05 April 2009

Beg dan tangan

Bila Norhisham KU Unit Pemulihan Khas menghantar sms bahawa Rosmaini kena ragut pada petang Ahad 22 Mac, emosi saya berbaur. Terkejut, sedih, simpati. Saya segera menghubungi Norhisham. Kejadian berlaku di depan The Mall, KL. Peragut menaiki motosikal. Berdua. Rosmaini baru turun dari bas di Terminal Putra. Laptop yang baru sebulan dibelinya lesap begitu saja. Termasuk modem broadband dan beberapa asigment yang perlu segera dihantar. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi.
Saya simpati pada Rosmaini. Bukan saja dia kehilangan benda-benda tersebut, tetapi dia sendiri pada masa itu belum menerima elaun, tidak seperti rakan-rakan KPLI yang lain yang baru saja jadi OKB bila dapat RM3000.00 lebih beberapa hari sebelum kejadian.

Isu ragut memang sudah basi. Tapi tetap berlaku sehingga kini. Dalam sesi tutorial PK, beberapa cadangan diberikan. Antaranya;

Perempuan tak payah pakai beg tangan. Siapa yang mencipta beg tangan? Sejak tahun masihi bila perempuan mesti membawa beg tangan? Ramai tutee perempuan setuju tak payah pakai beg tangan. Betul ke tu... Nanti dah kerja, mula lah nak beg tangan yang mahal-mahal.. Idea lain, cara pegang beg atau barang. Pegang atau letak sebelah depan badan. Kalau letak dalam bakul motor, pastikan ada penutup. Selalu pandang ke belakang bila berjalan. Terutama bila dengar bunyi motor. Kalau peragutnya berjalan, jerit kuat-kuat. Jangan kejar peragut samada naik moto atau berlari. Banyak kes mengejar peragut berakhir dengan tragedi.. Duit, beg tangan, kad kredit, kad pengenalan, lesen malah telefon bimbit boleh diperolehi semula. Tetapi nyawa...

Banyak idea diberikan. Yang penting langkah pencegahan. Bila dah berlaku, menyesal hanya berguna untuk 2-3 minit sahaja... Ingatlah, peragut akan tetap wujud dan semakin kreatif.. Tapi sayang kreativiti mereka digunakan untuk menyusahkan orang lain...

04 April 2009

Kayangan


Pada 30 April kami bertiga ke Pulau Pinang. Perjalanan 6 jam melalui lebuhraya Timur Barat memang ada kelainan. Walaupun Fauzi ’mendera’ saya memandu sehingga ke Gerik, saya tak kisah kerana lukisan alam sepanjang perjalanan adalah adunan warna yang amat mempesona. Melalui Jelawang, Jeli langsung ke Gerik, singgah makan malam. Sambung ke Baling, Kuala Ketil dan sampai di Butterworth. Hampir pukul 12 malam baru kami sampai di Batu Feringgi. Kesian Rusini nampak keletihan..

Pulang 2 April, melintasi Pulau Banding di Hutan Belum, fenomena alamnya memang menarik. Sayang kami tak punya masa. Sayang juga kami terlupa bawa kamera. Kamera telefon bimbit saya tidak begitu baik kualitinya. Maklumlah, murahan. Rasa teruja menaiki bot mengelilingi pulau. Atau sekurang-kurangnya berkayak. Lain kali saja.. Berhenti minum teh di kawasan rehat Hulu Perak, di pinggir danau hutan. Dielus bayu dingin. Kami mungkin sedang berada di ’kayangan’ pada masa itu...

Sebesar-besar pujian kepada Pemilik lukisan alam....






09 March 2009

TEROWONG MASA








5 Mac 2009, Khamis. Setelah lebih setengah jam meredah kabus pagi dari Berchang, Kuala Lipis, pada pukul 7. 46 pagi saya sampai di Felda Sungai Koyan. Pagi ini ada Pekan Sari. Saya memberhentikan moto di depan gerai buah. Beli selonggok epal hijau RM5.00.

Lalu singgah di Balai Polis Sungai Koyan. Berjumpa konstabel Azmi. Memaklumkan saya akan masuk ke Titom. Konstabel Azmi meminta maklumat yang perlu. Dia menasihatkan saya berhati-hati. Sebaiknya saya bawa parang, katanya.

