05 April 2012

terjelepok dek isu lapok


Semalam ketika memandu pulang dari Cameron Highland, saya singgah di sebuah masjid untuk solat Zohor.  Beberapa komen ingin diutarakan di sini. Komen  konstruktif kerana berlaku yang  destruktif. 

 
Pertama standard  kebersihan masjid. Persekitaran tidak kondusif. Rumput panjang. Bahan-bahan sisa binaan terbiar. Halaman bersepah. Kita maklum, masjid khususnya yang terletak di  laluan  utama akan jadi tempat persinggahan musafir.  Kebersihan kalaupun tidak tahap  terbaik,  sangat penting.  

Jika kita masuk ke tandas kebanyakan masjid, perkara  pertama kita jumpa ialah selipar jepun. Bagaimana keadaannya?  Amat memualkan.  Penggunaan selipar jepun itu sendiri sebenarnya amat tidak sesuai.  Sudahlah seliparnya semua yang usang. Dengan  tapaknya yang sudah haus,  bahagian dalam selipar yang sudah hitam berlumut, mudah sahaja merebahkan si pemakainya ke lantai. Sudahlah lantainya mozek paling licin yang dipilih. Tambah lagi seliparnya lain sebelah. Dikerat lagi di  bahagian  hujungnya.  Apa ni? Apa standard pemikiran yang dipakai oleh pihak pengurusan masjid.?

Saya bukan mengutuk  seumpama saya yang paling pandai.  Tapi berfikirlah secara saintifik sedikit.  Mozek licin memang senang dibasuh. Namun ia lebih sesuai untuk dinding, bukan lantai bilik air. Rujuklah berapa ramai orang yang terjatuh akibat lanatai mozek licin? Terutama warga emas.  Banyak kes  orang  yang terjatuh ini terus  lumpuh, atau patah. Tak kan kita nak tunggu ada orang jatuh, baru nak bertindak.  Apa, adakah kita tak akan buat lintasan ‘kuda belang’ di jalan hadapan sekolah kerana menunggu ada murid dilanggar terlebih dahulu? Tolong lah... Mungkin juga sudah ada yang terkena musibah ini,namun pihk berwajib masih buat tak tahu, atau lembab  bertindak. 

Berkait dengan tandas masjid, kerap pula tandasnya tiada kunci. Bayangkan jika kita sedang enak membuang, tiba-tiba pintu ditolak oleh orang dari luar.  Bagi yang tedesak terpaksa membuat apa sahaja yang mampu, menahan dengan baldi, bata, guna sebelah tangan atau batang penyapu. Tidak  mungkinlah menahan pintu dengan sebelah kaki pula...

Selain itu, tiada pula tempat menyangkut seluar di dalam tandas tersebut.  Kita orang Islam pentingkan kebersihan. Percikan air kencing terkena pakaian adalah najis.  Tidak boleh dibawa solat.  Oleh itu pakaian mesti dijauhkan dari percikan air kencing. Ia perlu diletak. diangkat  atau disangkut di tempat tinggi sedikit.  Jika tiada penyangkut, terpaksalah sebelah tangan memegang seluar, sebelah  lagi memegang pintu. Bayangkan betapa seksanya.!  Itu belum lagi kes tandas tiada air.

Pengurusan Masjid  mungkin berbangga dengan jumlah kutipan wang mingguan yang tinggi. Rekod kutipan ini ada dipaparkan pada papan putih di pintu masuk masjid. Bagi sebuah masjid pinggir bandar besar , purata kutipan mingguan adalah RM1000.00.  Nah, apa lagi? Tak kan tak mampu beli selipar yang elok sedikit?  Selipar yang bunga tapaknya mencengkam. Baru selamat dan yakin si penggunanya.  Ada pula masjid tidak membenarkan selipar digunakan. Pelik juga. Dengan duit tabungan yang banyak, bolehlah naik taraf (upgrade) kemudahan tandas. Bukan asyik tukar karpet saja. 

Saya pernah mendapat jawapan soalan ini. Pihak masjid berasa bimbang selipar yang elok akan dicuri oleh orang. Selipar yang buruk tiada siapa yang akan mengambilnya. Tambahan pula selipar yang lain sebelah, koyak dan dipotong. Apa punya mentaliti?  Kamu nak mencari pahala atau membuat dosa?  Kerana apa dan kerana siapa  jika ada orang kemalangan di bilik air masijd tersebut? 

Terbaca saya dalam majalah Solusi keluaran no 40, bahawa masjid dibolehkan menjadi tempat tidur. Maksud di sini tempat istirehat. Tidur sekejap atau lama. Hal ini kerana mengambil contoh zaman Nabi Muhammad SAW, sahabat Nabi kerap tidur di masjid.  Para musafir juga perlu tidur sebentar sebelum meneruskan perjalanan.  Namun dalam kebanyakan masjid kita, terang-terang terpapar   “DILARANG TIDUR DALAM  MASJID”.   Orang yang nak tidur tahu mencari sudut di belakang, bukan di tengah-tengah tempat solat.

Sudah-sudahlah.  Isu ini sebenarnya sudah lama terpendam dalam minda ramai orang di luar sana. Kepada pihak berkenaan, bermula daripada pihak  berkuasa Agama Peringkat Negeri , Pejabat Agama Daerah dan AJK Masjid,  ubahlah perkara ini. Ia memalukan. Ia juga menggambarkan tahap pemikiran   yang terkebelakang.  Lau ka na bainana.. Andai Rasulullah ada pada zaman sekarang dan  Baginda  tiba-tiba datang singgah ke masjid anda, lalu ingin menggunakan tandas tetapi melihat tandas yang licin,kotor,  selipar buruk lagi busuk, selipar tempang lagi dikerat, apa yang anda akan katakan  kepada Baginda?  Adakah anda akan meminta syafaat?