03 May 2013

Mereflek refleksi



Syukur alhamdulillah. Usai kuliah. Namun masih sibuk dengan kerja kursus.  Kerja  membaca memang memenatkan. Ditambah jika  ayat-ayat  setiap naskah kerja kursus kelihatan dan kebunyiannya sama sahaja.  Maka, bacaan laju boleh jadi penawar (lihat Speed Reading oleh Tony Buzan).



Sesampai di bahagian refleksi, bacaan jadi  lambat. Ini bahagian yang diminati. Di mana orang sanggup mengkoreksi diri secara introspektif demi menilai kelemahan dan kekuatan. Beberapa contoh ayat digarisbawahkan menunjuk bahawa orang ini menilai diri dan mengenal ciri-ciri kendiri.  Meski  ini atas kertas, tidak pasti orang ikhlas, yang pasti hasil kerjanya nyata berbalas.Dicatatkan:

Saya berasa amat bersyukur kerana dapat menyiapkan tugasan ini.
Saya sedikit sebanyak telah menimba ilmu berkaitan..
Saya belajar tentang cara bekerjasama dgn rakan-rakan.
Kawan-kawan  saya  telah banyak membantu.
Saya telah mempelajarai tentang peranan…
Secara jujurnya saya belum pernah melihat dengan mata kepala saya sendiri akan hal sedemikian.
Dengan maklumat ini akan memudahkan saya untuk membuat persediaan.
Pendedahan seperti ini akan membantu saya dalam mengenalpasti…
Saya perlu bijak membahagikan masa..
Saya dapat menyiapkan tugasan ini dengan sempurna.
Saya perlu bijak menangani masalah ini.
Walaupun saya berasakan tugasan ini amat payah dilaksanakan , saya tetap belajar daripada kepayahan itu.
Tugasan ini memberi pendedahan kepada saya tentang bagaimana menganalisis..
Ternyata ia memberi kefahaman kepada saya bagaimana cara mengurus
 Saya dapat mengenalpasti kelebihan dan kekurangan yang ada
Saya rasakan tugasan ini benar-benar mencabar
Saya berpuashati dengan setiap ahli kumpulan saya
Dengan ini saya sedar bahawa sikap bertolak ansur dan saling menolong amat diperlukan bagi menghasilkan tugasan yang cemerlang
Situasi tersebut   memberi peluang kepada saya melihat keindahan kursus ini.
Saya mendapati bahawa  kursus ini bukan sesuatu yang senang
Ia banyak memberi iktibar kepada saya bagaimana melatih diri
Sikap positif yang saya pelajari  sepanjang menyiapkan tugasan ini akan saya amalkan secara berterusan
Secara tak langsung ia mengeratkan hubungan saya dan rakan kumpulan
Pelbagai ilmu  dan  kemahiran baru telah saya peroleh
Saya sedar pengalaman ini haruslah saya timba dengan rela
Antara perkembangan positif yang dapat saya praktikkan ialah kebolehan merancang tugasan
Saya dapat memahami objektif yang  tersurat dan tersirat
Kami telah dapat berkomunikasi dengan baik
Saya mesti menyudahkan tugasan ini dengan penuh semangat , serius dan buat yang terbaik.
Saya semakin sedar akan kepentingan sikap  berkenanan
Saya tidak dapat menafikan kepentingan tugasan berkenaan dalam menyediakan diri saya menghadapi situasi sebenar
Saya tidak sepatutnya kedekut ilmu.
Melatih saya berkomunikasi dengan  efektif.
Saya mendapat gambaran  peri pentingnya membina hubungan.
Aktiviti seperti ini menyedarkan saya pentingnya memaksimumkan penggunaan kemahiran berfikir
Pengalaman yang saya perolehi  ini sangat menarik
Tahap keyakinan diri saya semakin meningkat
Saya dapat mengasah bakat dalam pengucapan awam.
Saya begitu yakin mempersembahkann hasil tugasan saya
Kekurangan yang ada akan saya perbaiki supaya menjadi peledak untuk saya berjaya lagi.
Kekurangan  ini  menjadi cerminan diri

Demikian beberapa contoh ayat reflektif oleh pelajar –pelajar semester tiga tertulis dalam kerja kursus  mereka.  Bukan sekadar menulisnya, sikap reflektif wajib kita amalkan dalam kehidupan.


