25 September 2013

tidur untuk menyelamatkan diri daripada ditipu

............setelah menelusuri satu dua laman yang ditumbuhi bunga-bunga motivasi pada malam itu, dia sekonyong-konyong disuntik keterujaan. Adrenalin mengalir dalam urat-uratnya.

Malam ini dia tersihir oleh mantera pakar motivasi. Dibaca berulang kali, ditelan dan dihadam. Lalu darahnya menyirap. Dadanya berombak.  Suatu iltizam sudah tertanam dalam jiwa.


 Memang inilah masanya dia membuat perubahan.
Telah banyak yang ditinggalkan. Ditangguhkan.


Hatinya berkata:
Aku akan perbanyakkan amalanku. Aku akan laksanakan apa yang aku rancang. Aku akan buat semula apa yang tertangguh. Aku akan ganti apa yang hilang.

Apabila sahaja, di sudut yang paling dalam, akar riya' kini telah menjalar.  Dia  entah bagaimana sedar.
Untuk apa? Untuk diperlihatkan kepada manusia? Untuk pujian?  Bukankah sepatutnya amalan itu ikhlas buat Si Pencipta? Kejayaan untuk dibangga?

Lantaran larut dalam tolak tarik, dia kepenatan. Mata pun redup.
Akhirnya dia tangguhkan semuanya buat kali ke seribu.
Esok akan muncul sebentar lagi.

Dia akan tidur  dahulu malam ini.
Dia sudahpun tidur.
Demi mengelakkan tertipu oleh bisikan.
Dan dia tidur berselimutkan tipuan....

No comments:

Post a Comment