21 February 2011

dongeng pulau singa


DONGENG PULAU SINGA


Tersebutlah kisah pada zaman dahulu kala. Ketika itu Kepulauan Melayu menjadi persinggahan pedagang dari Timur dan Barat. Pelayaran  bergantung kepada arah tiupan angin monsun.

Suatu hari berlakulah angin kencang dan taufan. Sebuah kapal  dagang dari Negara China telah mengalami kerosakan. Kapal  terdampar di sebuah pulau. 

Beberapa hari lamanya pedagang-pedagang Cina ini menunggu di pantai jika ada kapal lalu untuk meminta bantuan.  Suatu hari datanglah sebuah kapal dari India melalui pinggir pantai itu. Pedagang Cina pun menjerit-jerit memanggil  pedagang India.

“Singgah! Singgah!” Jerit pedagang-pedagang Cina dalam Bahasa Melayu. 

Pedagang India menyedari  terdapat orang meminta tolong di pulau itu. Namun mereka  tidak pula singgah untuk menolong. Sebaliknya membiarkan sahaja. Tidaklah diketahui apakah sebabnya. Adakah mereka tidak suka kepada pedagang Cina yang tentunya dianggap pesaing dalam perdagangan, atau mereka dalam keadaan hendak cepat  sampai ke destinasi atau mungkin sebab-sebab keselamatan.

“Singgah! Singgah!” Jerit pedagang-pedagang Cina lagi, sambil melambai-lambaikan tangan.

“Pooraah!” Balas pedagang-pedagang India.

“Singgah!” 

“Pooraah!” 

 “Singgah!”

 “Pooraah!”

Demikianlah didongengkan oleh sang naga akan asal usul nama pulau tersebut, iaitu daripada dua perkataan itu.




20 February 2011

siang malam kain


Suatu hari, ketika ayah melepak di ruang tamu sambil menonton  tv, kedengaran ucapan salam dari pintu.  Seorang gadis muncul. “ Di sini ada perlukan khidmat melipat kain?”  Ayah terpinga-pinga.  “... eerrr..tak ada..” hanya itu yang mampu dijawab, spontan. Gadis itupun berlalu. 


 
Ketika itu pukul  4 petang.  Waktu orang dah mula pungut kain dari  penyidai.  Ayah keseorangan. Umi belum balik.  Soalan; siapa gadis itu? Kelihatan ala-ala budak IPT. Terdesak sangatkah dia mencari wang tambahan? Menariknya, adakah perkhidmatan melipat kain dari rumah ke rumah? 

Sekali fikir, bagus idea ni. Kerja membasuh kain, membilas dan mengering telah dilakukan  oleh mesin.  Menyidai dan memungut perlu dilakukan oleh manusia. Tiba bab melipat kain, ini yang paling bosan. 

Ayah selalu tolong umi sidai kain dan pungut kain sebelah petang. Namun kerja melipat kain amat jarang dilakukan oleh ayah. Ia agak leceh. Lagipun umi kurang gemar cara ayah lipat kain.  Tak samalah, tak ratalah.  Sebagai ganti, ayah akan tolong basuh pinggan mangkuk setiap kali lepas makan. 

Orang perempuan selalunya amat ‘mesra’  dengan kain-kain ni.  Malam basuh kain, pagi sidai kain, petang pungut kain, lipat kain, simpan kain. Tak termasuk gosok baju lagi tu.. 

Ayah memang perasan umi amat jarang tidur siang. Kalau tidur pun sekejap sahaja.  Pasti ada sahaja kerja rumah atau kerja dari tempat kerja yang dibuat di rumah.  Paling ayah kasihan bila melihat umi melipat kain. Selonggok besar kain akan diletak di ruang tamu. Mana tak banyaknya, kain baju Ain, Izz, umi dan ayah. Selalunya umi akan melipat kain sambil menonton tv.  

Suatu petang umi telah tertidur di depan tv sambil di tangannya memegang sehelai baju yang belum dilipat. Hati ayah sangat sayu. Dalam masa yang sama ayah juga gembira melihat umi dapat berehat.  Ayah membiarkan umi tertidur.  Ayah tutup tv. 

 Ayah melihat-lihat di dapur mungkin ada pinggan mangkuk yang boleh dibasuh, atau sebarang urusan dapur yang mampu dibereskan.  Ketika ayah meletakkan pinggan di rak, bunyinya agak terkuat sedikit. Ayah bimbang umi akan terjaga dari tidurnya...

Dan apabila ayah kembali ke ruang tamu, umi telah duduk kembali sambil melipat baju tadi......