21 April 2013

TIKET PERCUMA KE SYURGA

Hari ini aku balik kampung. Setelah  hampir dua bulan aku tidak ada masa menjengah kampung kelahiranku. Bukannya jauh sangatpun. Dalam dua jam perjalanan sahaja. Aku ini kononnya manusia sibuk. Kalah menteri lagi. Hinggakan balik kampung barangkali aku letakkan pada nombor 10 senarai keutamaan. 

Apa yang sangat mendesak aku balik kampung tiada lain hanyalah kerana emak. Emak yang sering aku ingatkan. Emak yang sentiasa aku rindukan.
Emak masih sihat walau kadang-kadang kelihatan uzur juga. 

Emak sangat gembira bila aku pulang. Aku  bersedia mendengar apa sahaja cerita yang emak luahkan. Aku akan berempati. Aku  minum teh o yang emak sediakan. Aku menonton TV bersama emak, walaupun rancangan kesukaan emak bukanlah rancangan kesukaanku. Aku  bermain dengan kucing-kucing peliharaan emak. Aku ikut emak membersihkan anak-anak terung dan cili di belakang dapur. AKu baiki juga pagar kebun emak.

--------------------
Emak masih sanggup bersusah payah menyediakan masakan kegemaranku. Terdengar emak menumbuk sambal dan menggoreng ikan di dapur. Waktu makan bersama emak dipenuhi dengan pelbagai cerita. Tidak sedar bertambah nasi. Memang dikatakan orang, masakan ibu sendiri juga yang sedap, walau ringkas sahaja masakannya. 

Waktu solat emak meminta aku menjadi imam. Aku berdoa kepada Allah agar aku dapat berbakti lebih banyak lagi terhadap emak. Selagi emak masih ada. Aku sedar inilah peluang  yang terbentang untuk aku meraih syurga di akhirat.
Semoga emak sentiasa sihat walafiat dan dapat melaksanakan amal ibadat dengan tenang dan khusuk.

Dalam perjalanan balik ke rumahku, aku singgah di kubur abah. Kuhadiahkan alfatihah, salawat dan al-Mulk. Juga doa buat adik-adikku, atuk, nenek dan semua ahli keluargaku yang telah kembali ke alam barzah.



Bercuti di Kuching. Hari 1



Agak terlewat menulis perihal ini. Cuti sekolah seminggu.  25 Mac 2013, kami ke Kuching.  Parking kereta di area RM16 sehari di LCCT. Tiba di Lapanganterbang Antarabangsa Kuching (KIA) pukul 12.00 tengahari.  Kami semua  3 keluarga. 9 dewasa 5 kanak-kanak.

Encik Mustafa, pensyarah di IPG Batu Lintang   ada menunggu. Encik Mustafa bapa angkat kepada Kamal. Kamal dan Noriza sama-sama belajar di IPGBL pada tahun-tahun 1992-1994. Dia tolong menguruskan penginapan dan pengangkutan kami di Kuching.

 Kami asalnya merancang menyewa 2-3 buah kereta biasa untuk pergerakan semasa di Kuching. Bajet dikumpul untuk kenderaan RM150 sehari bagi setiap keluarga / kereta.  Namun yang dapat disediakan oleh Encik Mustafa ialah sebuah van Toyota Hi-ace. Encik Fauzi pemilik van menyusun dengan kemas beg-beg kami. Alhamdulillah, muat beg dan 14 orang. Sewanya hanyalah RM280.00 sehari sahaja. Biasanya RM320.00 kata En Fauzi.

    Tanpa diduga keluarga angkat Noriza datang menjemput kami di KIA. Perancangan asal tiada. Kamipun bergerak ke  Kampung Gedung di daerah Simunjan, 80km dari Kuching. (Ini betul-betul lari dari plan).  Tetapi makan tengahari di rumah keluarga angkat ini  sangat menyelerakan. Dengan lauk udang masak asam campur terung, ikan haruan bakar, cencaluk buatan sendiri, ikan terubuk goreng, ulam ubi kucai, perghh…. Memang  berbaloi. 

 Hari pertama ini kami cuma isi  minyak kereta RM50.00. Selesai solat, kembali semula ke Kuching. Kamal cekap memilih jalan.  Kuching tempat dia belajar dulu-dulu.
Pukul 5.00 sampai di waterfront. Hari sudah agak senja. Tak banyak dapat dibuat. Hanya menikmati view di pinggir dan seberang tebing. Betul-betul di seberang sana letaknya Astana.



 Tuan rumah homestay sampai. Encik Kamarulzaman. Juga pensyarah di IPGBL. Kami dibawa ke Taman Matang Jaya, 7km dari Kuching. Rumahnya di  tingkat 1,  di bawah KFC 24jam. Bayaran homestay ini hanya RM80 satu malam. Kami bayar RM160  dua malam.  3 bilik 2 bilik air. Tapi satu bilik tak dapat diguna. Ada barang. Mungkin itu sebab harganya murah. Encik Kamarul bagi ekstra tilam dan bantal. Ada yang tidur di ruang tamu. Tak ada masalah. 1 bilik ada aircond.  Menariknya rumah ini guna pintu magnet. Auto-lock. 



Malam, kami makan di Ket’s Kitchen tak jauh dari homestay. Sebelah bank Rakyat, Matang Jaya. Di sini ramai pengunjung dari semenanjung. Konsepnya banyak gerai dalam sebuah restoran. Mee kolok, laksa Sarawak, wajib dicuba. Alang-alang nak makan,  mintalah yang special, baru terangkat!!.  Misalnya laksa Sarawak, yang special adai 5-6 ekor udang. Selesai makan,  kami  sudah keletihan, mengantuk. Balik ke homestay. Tidur.

17 April 2013

Bercuti di Kuching. Hari 2 & 3 26 & 27 Mac 2013



Pagi ini sarapan di  restoran J&J Cafetaria, di Matang Jaya. Menu biasa, roti canai ajer. Pukul 8.00 pagi gerak ke Santubong. Sampai ke Kampung Budaya pukul 9.00.  P/s : Tiada papan tanda menunju ke arah Kampung Budaya di sepanjang jalan. Tak mesra pelancong yang memandu sendiri.   Mujur kita pakai GPS (waze). Kerajaan Sarawak kena ambil tindakan tentang papan tanda ini.


 Kampung Budaya berlatarbelakangkan Gunung Santubong, memang menarik. Bagai sebuah lukisan.  Tiket masuk RM60.00 dewasa, RM30.00 kanak-kanak. Konsep seperti Mini Malaysia di Air Keroh, Melaka.  Ada rumah Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu, Penan,  Melayu dan Cina.  Kita akan diberi passport untuk di cop di setiap rumah yang dilawati.  Bagus juga sebagai peringatan rumah mana yang sudah atau belum disinggahi.  Di rumah Melanau, kita boleh mencuba tarian Maguna tip. 



Jangan leka sangat di sesebuah rumah. Pertunjukan budaya diadakan pada pukul 11.30. Elok masuk awal sikit. Tempat duduk penuh. Show menarik. Keseluruhannya adalah tarian etnik. Pada akhir show penonton diajak naik ke pentas menari bersama.  Tak sangka Aliya tiba-tiba naik ke pentas. (alahai anak ustaz dan ustazah!) 








Pukul 1.30 gerak ke Kuching. Terjumpa encik Fauzi, tuan punya van. Dia membawa pelancong lain. Katanya dia tak tahu kami akan ke Kampung Budaya. Jika guna pas dia, boleh dapat potongan harga RM10.00 bagi setiap tiket masuk. Ini kerana dia pemandu pelancong berdaftar dengan jabatan pelancongan.  

Dalam perjalanan, singgah di Kampung Buntal. Sekolah Kg Buntal tempat Kamal praktikum dulu. Kampung nelayan. Makan tengahari di sini.
Sampai di bandar Kuching, isi minyak RM20.00. Melawat muzium Kuching di atas bukit, dalam bangunan DBKU. Pelbagai karya berkaitan haiwan kucing. Lukisan, arca, info, sejarah, cenderamata. Masuk  percuma. Kamera digital kena cas bayaran RM4.00. Boleh lihat pemandangan sebahagian bandar Kuching dari atas bukit ini. 








