18 January 2011

jangan tak sempat berdoa


p/s : bagi pasangan yang sah lagi halal sahaja.  Doa bersetubuh:  




Kenapa perlu berdoa sebelum melakukan persetubuhan?

Ya, maksud doa  tersebut ialah untuk menghindari campurtangan syaitan (atau jin) tatkala proses awal  kejadian manusia.

Salah satu tujuan perkahwinan ialah mendapatkan zuriat. Zuriat pula diperolehi melalui persenyawaan sperma (si suami) dengan ovum (si isteri). Proses ini secara fitrahnya berlaku melalui persetubuhan. Adalah penting semasa proses ini berlaku, segalanya selamat, bersih lagi halal.
Sepatutnya doa ini dibaca terlebih awal sebelum ‘aktiviti secara formal’ bermula. Bukan ketika si suami atau isteri hampir orgasme. Justeru saat orgasme masing-masing sudah tidak dapat mengawal diri masing-masing. Doa mesti dibaca oleh kedua belah pihak.

Bagaimana campurtangan syaitan dan jin itu?  Jika tiada perlindungan, makhluk ini mungkin mengambil kesempatan menyetubuhi si isteri sebelum si suami sempat melakukannya. Dan benih atau sperma makhluk ini terlebih dahulu memasuki rahim isteri.  Makhluk ini juga berupaya memasuki tubuh si isteri dan melakukan gangguan di dalam rahim dengan memakan sperm atau fetus (janin). Terkadang berlaku juga kes haid berterusan (bleeding), tumpah darah atau keguguran.

Juga, persetubuhan itu dilakukan dengan penuh adab, kesopanan, lemah lembut, mesra dan kasih sayang.  Justeru anak atau generasi yang bakal dilahirkan insyaAllah akan memiliki sahsiah yang baik, sihat, sempurna fizikal dan mental.

Nota: Akhlak anak yang  buruk banyak dipengaruhi faktor persekitaran. Selain itu ada factor lain juga...




12 January 2011

selekoh sabar

Apakah maksud sabar itu?


Kerap terdengar kata-kata "sabar itu ada hadnya". Maksudnya apabila sampai masanya kesabaran itu sudah tidak dapat ditanggung lagi, maka bolehlah buat apa sahaja. Marah, sumpah, dan dendam barangkali  akan di halalkan.

Nanti! Benarkah demikian?
Jika sabar itu ada hadnya, setakat manakah hadnya? Jika ia bertempoh, berapa lamakah masanya? Jika sabar itu terhad kepada ruang, di manakah tempatnya perlu kesabaran dan di mana pula ia tidak diperlukan?

Tatkala memandu kereta di jalan yang berselekoh, kita mudah sahaja teringin memotong kenderaan di hadapan yang sangat perlahan pergerakannya. Namun, kerap juga suara hati  berbisik agar jangan memotong. Tunggu sahaja sebentar apabila jalan lurus. Sehingga situasi jelas, baru memotong. Benar. Kerapkali  sehabis sahaja selekoh, jalan adalah lurus, jika yakin, maka memotonglah.  Pada tahap ini, definisi sabar itu mungkin bermaksud "menambah jangkamasa menunggu kepada sedikit waktu lagi."






Sama halnya  jika membuka pintu dengan menggunakan banyak anak kunci. Kerapkali anak kunci yag terakhir itulah yang akan membuka kunci.

Terbaca  pula kisah seorang aulia. Beliau dijemput ke sebuah jamuan makan di sebuah rumah. Namun apabila beliau sampai di rumah tersebut, tuan rumah mengatakan bahawa jamuan sudahpun habis. Maka dia pun pulang.  Esoknya dia dijemput lagi. Apabila dia sampai, jamuan sudah habis.  Hal ini berlaku berkali-kali. Aulia ini masih juga sanggup datang dan tidak pula marah kepada tuan rumah.

