15 August 2011

hijrah


Hampir usai  1432 tahun sejak hijrah pertama.. 

Sekali lagi saya berhijrah. Atau kata lain bertukar tempat kerja. Setelah 4 tahun bertapa di sana, kini saya di sini. Sudah dua minggu. 

Tempat lama memang meninggalkan banyak kenangan. Pahit manis, masam,tawar. Orang kata tempat jatuh lagi dikenang. Oopss !  Saya tidak jatuh di sana.  Malah saya sentiasa siaga dan berasa hebat di sana.  Kini saya  naik pula ke tempat baru. 

Kalau dulu fizikalnya tempat lama berada di tingkat satu, kini di tempat baru saya berada di tingkat dua. Semakin jauh dari parkir kereta. Semakin tinggi dari aras laut.  Positifnya saya perlu berjalan lebih sedikit. Ingat, setiap 25 langkah  bersamaan 1 kalori dibakar. Senaman naik tangga pula bagus untuk jantung.

Saya sentiasa positif. Tiada yang tidak baik apabila  berhijrah.  Apa yang penting segera sesuaikan diri dengan persekitaran baru. Namun jati diri jangan hilang. Rakan sekerja dan sejabatan  saya kini merupakan tiga orang pemegang Ph.D.  Dr. Shatar, Ketua Jabatan merupakan pakar kualitatif. Dr. Haji Azhar, pakar kuantitatif. Dr. Khairuddin pakar kajian teks dan tafsir.  Puan Rogayah, bakal membentang kajiannya (viva) dua hari lagi dan  Encik Kamarul  baru sahaja bertukar penyelia Ph.D buat kali kedua. Barangkali beliau akan tamat Ph.D pada 2014 berdasarkan kegigihannya itu.

Saya berharap akan mendapat sedikit aura di persekitaran baru ini. Jika kita berkawan dengan tukang besi,sedikit sebanyak  kita akan mendapat  bau belerang (sulphur). Jika kita berkawan dengan si penjual minyak wangi, maka kita akan mendapat juga bau wangi itu....



08 August 2011

NENEK 90 TAHUN TANPA OSTEOPOROSIS



Nenek, nenek si bongkok tiga
Siang mengantuk malam berjaga....

Mengapa bila disuruh buat aksi nenek, kanak-kanak  akan buat aksi orang bongkok? Sebab nenek reput tulang? Sebab tiada nenek yang tidak reput tulang? Sebab perempuan akan reput tulang juga akhirnya?  Bagaimana dengan lelaki?




Saya lelaki. Ujian ketumpatan tulang pada 7.7.2011 yang lalu memberi  keputusan: kaki kiri -1.6          ( sederhana)  dan kaki  kanan  -3.0 (tinggi). Kedua belah kaki  berada pada tahap negatif. Ini menunjukkan  sedang mengalami penurunan. 

12.5 %  lelaki mengalami osteoporosis. Perempuan 50%. Ketumpatan tulang mencapai puncak seawal  usia 25 tahun. Selepas 25, tulang semakin merosot ketumpatannya. Maksud,  tulang semakin  lemah. Kekurangan hormone estrogen (wanita) dan androgen (lelaki) adalah salah satu punca. Perempuan lebih berisiko berbanding lelaki. Terutama perempuan kurus atau menopause.  Punca lain ialah kekurangan kalsium, bahan utama  membina tulang.

Lalu dicadangkan pengambilan lebih banyak sumber kalsium seperti susu. (Kebetulan pihak yang buat ujian tulang ini adalah sebuah syarikat susu...)

Jadi, apa lagi? Mari kita minum susu selalu..!

Berkaitan tajuk entri ini, sangat sukar menjumpai nenek 90 tahun hidup tanpa osteoporosis. Sebaliknya jika pada usia muda  kita tidak mengamalkan diet cukup kalsium, kemungkinan besar kita akan menjadi nenek atau tok  aki lebih awal...





30 July 2011

jibril (ii)


.... Alpha Centauri berada  sejauh  4.4  tahun cahaya dari tempat aku sedang menaip entri sekarang !  ( Cahaya bergerak 300,000 km sesaat. )




Malaikat dijadikan daripada cahaya. 
Salam untuk Jibril a.s.

 Jibril adalah ketua segala malaikat. Andai kata semua air lautan  di bumi ini dibandingkan dengan kebesaran Jibril, nescaya    ia  hanyalah sekadar setitis air di atas kepala Jibril. 

Ketika Yusuf a.s. dicampak ke dalam telaga oleh saudara-saudaranya, Jibril  datang dari langit ke tujuh menyambut Yusuf sebelum Yusuf mencecah dasar telaga. 

Dan apabila Jibril  menghadap Allah swt. untuk bertanya seluas manakah syurga Abu Bakar r.a. , beliau diizinkan Allah  untuk meninjau syurga itu. Siapakah Abu Bakar itu? Beliau adalah orang pertama memeluk Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.  Maka dengan kelajuan terbangnya itu, terbanglah Jibril ke seluruh syurga Abu  Bakar r.a. 

Setelah 90 tahun terbang di seluruh syurga tersebut dengan kelajuan yang luar biasa ( Jibril mempunyai 600 sayap), maka kembalilah Jibril menghadap Allah swt. Jibril memberitahu bahawa belumlah ia  dapat menghabisi semua ruang syurga itu. Lalu Jibril bertanya Allah swt, berapa luaskah syurga Abu Bakar itu?  Lalu dikatakan kepadanya bahawa selama 90 tahun ia (Jibril) terbang itu, ia baru sahaja berlegar-legar di sekitar pintu gerbang syurga itu...! 

WallAhua’lam...
Selamat menyambut bulan Ramadhan dan menunaikan ibadah puasa. Semoga Allah SWT menerima amalan kita dan mengampuni dosa-dosa kita..  Dan menyelamatkan kita dari azab api neraka, seterusnya menempatkan kita bersama-sama ahli syurga di dalam kenikmatan yang kekal abadi.... amiiiinn...
(sumber: Takrir Da’watu IlallAh.1989)

24 July 2011


Sehingga saat  ini  mesin masa masih pseudo!

Aku kini mengamalkan beberapa  amalan yang dapat memberikanku  jam ke-25. Barangkali juga meletakkan ku ke dalam terowong masa di antara 30 ke 60 minit di masa hadapan. 

Pertama, memendekkan rambut ke tahap no.1 atau 0 (lelaki sahaja).  Ini akan membuatkan tidak perlunya syampoo, conditioner,krim rambut, dan sikat  rambut. Oh! Kos RM tidaklah penting sangat. Kita bercakap tentang masa. Nilai semua itu ialah 10 MINIT.

Pilih kemeja  yang tidak perlu digosok. Sama seperti seluar. Ada jenis kain untuk seluar slack  (eg. Asoka) yang memang tak perlu digosok. Kemeja Orlando model tertentu juga tak payah gosok. Hari Jumaat pula memang tak perlu gosok sebab pakai kemeja T.  1 hari bekerja tanpa menggosok kemeja dan seluar memberikan saya  10 MINIT. Kalau memang tak rasa malu pakai baju yang renyuk, tak payah  fikirlah soal gosok baju. 

Tali leher ikat siap-siap dan gantung di hanger. Bila nak pakai sarung terus ke tengkuk. Mengikat tali leher paling cepat pun, 1 MINIT.


Pakai kasut yang tak ada tali. Terus sarung sahaja.  Jumlah masa mengikat tali kasut ialah 1 minit bagi setiap kali. Jika dalam satu hari kita terpaksa mengikat tali  kasut  5 kali, maka 5 MINIT masa diambil. Jika seminggu? Sebulan , setahun? 30 tahun?

Gunakan pen yang pakai tekan untuk keluarkan matanya. Pen ada penutup membuatkan kita kena buka penutup kemudian tutup semula. Leceh.  Pen jenis ini elok diletakkan ke dalam mug atas meja dalam keadaan penutupnya diletakkan di kepalanya, supaya matanya sentiasa terbuka. Bila nak guna, terus ambil dan tulis. Purata sehari guna pen 5 MINIT.

Sekian dulu.   Jumlah kasar 31 MINIT. 
 Akan tetapi  setakat ini saya belum sanggup melakukan seperti yang Mr. Bean buat. Gosok gigi, pakai baju, seluar dan kasut sambil memandu ke pejabat..



19 July 2011

PRAKTIKUM : APA NASIB GURU PELATIH?



Di seluruh negara kita kini sedang  berjalan sesi  praktikum bagi bakal-bakal guru yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan  (PISMP), Kursu Perguruan lepasan Ijzazah (KPLI) atau guru yang sedang mengikuti Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) di IPG.

Semasa menjalani praktikum sudah tentulah guru pelatih mengharapkan bimbingan dan tunjuk ajar pembimbing daripada pensyarah penyelia, guru pembimbing, rakan-rakan sepraktikum, malah warga sekolah dan keluarga juga. 