Keluar muzium, kami ke Gersik.  Mencari kek lapis Dayang Salha. Walaupun banyak tempat menjual kek lapis di Kuching, melalui info internet, kami sepakat ke Dayang Salha.  Boleh parking di tepi jalan depan rumah. Kedainya di dalam rumah. Bersih. Tempat ini selalu dikunjungi VIP dan selebriti. Memang rambang mata.



 Menurut  Encik Wan, pegawai promosi di sini, terdapat 78 jenis kek. 2 kilang, 1 cawangan dan 200 pekerja.  Sebelum beli rasa dulu. Jangan sampai kenyang merasa ajer, beli tidak. Haha. Setiap pack, RM10.00. Belian bernilai RM100.00 akan diberi percuma 1 pack RM10.00. Nasihat, belilah lebih sikit untuk jiran, kawan-kawan. Bukan apa, jika dah balik, nak pesan melaui pos,  kos akan jadi RM17.00 sepaket.   Pembungkusan yang kemas, selamat, bersih dan boleh bawa naik kapalterbang sebagai luggage. 


Selesai beli kek, singgah pula di gerai  terubuk masin. Harga semurah RM10.00  3 ekor.  Belian bernilai RM30.00, dapat free lagi 1 ekor. P/s:  Kata penjual, balik rumah nanti, terus bersihkan garam di badan ikan, baru masukkan ke dalam peti sejuk. (Patutlah selama ini ikan terubuk ni masin sangat.)

Kamal  memandu sendiri patah balik ke bandar, ikut Jalan Gersik. Kami menyeberang dengan bot penambang.  Tambang 50 sen seorang.  Pemandangan senja yang panoramik.  Di pinggir tebing ada gerai key cahin dan cenderamata yang lain. Gambir Sarawak juga ada dijual (lelaki sahaja).











Malam.  Encik Mustafa, menjemput kami  makan malam di rumahnya, di dalam kampus IPGBL.  Beliau bertugas di Jabatan HEP. Orang Jasin.  Terima kasih banyak Encik Mustafa dan keluarga di atas layanan yang istimewa. Hubungan silaturrahim terjalin antara kita.  Sebelum balik  ke homestay, patah semula ke bandar. Katanya ada air pancut berwarna (macam I-City). Tapi nasib tak baik, tak ada pula malam ni. 


 Hari 3. (tiada gambar)

Sarapan di Pusat Niaga Satok. Ini adalah tempat baru menggantikan Pasar Satok.  Awal pagi, belum ramai pengunjung. Suasana lagi meriah pada hari Ahad. Macam Pasar Tamu di Kota Belud, katanya.  Sarapan  mee kolok, laksa sarawak, mee jawa.  Menjenguk juga ke gerai-gerai. Sambar juga Tebaloi (kuih dari sagu, buatan dari Mukah), perencah laksa sarawak, gula tarik, kuih dangai,tapai,  dan gula-gula lada. 

Pukul 9.00 pagi, kami gerak ke Indian Street. Tempat ini terletak di blok belakang kedai yang menghadap ke water front, kawasan yang setentang dengan Astana.   Shopping terakhir. T-shirt, kain pasang banyak di sini.  Di Haja Alawdeen, kain meter corak sarawak boleh diskaun banyak. 

Selesai shopping, dalam perjalanan balik ke homestay, singgah sebentar di Muzium etnik dan Muzium semulajadi.  Pukul 3.00 perlu gerak ke KIA. Tak sempat nak cari makan tengahari. Tu laa, leka sangat shopping kat Indian Street. Beli tikar la, tablet la, tshirt dan kain  jangan cerita lah. Penuh beg dua belah tangan.  Makan tengahari, kami hanya beli ayam KFC. (untung homestay kami  di atas KFC!. 

Sampai di airport pukul 3.30. Flight 5.30.  Sampai di LCCT 8.00 malam.
Kos yang kami keluarkan RM1000.00 setiap keluarga, berbaki semula RM230.00 setiap keluarga. Kos RM1000.00 ini tidak termasuk tiket kapal terbang.