Lalu tuan rumah pun bertanya kepada aulia itu. " Aku lihat kamu tetap juga datang walaupun sebenarnya tiada jamuan yang tersedia untukmu. Dan kamu tidak pula marah kepadaku. Apakah yang menyebabkan kamu mampu berbuat begini?"
Lalu dijawab oleh aulia itu. "Hal ini kecil sahaja. Apa yang aku lakukan ini, anjing juga mampu melakukannya.."

Maka, sewaktu sedang menanggung kesabaran, janganlah kita merungut-rungut. Bersabarlah dengan seikhlasnya. Sesungguhnya sabar itu ialah bersabar di atas kesabaran yang sedang disabari itu.
Dan sabar itu nampaknya tiada ditentukan hadnya...

Sabar itu ada pada jalan yang lurus. Ketika berada di titik membelok, fikirlah dulu, kerana di selekoh itu kesabaran mungkin menemui ajalnya...

Wallahua'lam.

rahsia panjang umur

Terima kasih tak terhingga kepada Ustaz Mazuki dan isterinya, Ustazah Noriah yang sudi singgah menziarah diriku yang terlontar di pedalaman ini..  Tak lupa kepada anak-anaknya 5 orang, serta ayahanda dan bondanya yang turut menjadi tetamu saya... Sangat terharu saya...

Ternyata setelah hampir 4 tahun bermukim di daerah sejarah ini, masih ada sahabat yang sudi menjengah.
Semoga hubungan kasih sayang sahabat antara kita berkekalan... dihujani rahmat daripadaNya...

03 January 2011

jantung berdebar

Bagaimana rasanya jika orang yang disayang, adik beradik, teman atau taulan pergi meninggalkan anda? Jika orang itu terdekat, seperti ayah ibu atau ahli keluarga, kesannya tentulah amat menyayat perasaan.

Beberapa hari lalu terbaca berita pelakon meninggal dunia akibat sakit jantung. Mengimbas berita akhbar  hujung minggu lepas berkaitan mereka yang meninggal dunia sepanjang 2010, hampir 80%  disebabkan masalah jantung. 

Jantung sama dengan nyawa. Jantung gagal bererti nyawa terhenti. Berakhirlah kehidupan insan.  Biarpun hidup mati telah ditetapkan di azali. Itu kita yakini. Soal kesihatan fizikal sepatutnya tiada kompromi.

Adakah sebab pemakanan? Kurang senaman? Atau lain-lain faktor? 
Nampaknya satu lagi agenda 2011 perlu mengambil kira kesihatan jantung...

Memang traumatik apabila seseorang yang anda bercakap-cakap dengannya, beberapa jam selepas itu, tanpa apa-apa simptom, dia pun meninggal dunia. Penyakit jantung adalah pembunuh senyap.


.... salam takziah kepada rakan sejawat  (AB Karim bin Abdullah)  kerana kematian kakak nya akibat masalah jantung. Amat memilukan baginya melihat nombor di skrin yang menurun satu demi satu...9,8,7,6,5,4,3,2,1,............   suatu ironi tahun baru..      ( Hospital SHAS, Temerloh, 2 Jan 2011)

02 January 2011

salam tahun baru masihi 2011

Assalamualaikum.

salam tahun baru 2011 Masihi.  baru 27 hari yang lalu menyambut Tahun Baru Hijrah 1432.  Azam tahun 2011 secara spesifiknya tak ada. Sekadar meneliti semula azam 2010 yang sebahagiannya belum kesampaian. Azam 1432H memang ada.  Begitupun, tak salah memperbaharui azam setiap hari, atau setiap minggu.  Adalah baik juga meneliti dengan kerap setiap nawaitu yang dipasang. Guna supaya tak menyeleweng atau lari tajuk.

Ternyata tiada apa yang lain sangat menyambut hari tahun baru. Matahari masih terbit di balik awan dihujani gerimis. Alhamdulillah. Cuma hari pertama 2011 ini saya  cuba menjahit kasut sendiri. Setelah meneliti demonstrasi oleh penjual jarum jahit kasut di pasar pagi, lalu saya membeli jarum ini dengan harga RM10.00.  Akhirnya berjaya juga saya menjahit kasut sendiri. Ini kemahiran baru yang tak pernah dipeduli. Satu nilai tambah diri sendiri.

Alhamdulillah untuk apa yang telah dilalui dan sedang dinikmati. InsyaAllah untuk apa yang bakal dihadapi.  Semoga hidup kita semakin diberkati dalam rahmat Ilahi....

27 December 2010

Awang Kunyit

Setiap kali pulang ke kampung, jika berkesempatan, aku akan berjumpa Pak Teh. Dia seorang yang suka  bercerita. Biasanya cerita semasa dia muda-muda dahulu. Ada suatu cerita oleh PakTeh yang masih aku ingat.  Cerita tentang Awang Kunyit. Awang Kunyit bercerita...

Semasa  aku kecil dulu, setiap hari  mesti mandi sungai. Maklumlah rumah tepi sungai.  Dalam satu hari terkadang dua tiga kali berendam di sungai. Kami budak-budak tak malu mandi bercampur lelaki perempuan.
Dan aku memang yang paling hebat dalam hal ehwal sungai. Sebut sahaja gaya terjun yang macam mana, semua aku tahu. Tentang ikan sungai, semua aku kenal. Pantang larang di sungai, juga aku ingat. Lubuk-lubuk di sungai, semua aku hafal.  Pendek kata aku dengan sungai dah macam darah daging. Kanak-kanak, orang muda dan orang tua di kampung semua hormat aku.  Bahkan selalu juga aku jadi pakar rujuk, tempat meminta nasihat, atau orang minta temankan ketika berurusan seperti membasuh pakaian atau mencari ikan di sungai.

Nak bagitahu,  ada juga yang tak percaya dengan kebolehan aku. Mungkin dengki atau rasa dia lebih. Tak mengapalah, sudah resam manusia. Suatu hari air sungai ada naik sedikit. Hujan lebat di sebelah hulu.  Ramai juga kaum ibu dan anak gadis yang turun ke sungai untuk membasuh kain baju dan mandi. Itu dah kerja wajib.  Macam biasa, aku dan beberapa kawan pun ada juga menengok-nengokkan mereka.  Sementelah adalah seorang gadis itu yang berkenan di hati. Tapi, ibu gadis inilah yang paling tidak percaya dengan kebolehanku..

Sambil aku dan kawan-kawan mandi manda itu, tiba-tiba aku terasa terpijak sebatang kayu yang agak kasar dan berduri kulitnya. Batang kayu itu pula bergerak-gerak. Gerakannya pula arah mudik bukan menghilir atau menghanyut.  Tapi aku tak gabra langsung. Aku segera mengarahkan semua orang naik ke tebing. "Cepat naik semua. Ada buaya di bawah ni. ! " Aku sedang pijak ni ! Semua orang kecoh dan menjerit. " Jangan gopoh! Bertenang.."

Bila semua orang sudah naik ke tebing, hanya tinggal aku seorang sahaja di air. Batang kayu di bawah tapak kakiku itu masih bergerak-gerak. Sedangkan aku masih berada di atasnya, memijaknya. Sekira-kira badanku aras lutut ke bawah adalah di dalam air. Kayu itu bergerak ke hulu ke hilir ke depan ke belakang. Maka akupun dibawa bergerak ke serata arah di sekitar kawasan  itu.

Sehingga sampai ke tepi tebing, ada kayu sederhana besar melintang. Hampir sahaja kayu itu, aku pun melompat ke atasnya. Semua orang di tebing  menyaksikan peristiwa ini.  Agak jauh ke hilir, barulah 'buaya'  itu menimbulkan kepalanya. Itupun setelah aku memberitahu orang kampung, barulah mereka menyedarinya...
Ibu kepada gadis itu pula nampaknya sangat bangga denganku...

Begitulah cerita Awang Kunyit yang disampaikan oleh Pak Teh kepadaku...