Saya ingin memfokuskan kepada peranan pensyarah pembimbing dalam  membimbing dan membantu guru praktikum. Peranan mereka sangat penting dalam memberi  idea, memotivasi, menilai dan akhirnya memberi  gred samada cemerlang, kepujian atau gagal.  Kita percaya andai guru pelatih dibimbing dengan baik, maka tiada sebab pensyarah akan menggagalkan guru pelath ini. Selebihnya guru pelatih mestilah juga berusaha memberikan komitmen yang tinggi. Tunjukkan kesungguhan,  merancang dan melaksana P&P dengan cemerlang. Niat yang ikhlas akan terpancar daripada perlakuan guru tersebut.

Maka jika diadun bimbingan oleh pensyarah, guru pembimbing dan komitmen yang jitu oleh guru pelatih, rasanya layaklah guru ini dicalonkan cemerlang.

Namun begitu, ketahuilah bahawa pensyarah juga tidak semua bertindak professional.  Terdapat pensyarah penyelia yang tidak pernah mencalonkan guru seliaannya sebagai guru cemerlang. Alasannya? Malas nak beremeh- temeh mengisi borang!!  Masya Allah...  Jika guru pelatih tersebut sangat komited dengan praktikumnya tetapi mendapat pensyarah tersebut sebagai pembimbing, insyaAllah guru pelatih ini tidak akan ke mana.... 

Alasan lain, pensyarah ini takut dikritik oleh pensyarah rentas, bimbang guru yang dicalonkan tidak sampai tahap ( saya sentuh dalam entri lepas).  

Pensyarah jenis ini juga beralasan dia mendapat guru pelatih yang tak cemerlang. Adakah sepanjang bertahun-tahun dia membimbing praktikum, sentiasa dia mendapat guru pelatih yang sederhana sahaja? Terlalu kebetulan....  Jika benar, ingatlah, tugas pensyarah adalah membimbing. Jika tidak pernah seorang pun dicalonkan cemerlang, bermakna bimbingan pensyarah sendiri tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Adakah pensyarah sendiri mengharapkan standard yang terlalu tinggi?  Saya sudah sentuh hal ini. Setinggi manakah yang dikehendaki?  Bersesuaianlah dengan tahap mereka sebagai guru pelatih, bukan guru pakar. Guru yang sudah lama berkhidmat pun belum tentu mampu menunjukkan inisiatif sedemikian. 

Alasan seterusnya agak memeranjatkan lagi melucukan. Katanya, orang lain (pensyarah lain) dah calonkan guru-guru praktikum mereka cemerlang, jadi tak payahlah  ramai-ramai sangat. Saya katakan  inilah mentality golongan yang tidak mahu melihat pelajar ramai dapat A. Bagi mereka ‘bell curve shape” adalah  yang sepatutnya berlaku dalam dunia pendidikan. Sedikit pelajar dapat A, ramai dapat B dan sedikit dapat C.  Bagi mereka jika ramai dapat A, ia sesuatu yang ganjil. Mungkin  takut kena tunjuk sebab.  Jika demikian, sampai bila-bilapun anak bangsa kita tak akan maju. Tak akan wujud ramai orang yang cerdik pandai kerana terdapat  pihak yang berfikir seperti katak dalam tempurung dan tidak akan sekali-kali melihat seperti mata burung.

Percayalah, golongan inilah juga yang tidak akan memberi markah 100 kepada pelajarnya dalam peperiksaan atau kerja kursus (assignment).  Sekali lagi lucu bila mereka kata tidak akan ada orang yang boleh dapat 100. Itu terlalu sempurna. Itu malaikat.  HAHAHA.....  Adakah benar apa yang saya dengar? Adakah itu kata-kata dari mulut pensyarah? Malahan pensyarah yang sudah senior! Sifirnya mudah. Jika tiada pelajar yang layak mendapat 100, buat apa disediakan markah 100 dalam system pemarkahan? Buatlah sampai 99 sahaja.   Atau jika ada orang tetap nak bagi 100 juga ( sebab jawapan pelajar tersebut menepati system pemarkahan)  naikkan system pemarkahan kepada 101. 101 untuk tahap pencapaian malaikat!  

Berbalik kepada soal cemerlang praktikum. Kalau guru pelatih layak dapat cemerlang, tetapi dinafikan oleh pensyarah dek kerana alasan kepentingan pensyarah sendiri, maka malanglah nasib guru pelatih tersebut. Elok juga guru pelatih tersebut melaporkan hal ini ke bahagian praktikum IPG.  Itupun jika dia sedar potensi dirinya dan berani bertindak.

Jumpa lagi....