintang pagi yang menyerlah sinarnya.
     Sememangnya daerah sejarah Kuala Lipis adalah sebuah daerah perbukitan. Masih dihijaui sebahagian besarnya hutan  tua. Suhu persekitaran masih rendah. Suhunya pula akan  segera turun apabila malam. Dengan kadar hujan yang kerap, Kuala Lipis tidak jauh bezanya dengan Cameron Highland.

     Selepas menunaikan solat Subuh, aku ke luar ke hadapan rumah.  Bayu subuh menyapa  mesra dalam dingin. Aku berdiri di pinggir pagar yang menjadi benteng  di hadapan rumah. Nun ke arah Selatan kira-kira  dua kilometer nampak  tenang  tegak  Bukit Penjom.  Masih dibungkus kabus. Ya, kabus sangat akrab dengan daerah ini.  Kabus akan hanya  berangkat pergi seputar pukul  10.00 atau 11.00 pagi apabila sang mentari mula menyimbah nur hangatnya.   

      Dua ekor murai  singgah di hujung ranting akasia. Sambil menyanyi lagu pendek, mereka melihat ke arahku sekali sekala.  Mungkin merasakan aku  makhluk pelik yang berdiri bagaikan patung di pagi hari ini, lalu mereka terbang  pergi.  

    Lampu-lampu  jalan  di bangunan serta di  taman perumahan masih terpasang.  Deruman kereta dan lori  di jalan raya Raub – Gua Musang di bawah sana sudah mula muncul . Perannya sebagai muzik latar  di kala hari baru muncul, menjadi   montaj  drama yang tidak enak didengar.   

    Aku berharap hari ini pentas lakonan drama kehidupan dunia yang bakal aku lalui akan mementaskan adegan yang meninggalkan impak. Bukan sahaja buat diri sendiri, malah juga buat manusia lain yang sama-sama terlibat dalam pementasan hidup  ini. 

   Aku berdoa  Allah akan melancarkan semua urusanku,  memudahkan yang sukar, menyampaikan segala hajat  dan mengurniakan lebih banyak kebaikan berbanding hari-hari lalu...  Aku memohon Allah membuka pintu rahmat, pintu kebaikan, pintu nikmat, pintu rezeki, pintu berkat, pintu kesihatan, pintu kesejahteraan dan pintu SyurgaNya... Amin.