Masuk ke simpang tiga Raub-Betau-Kuala Medang, saya berhenti di tepi jalan, mencatat meter di skrin KM motor. Perjalanan melalui jalanraya 30km seakan tidak terasa lamanya. Seingat saya, saya hanya bertemu 2 buah kereta. Sampai di Betau, saya singgah di klinik bertanya kakitangan di situ. Din namanya. Di tangannya ada sehelai daun sireh. Dia menerangkan arah jalan yang saya harus lalui.

Perjalanan diteruskan. Mula-mula lalu jalan simen lebih kurang 100m. Bertemu pengawal di pangkal jambatan. Selepas jambatan, ada jalan tanah ditaburi batu-batu halus tajam. Kemudian berjumpa pacuan 4 roda yang berhenti di tepi jalan. Penjual barang rupanya. Saya ambil peluang bertanya. Pak cik penjual memberitahu dia masuk 3 kali seminggu. Ada barangan seperti sadin, sayur, barang mainan, ikan patin, biskut dan rokok dalam boot kereta. Kobis panjang sebesar lengan tertulis RM4.00. ...Agak mahal.! Dia mencadangkan saya mengekorinya ke Lenjang. Sementara menunggunya saya minum air bekalan. Tapi botol air saya bocor. Sedikit sahaja air yang tinggal.

Selepas lebih kurang setengah jam saya mengekorinya, dia berhenti. Dia suruh saya jalan dulu. Kalau saya keliru, boleh tunggu dia. Saya pun jalan dulu. Jalan makin teruk, ada titi reput, ada anak sungai kecil tak ada titi, kubang babi ditengah jalan pun ada. Lumpur selut memanglah menghiasi sepanjang jalan. Bukit batu dan selekoh licin membuatkan punggung rasa kematu akibat terhentak-hentak. Jalan rata jarang sangat saya jumpa. Sekali sekala saya berselisih dengan moto orang Semai. Ada yang senyum, ada yang buat-buat tak pandang. Tak kisah, janji tak kacau saya. Apa yang saya bimbang adalah gangguan manusia. Gangguan binatang buas, saya tak cuak sangat. Kecuali ular tedung selar yang tiba-tiba melintas. Kalau ia dah mengangkat kepala setinggi manusia berdiri, alamat....


Bagaimanapun, kedinginan hutan belantara ini membuatkan saya damai. Tiba-tiba saya terlihat ada moto berhenti di tepi jalan. Ada 2 orang asli, lelaki dewasa. Mereka menahan saya. Dalam bahasa Melayu bercampur Semai, mereka memberitahu saya bahawa motor mereka habis minyak. Saya ada bawa minyak 1 tong 5 liter. Tapi saya tak dapat memastikan berapa jauh lagi destinasi saya. Jadi lebih baik saya jalan dulu. Jika tidak saya akan lambat sampai. Saya pun nekad meredah sendirian.

Tidak lama, saya berjumpa pula dengan moto berhenti di tengah jalan. Ada 2 orang lagi. Motonya pancit tayar belakang. Saya tak dapat menolong. Saya teruskan menunggang selama setengah jam lagi. Sampai di Kg. Dayok (seperti tertulis dengan cat di atas batu) saya ditahan oleh seorang pak cik. ”Han cip malok?” tanya dia. Saya kata ”muut Titom.” Dia pula nak pergi ke Lenjang. Dengan menggunakan beberapa patah perkataan Semai yang saya tahu, saya berjaya memujuk pak cik tersebut agar menunjukkan saya di mana arah jalan ke Titom. Oh ya, namanya Tiul. Sepanjang perjalanan dia banyak bercakap. Mungkin dia menyangka saya fasih berbahasa Semai. Tapi saya tak berapa dengar sebab angin melalui tepi telinga saya. Lagipun saya memakai topi keledar!!! DAN, lucunya, 90km dalam hutan hujan tropika ini, dalam jaket saya, saya memakai baju batik dan saya juga pakai nametag pada baju saya..!!

Hampir setengah jam kemudian kami tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan Lenjang.! Sekolahnya cantik, bersih. Saya bertanya kepada Tiul, di mana arah ke Titom? Tiul kata dia sudah beritahu tadi semasa kami melalui simpang Titom. Tapi saya tak dengar. Saya memintanya mengikuti saya menunjukkan semula arah simpang tersebut. Rupanya kami sudah terlepas 5km ke belakang. Setelah sampai di simpang tersebut, saya kasihan melihat Tiul. Saya menghantarnya semula ke Sekolah Lenjang. Dia kata ingin mengambil wang KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) bagi pihak anaknya. Anaknya 3 orang bersekolah di SK Lenjang. (Saya difahamkan KWAPM bernilai RM200 bagi setiap pelajar yang layak).

Sampai di Simpang Titom, saya terbaca; 26km! Saya melihat jam; 11.15am. Mungkin pukul 2 petang baru saya sampai agaknya. Saya teruskan jua. Alang-alang. Tapi jalan lebih teruk daripada tadi. Lebih kecil, lebih curam, lebih berselut, dan lebih meremangkan bulu tengkuk. Ada tempat yang mana batu besar tertanam di tengah jalan. Ada juga tempat yang macam mistik lagi misteri.

Sampai di satu tempat, saya bertemu jalan mati. Di hadapan betul-betul sebuah sungai jernih selebar 10m. Airnya separas lutut dalam. Mengalir tenang. Kalau saya redah, pasti air akan membasahi spark plug dan masuk ke dalam ekzos. Saya memeriksa sekeliling. Ada sebuah jambatan buluh muat untuk sebuah moto. Tapi alangkah uzur dan hampir reput. Saya melaluinya dengan penuh debaran. Lepas. Di seberang sungai tak sampai 1km saya menemui SK Titom.

Saya sampai pada pukul 11.50am. 4 jam setengah perjalanan, 140km. Berkenalan dengan Romi Fazli bin Mustafa, dari IPGM Kampus Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu. Beliau adalah guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, Pemulihan SR, SKM. Sedang menjalani praktikum di SK Titom. Berusia 32 tahun. Selain itu saya juga berkenalan dengan Cikgu Mat Noor (prasekolah), Cikgu Masri (OA dari Betau), Cikgu Azmir (dari Terengganu), beberapa guru lagi dan seorang cikgu, saya lupa namanya, dah 5 tahun berkhidmat di Titom. Masih bujang.

Sejenak berada di sini, saya merasakan seperti telah kembali ke zaman lampau. Di sebuah daerah pada tahun 70an, tapi berada di tahun 2009.

Pukul 2.20 petang, saya memulakan perjalanan pulang. Terpaksa awal sebab langit sudah mendung. Dalam perjalanan, hujan menemani saya... Saya sekali lagi melalui terowong masa.. Kembali ke masa hadapan. Sesungguhnya saya benar-benar mengalaminya......

Sekadar ingatan untuk diri sendiri: Sebelum 17 April 2009, saya akan ke Titom bertemu Romi Fazli sebanyak 3 kali lagi..!

HARI INI ≠ SEMALAM -1 pengalamian


Pada 16 Feb. saya, Fauzi dan Faizal (3F) tiba di Brinchang pukul 8.20 malam. Sebelumnya kami melalui Gua Musang , terus ke Lojing dan Kg. Raja. Sewaktu makan malam, Burn, Khairul Azrin dan seorang ustaz dari Kuala Terla datang. Kami raikan salam perkenalan dengan makan bersama sambil berbual. Sampai di Tanah Rata pukul 9.00 malam. Menginap di Carnation Park. Talian telefon tak berapa jelas. Lantai apartment pula rasa macam tak boleh pijak. Sejuk.

17 Feb 2009. Pukul 6.30 pagi Faizal menghantar saya ke Lily Park. Bertemu Ustaz K. Kami berkenalan. Faizal seterusnya menghantar Fauzi ke Tanah Rata dan dia sendiri ke Kuala Terla Saya membonceng Ustaz K ke PPD Tanah Rata bertemu Cikgu Shah yang ’MC’ hari ini kerana anaknya tak sihat. Cikgu Shah memberi pinjam motosikalnya. Saya dan Ustaz K mengenakan baju hujan, seluar trek dan but getah. Kami meneruskan perjalanan dalam gelap kabus subuh yang dingin ke Habu, langsung ke Ringlet dalam masa 30 minit. Selepas mengisi minyak , Ustaz K memberhentikan moto untuk bersarapan di sebuah gerai melayu. Semua pelanggannya pekebun sayur, orang cina. Seorang cina berbual dengan kami menceritakan pengalamannya membawa bas rombongan budak sekolah dari Lemoi.

Ustaz K membisikkan kepada saya ramai pekebun di sini ada hubungan dengan kongsi gelap. Pekebun cina itu bangga menceritakan bahawa anaknya tak lama lagi akan ke Russia sambung belajar ketenteraan. Katanya ada 3 sahaja anak orang cina di Malaysia yang belajar di RMC Sungai Besi dan terpilih ke Russia. Saya kagum kerana tak ramai orang Cina minat tentera.

Pukul 7.30 pagi kami sambung perjalanan. 2km pertama, kiri kanan dilatari kebun sayur. Bukit sayur..Bau baja menusuk hidung. Ustaz K bawa moto laju juga. Dia dah biasa. Kerap kali saya kehilangan dia. Dia menunggu saya bila saya agak lambat. Brek moto Cikgu Shah sebenarnya tak berapa elok. Mujur saya pandai kawal. Kalau tidak mungkin boleh masuk gaung atau jeram. Ada satu tempat kami terpaksa melalui bawah jambatan yang belum siap.

Sepanjang 18km perjalanan banyak terjumpa pekerja jalan baru sampai untuk bekerja. Saya dan Ustaz K mengangkat tangan kepada mereka, tanda mesra. Mereka membalas dengan mengangkat tangan juga. Rata-rata kulit hitam. Selebihnya sawo matang.
Jentolak dan jentera jalan banyak terdapat di sepanjang perjalanan. Jalan ini bakal menjadi laluan utama dari Sungai Koyan, Kuala Lipis, terus ke Betau, Menson dan Ringlet. Jika siap nanti perjalanan dari Lipis ke Cameron Highland akan menjadi 1 jam setengah sahaja berbanding 3 jam setengah melalui Gua Musang.

Pemandangan sepanjang jalan memang cantik. Hutan hujan, kabus, anak sungai, jeram, batu besar, bukit, selekoh, jambatan kecil, lecah dan selut.

8.30 sampai di SK Menson. Wow!!! Cantiknya..! Bersih, dingin, dan ceria. Memang sukar dipercayai dalam hutan tebal begini, ada sekolah. Kelihatan murid-murid sedang berlatih sukaneka.. Saya berjumpa GB, Baha bin Mohd Said. Beliau menyatakan SK Menson ada 249 murid, 120 orang beragama Islam. Tahun 4,5, 6 tinggal di asrama. Semua suku kaum Semai. Bukan Sekolah Kurang Murid (SKM). Ada 22 guru. Termasuk 2 guru perempuan bujang. Guru di sini dapat RM500.00 sebulan elaun pedalaman. GB juga beritahu SK Telanok setengah jam dari Menson. SK Lemoi 1 jam lagi. Buat masa ini ke Lemoi moto pun tak dapat masuk sebab ada runtuhan batu di tengah jalan.

Pukul 9.00 saya membuat clinical supervisison. Sesuatu yang mengejutkan bagi saya bila murid-murid Semai ini membaca doa, ayat al-Quran, menyebut perkataan Arab dan menulis jawi dengan agak baik. Guru j-QAF, Sajidin memberitahu, Kg. Kuala Boh berdekatan semua penduduknya beragama Islam. Ada masjid dan imam sendiri. Saya dapati murid OA di sini berpakaian kemas, bersih dan tubuh badan mereka tidak berbau. Ustaz K kata ini disebabkan mereka mengamalkan ajaran Islam

Setelah penyeliaan, GB mempelawa saya menikmati jamuan di kantin. Pengusahanya OA juga. Tapi muslim. Menu nasi goreng dan sup daging. Supnya kelihatan tidak masuk dengan selera saya. Saya cuba menelan. Oooohh….sedaap…

Pukul 1 tengahari 4 orang guru akan keluar ke PPD di Tanah Rata. Mereka mendapat mesej (guna telekomunikasi ala telegraf) satu mesyuarat tergempar akan diadakan petang ini. Setelah selesai urusan, Ustaz K memberitahu saya masa untuk pulang. Kami bertolak balik. Tak sempat nak ikut cikgu 4 orang itu. Saya pula kerap memperlahankan moto untuk menikmati keindahan alam.

Sampai di Tanah Rata saya menelefon Faizal untuk menjemput saya balik ke apartmen. Bila ternampak saya yang berpakaian baju hujan penuh debu dan moto yang penuh percikan lumpur, Fauzi dan Faizal tergelak….

Esok 18 Feb. 2009 saya akan ke Terisu pula…

14 February 2009

Benar cinta itu bersayap!

Sejarah adalah masa depan!

Pelajaran yang pertama dalam cinta itu sebenarnya pedih. Keduanya sesal. Biarkan kata berganti air mata. Semahunya. Ya, aku bisa bangkit seandainya masa tidak memusuhiku. Masa adalah sejarah.

Seribu tahun lagi mak tetap akan bersemadi di pusaranya. Walau hari ini hari terakhir bagi dunia ini, mak akan masih bersemadi di pusaranya 40,000 tahun. Aku dapat bertemu mak pada masa hadapan. Mulai sekarang, aku menunggu. Terlalu rindu anakmu ini.

Mak, inginku cium kakimu. Ku kucup pipimu. Aku raungkan permohonan maafku. Ampunkan anakmu ini mak. Sewaktu mak tinggalkan, aku ini mak anggap anak mak yang baik-baik saja. Masa telah menjahanamkan aku. Aku tertipu..

Bukankah mak selalu memanggilku Nung. Kependekan daripada gunung. Aku ini gunung intan bagi mak. Mak selalu memujiku. Anak baik. Solehah. Kak Long yang rajin. Ya..Pujian seorang ibu memang ikhlas.

Aku selalu bermanja dengan mak. Walaupun aku anak sulung, bahkan aku lebih manja berbanding adik-adikku. Mak kerap membelai rambutku. Mengusap pipiku. Kasih mak tidak pernah kering terhadap anaknya ini. Mak menunjuk ajar tentang apa yang baik dan melarang apa yang buruk.

Mak menyemai iman ke dalam dadaku. Sembahyang jangan dilupakan. Itu akan menetapkan kakiku di jalan yang betul. Apabila aku mula menginjak remaja, mak mengajar tentang rahsia yang menjadi kehormatan seorang gadis. Sifat malu harus dipegang. Jangan terlalu bersikap murahan. Jangan pula menyombong. Jaga keanggunan dan sahsiah. Jangan mudah percaya dengan rakan lelaki. Nanti bimbang terpedaya.

Mak mahu anaknya ini tumpukan pelajaran. Tunjukkan contoh kejayaan kepada adik-adik. Tiada bekal yang bermanfaat untuk masa depan selain ilmu. Jika sudah bekerja, jangan mudah lupa diri. Bermewah-mewah. Mak tak pernah meminta dibalas pemberiannya. Tidak minta duit gaji nanti diberi kepadanya. Asal anaknya hidup sejahtera, memadailah.

Mak. Anakmu ini sudah remaja. Mimpi-mimpi seorang gadis mula mendampinginya saban waktu. Ingin dipuji kecantikannya. Ingin digiur lenggok tubuhnya. Bagi mengesahkan penerimaan mereka terhadap gadis ini, kehadiran seorang teman lelaki lebih mencukupi.

E tidak pernah kujangka kemunculannya. Namun keberaniannya memulakan perkenalan, mengkagumkan aku. E membuatku teruja. Dia rakan seusia sama persekolahan yang melengkapkan mimpi gadisku. Mak, aku telah dimiliki. Walaupun ayah tetap hero dalam hidupku. Ayah melindungiku dengan kasih sayangnya. Namun kasih yang kuperolehi ini sungguh berbeza. E memberi semula belaian yang kudahagakan selepas pemergian mak. Belaian yang istimewa.

Ayah sibuk bekerja. Mana mungkin ayah punya cukup masa untukku. Sebagai pekerja gigih, ayah selalu pulang keletihan. Sebelah petang ayah menghabiskan masa bersenam atau membuat kerja tambahan. Sebelah malam ayah melayan kami adik beradik. Biarlah saki baki masa ayah diberi kepada adik-adik. Lagipun ayah faham anak gadisnya ini perlukan dunia remajanya yang peribadi. Ayah juga mahu aku tumpukan kepada peperiksaan yang bakal tiba.

E selalu bertanyakan tentang diriku melalui SMSnya. Sungguh prihatin dia. Bagiku perhatian E cukup membekalku kekuatan untuk menghadapi peperiksaan. Malah untuk mengahadapi hidup inipun! Mungkin hidup bersamanya! E!!!. Apakah yang melekatkan aku padamu? Mak, anakmu ini sudah punya teman lelaki. Kekasih hati. Anakmu ini sudah jatuh cinta. Sedang usia semuda ini, adakah salah untuk belajar menjadi dewasa?

(Mak. Mengapa bila teringatkan mak, air mata ini tidak dapat ditahan-tahan lagi).

Tinggal di asrama adalah perintah ayah. Kalau mak masih ada, itu perintah mak juga. Belajar akan lebih teratur jika tinggal di asrama. Kejayaan lebih terjamin. Pengurusan masa lebih sistematik. Sememangnya masa belajar sangat lumayan di asrama. Namun masa untuk mengenang kekasih hati tetap diperuntukkan sewaktu-waktu.

Biarpun aku boleh bertemu E setiap hari sekolah, itu bukan masa untuk bercinta. Walhal hati ini memberontak untuk berdekatan dengannya. Mendengar kata-katanya. Menatap wajahnya. Akan tetapi, hari Sabtu dan Ahad aku tidak dapat ketemunya. E tinggal di luar. Seandai ada outing, E menungguku di bandar. Dapatlah kami merayau-rayau atau lepak di tempat-tempat tertentu. Di kala itu aku terasakan sentuhan tangan E menggetarkan dadaku. Keanehan perasaan menggodaku.

Sentuhan demi sentuhan membuatkan aku rela menjadi lebih intim dengan kekasihku itu. Suatu hari E mengajakku ke rumahnya. Tujuannya sekadar berbual dan melepaskan rindu. Ayahnya meminta dia menjaga rumah hujung minggu itu kerana ayahnya ada urusan luar. Tinggal dia seorang katanya. Malangnya minggu ini bukan giliran pelajar perempuan outing.

Gelora cinta memberi idea kepadaku. Aku mencelah keluar pintu pagar bersama-sama pelajar luar yang pulang tengahari Jumaat itu. Arus cinta menghanyutkan aku sehingga sampai ke rumah E.

Ternyata E sungguh romantis melayanku. Di situlah segalanya bermula. E memintaku menyerahkan segalanya. Cinta anak sekolahan menjahanamkan. Menenggelamkan aku ke dalam neraka dunia paling dalam. Aku tergoda dengan keindahan. Aku lemas keseronokan. Khayal dalam kilauan. (Mengapa aku mudah sangat termakan pujuk rayu?) E menodai kesucian cinta kami.

(Mak. Aku tidak layak menjadi anak mak. Aku ini berdosa. Aku ternoda. Aku menodai harapan mak. Aku meluluhkan kasih ayah. Aku memberi contoh paling buruk kepada adik-adik.. Anakmu ini lebih kotor daripada kerbau yang memalitkan lumpur.)

Sebulan selepas hari celaka itu, peperiksaan bermula. Aku terpaksa menebalkan muka hadir ke sekolah. Masih ada sedikit semangat untukku mengambil peperiksaan. E pula langsung tidak hadir. Dia merasa malu. Apakah aku tidak malu? Padahal kisah jahanam itu telah tersebar. Guru-guru ku pula yang merasa malu terhadap masyarakat sekitar. Ya, aku ini anak yang tidak tahu malu. Jika aku malu, nescaya aku tidak hadir. Meski aku belum melihat sinar, aku gagahkan juga menduduki peperiksaan.

Mak, pada pagi Jumaat yang sunyi ini anakmu datang ke pusaramu. Layakkah aku ini dianggap anak mak? Masihkah mak sanggup mengakui?
Mak, bagaimana keadaan mak? Adakah mak bahagia? Atau.. Ohhh! Jika disebabkan dosaku ini mak menanggung kesusahan aku redha menggantikan tempat mak itu.

Mak. Aku belum puas menangis. Bahkan biar aku menangis sepanjang hayatku. Aku memohon keampunan yang sebesar-besarnya daripada Mak. Mak. Mak dengarlah rintihan anakmu ini. Penyesalanku ini tak kan sudah sudah mak. Sampai aku mati. Sampai aku dapat menemui mak nanti. Aku bertaubat kepada Tuhan. Aku memohon kepadaNya agar dapat menemui mak. Mak. Mak tunggulah kehadiranku. Entah esok, lusa, tahun depan atau 100 tahun lagi.

Mak. Ayah sangat sabar dengan apa yang menimpaku. Ayah yang sebaik itu telah aku abaikan. Aku lupakan nasihatnya. Akhir-akhir ini dia sering sakit. Aku selalu tidak menghiraukan. Ayah juga sering melihat gambar mak. Dia sangat-sangat rindukan mak. Apatah lagi setelah berlaku sial itu ke atasku. Dia berusaha sungguh-sungguh membina ketabahan. Aku lihat semua itu pada raut wajahnya. Selalu dia membelai adik-adik. Dia juga masih menjaga makan pakaiku. Seolah-olah aku ini tetap seperti dulu. Oh ayah. Hukumlah aku ini. Sebab mak tidak lagi dapat menghukumku.

Mak. Aku rindukan saat-saat kita bersama. Ketika mak sering berbual-bual denganku. Terlalu banyak yang dapat dibualkan. Aku tidak tahu apa yang ada di hati mak waktu itu. Kini aku tahu mak. Setelah mak tiada. Setelah aku ini yatim. Dalam hati mak itu penuh harapan. Tapi mak. Harapan itulah yang aku persiakan. Aku musnahkan. Aku musnahkan harapan mak bila aku musnahkan kehormatan diriku sendiri.

Mak. Aku ingin menangis kembali. Bagaikan ingin sahaja aku melihat mak sekarang di dalam pusara. Aku ingin memeluk mak. Menatap wajah mak sepuas-puasnya. Biar mak rasakan hangatnya airmata ku ini. Namun itu tidak mungkin. Waktu mak meninggalkan aku, aku masih di asrama. Mak pergi tiba-tiba. Mak terkejut dengan berita celaka itu. Begitulah hebat balasan ku pada mak.

Mak. Sebentar lagi aku akan pergi meninggalkan mak. Mereka akan membawaku ke pusat pemulihan. Sememangnya akhlakku mesti dipulihkan. Semoga akan ada sinar dalam perjalanan hidupku nanti. Mak doakanlah ya mak?

Mak. Ayah akan turut menghantarku ke sana. Adik-adik juga ikut. Namun aku harus berdikari. Belajar akademik dan kemahiran. Aku berjanji pada mak, ayah, adik-adik dan diriku sendiri, aku akan mengubah hidupku ini. Aku akan menebus segala dosaku. Semuanya kerana aku ingin berjumpa mak kembali.

Selamat tinggal mak. Mak berehatlah molek molek ya mak? Sabarlah menunggu kedatanganku. Jika mak rindu padaku, aku seribu kali lagi rindu pada mak. Aku akan minta ayah membawa ku selalu ke sini. Ayah tentu suka kerana dia juga rindu pada mak.

Aku doakan mak sentiasa dalam rahmat Allah. Aku juga akan berusaha menghadiahkan mak dengan bacaan surah al Mulk, as Sajadah, ad Dukhan dan al Waqiah setiap hari. Semoga Allah menempatkan mak bersama orang-orang yang diredhaiNya.

Selamat tinggal mak. Aku tinggalkan tanah yang basah ini. Aku akan menangis sepanjang perjalananku ke pusat pemulihan itu. Aku akan menangis sepanjang perjalanan hidupku ini, mak.

Selamat tinggal mak.

Mak…

Mak…..

Mak..!!!.



-----2005

14 December 2008

DAH LAMA AKU TAK KEMASKINI BLOG NI. SIBUK. BIKIN URUSAN DUNIA. RASANYA INI FENOMENA YANG SAMA BAGI BLOGGERS. TAK ADA MASA NAK UPDATE. KALI INI AKU TAK BERAPA NAK SIBUK. JADI AKU MULAKAN AL KISAH SUATU CERITA.


Teringat aku ketika aku balik kampung sebulan yang lalu. