18 September 2010

TAKDIR ALLAH TETAP BERLAKU..



Kes kematian Sosilawati dan 3 yang lain baru-baru ini sungguh menyayat hati. Sebenarnyakah wujud orang yang sanggup mengurung, mengikat, menikam, membakar dan mencampak abu dan tulang mangsa ke dalam sungai? Barangkali Yahudi atau  Israel yang kejam itu pun akan kagum dengan tahap kekejaman sebegini.  Si pembunuh dan konco-konconya itu sudah hilang sifat manusianya. Yang tinggal hanyalah sifat-sifat syaitan. 

Kita tidak tahu terdapatkah motif perkauman dalam kes ini.  Ia agak subjektif. Selalu bila melibatkan orang Melayu yang menjadi mangsa, akan ada pihak-pihak berkuasa yang menasihatkan masyarakat supaya jangan melihat dari sudut perkauman. Namun bila kes menguntungkan pihak bukan Melayu, itu dikatakan persamaan hak dan keadilan. Sekali lagi kita diminta akur bahawa kes ini semata-mata berkaitan urusan perniagaan.

Adalah agak mengejutkan bila Sosilawati yang bertaraf jutawan tidak memiliki pistol atau pengawal peribadi. Dengan statusnya itu, beliau layak dan mampu memiliki semua itu demi keselamatan diri. Beliau lebih percaya kepada rundingan. Namun beliau lupa terdapat sestengah speisis manusia yang tak faham bahasa rundingan. Mereka lebih mesra dengan bahasa senjata. Speisis inilah yang selalu  merompak, membunuh, merogol, mabuk dan segala macam jenayah lagi..

Itu aspek bantuan alatan dan bantuan pengawal. Dari aspek spiritual juga, kita sangat-sangat memerlukan bantuan dan perlindungan daripada Allah SWT. Kita lemah segala-galanya. Allah memerintahkan kita memohon perlindungan daripada syaitan,jin,musuh yang nampak dan tidak nampak. Musuh yang berwajah syaitan, berwajah jin, berwajah binatang dan berwajah manusia. Atau ada juga musuh yang langsung tidak berwajah musuh. Nampak baik sangat dengan adab sopan dan kata-kata yang lunak.

Saya tertarik dengan kisah bagaimana seorang wanita Muslim di USA. Beliau pada suatu malam terpaksa melalui sebuah lorong gelap seorang diri.  Terdapat seorang lelaki jahat menunggu mangsa di lorong itu. Apabila melintasi lelaki itu, anehnya, lelaki itu tidak pula menyerang. Dia sekadar memandang.

Beberapa minit selepas perempuan ini berlalu, seorang lagi perempuan melalui lorong itu. Kali ini perempuan ini telah diserang dan dirogol oleh lelaki ini. Dipendekkan cerita, di mahkamah, perempuan pertama dipanggil sebagai saksi. Lelaki ini ditanya  mengapa dia tidak merogol perempuan pertama sedangkan dia tahu perempuan itu bersorangan. Lalu lelaki ini berkata, “ Anda bohong! Saya tidak melihat dia keseorangan. Saya lihat dia dikawal oleh dua orang lelaki. Seorang  di kiri dan seorang di kanan. Kedua-duanya lebih tegap dan besar daripada saya.”

Di kala itu teringatlah si perempuan Muslim tadi bahawa beliau telah membaca ayat Kursi sebelum melalui lorong tersebut. Allah  menurunkan perlindungan kepada orang yang membaca ayat Kursi. Ingatkah kita bahawa sesiapa yang membaca ayat ini pada waktu pagi, maka dia akan selamat sehingga petang, dan sesiapa yang membacanya pada waktu petang dia akan selamat sehingga pagi?

Selain itu doa perlindungan diri yang lain wajar juga dibaca sebelum kita bergerak ke mana-mana atau sebelum membuat apa-apa urusan yang memerlukan perlindungan diri.. Misalnya doa tolak bala, doa elak kedengkian orang, doa berkubu, doa terhindar gangguan jin, santau dan sihir.  Buku-buku doa ada menyelitkan contoh doa-doa ini. Tinggal lagi nak beramal atau tidak…

Setidak-tidaknya kita berikhtiar. Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Andainya setelah berdoa, musibah masih tetap berlaku, maka bersangka baiklah dengan Allah. Pasti ada hikmahnya. Namun ingatlah bahawa rahmat Allah tersangat luas. Kita berdoa kerana memohon rahmat dan kasih  sayangNya itu.

