18 March 2012

lagu cinta lama (vi)


Sergahan petir membangunkan  Ramlah daripada   ‘mati’nya. Kiranya hujan telah  mencurah di luar sana. Malam telah menyerkup  kegelapan ke seluruh  persekitaran. Malam, gelap, hujan, guruh, dan dingin bersatu menjadi  sebuah ketakutan total. 

Hanya sambaran cahaya kilat menyuluh sebentar-sebentar  suasana di luar.  Keseorangan di  bilik rumah kongsi ini bermakna  mengundang bencana yang sehabis sial.  Ramlah tahu, dia dijadikan mangsa  oleh ayahnya sendiri.  Mangsa hutang judi. Sebagai bayaran, Ramlah dikahwinkan  dengan  tauke.  Tiada hantaran perkahwinan, tiada majlis persandingan, tiada pelamin, tiada akad nikah. 

Meski dia budak kampong, tidak sebodoh itu dia akan menyerahkan dirinya.  Biar tempat ini sangat asing. Jauh ke dalam belantara.   Dia  nekad meredah pekat malam. Airmata nya bersatu dengan hujan. Suluhan cahaya kilat menjadi lampu perjalanan. Yang entah ke mana arah. 

Semangat anak kampong biarpun seorang perempuan, menguatkan kudratnya.  Mengharung lecah denai  yang berlumpur, di pagari pohon-pohon  hitam,  dia  sampai ke sebuah  landasan  keretapi.  Sedikit kelegaan di hatinya. Tiada lagi hutan tebal yang menyeramkan. Namun timbul soal arah mana pula yang akan diambil. Kiri atau kanan? 

Hanya kepada Allah dia memohon petunjuk. Langkah kakinya  dituruti. Dia terus berjalan di sepanjang jalan keretapi itu. Hujan semakin reda.  Malam menjelang subuh. Selama hampir  10 jam dia berjalan. Sampai dia ke sebuah  stesen keretapi kecil. Di situ dia menemui pegawai bertugas. Ramlah menceritakan bahawa dia melarikan diri. Pegawai ini ingin membantunya. Namun Ramlah hanya meminta sedikit makanan kerana sangat kelaparan. 

Setelah berehat sebentar, dan bila cuaca agak teduh, Ramlah meneruskan  perjalanan.  Apabila tiba di sesebuah hentian keretapi, dia meminta sedikit makanan daripada sesiapa yang sudi memberi.  Di samping itu dia juga akan bermalam di hentian keretapi itu. Begitulah. 

Sehingga  selama 5 hari berjalan kaki,  sampailah dia ke sebuah kampong. Ramlah bertekad akan singgah dan bermalam.  Dia diterima oleh sebuah keluarga.  Keluarga  Pak Jantan dan Mak Semah.  Dia dilayan dan dianggap seperti anak sendiri. Tinggallah Ramlah  di situ buat sementara.