InsyaAllah,  saya akan cuba  memasukkan contoh doa ini pada entri yang akan datang..



17 September 2010

Kurang ajar kah anak-anak kita?



Beraya di kampung baru-baru ini memang meriah. Rombongan bertakbir dari rumah ke rumah masih dijalankan seperti biasa.  Jika tidak disebabkan nak Solat Jumaat, mungkin ziarah akan berterusan  sehingga lewat tengahari.
Apa yang membuatkan meriahnya hari raya ini ialah riuh-rendahnya anak-anak. Kebetulan kali ini jumlah mereka nampaknya bertambah dua kali ganda. Sehinggakan tuan-tuan rumah ada yang terpaksa menempatkan anak-anak ini di ruang dapur tatkala rombongan ziarah bertandang.  Ramai anak-menantu yang pulang beraya. Ramai juga ibubapa dan mertua  yang bertambah cucunya.

Menariknya, tiada satupun rumah yang disinggahi menyediakan juadah di atas meja. Semua tetamu harus duduk di atas lantai. Macam kenduri. Maklumlah memang ramai. Anak-anak yang dalam lingkungan sekolah rendah sahaja tak kurang 50 orang dalam romobongan ini.  Kasihan juga melihat tuan rumah harus mengeluarkan banyak duit raya... Sesungguhnya amalan kunjung-mengunjung patut dimantapkan lagi di kalangan generasi muda. Agar mereka lebih menghargai jiran, saudara-mara dan rakan taulan.

Tanpa bertujuan mencacatkan kelebihan dan kepentingan berziarah pada hari raya, berikut adalah sedikit kritikan sosial untuk renungan bersama.

Pemberian duit raya adalah sedekah daripada tuan rumah. Terserahlah kepadanya hendak memberi atau tidak. Jumlahnya juga tidak ditentukan. Kini, anak-anak sudah menganggap duit raya sesuatu yang wajib diberi oleh tuan rumah. Malah ada yang langsung tidak menjamah juadah yang disediakan. Tujuan mereka semata-mata nak duit raya. Jika tidak diberi, mereka akan merungut. Lebih tak malu lagi mereka akan meminta terus dari tuan  rumah. Dalam soal ini, apakah peranan ibu bapa?

Seterusnya berkaitan adab tatkala bergaul dengan orang tua. Ada anak-anak yang sudah tidak tahu bagaimana seharusnya lalu di depan orang tua. Selamba sahaja berdiri tanpa menundukkan badan atau mohon izin lalu. Malah ada yang lalu seolah-olah nak berlari.
Tatkala semua orang tua duduk di lantai, ada pula anak-anak  yang duduk di sofa dengan kaki terjuntai-juntai hampir sahaja menendang belakang ayah dan atuk mereka.

Berkaitan adab makan pula, anak-anak juga perlu diajar agar tidak membazir. Jangan ambil makanan banyak, kemudian makan sedikit sahaja. Atau gigit sebelah biskut kemudian letak semula. Jangan minum sambil berdiri. Jangan menyepah-nyepahkan makanan.

Selain itu, tingkah laku bertamu juga perlu diberitahu kepada anak-anak. Misalnya duduklah dengan sopan, jangan gatal tangan membuka siaran TV atau mengalih-alih siaran, jangan membelek-belek dan mengalih barang perhiasan, jangan menyampuk perbualan orang tua, bercakap dengan suara yang rendah, jangan masuk ke dalam bilik,  tunjukkan muka yang manis dan senyuman kepada tuan rumah, jika boleh bersalaman dengan semua orang, memberi dan menerima menggunakan tangan kanan, mengucapkan terima kasih dan memberi salam.

 Adakah  saranan ini keterlaluan? Atau ajaran ini ketinggalan zaman? Apakah kita dahulu tidak diajar oleh orang tua kita tentang adab? Atau kita tidak mahu anak-anak kita mengamalkan nilai-nilai yang dianggap usang? Apakah nilai-nilai baru kita? Adakah apabila anak orang lain agak kurang ajar, maka anak kita harus begitu juga.?  Nilai-nilai individualistik tidak harus dipupuk dalam jiwa anak-anak. Demikian juga nilai-nilai materialistik..

SELAMAT HARI RAYA. MOHON MAAF ZAHIR DAN BATIN.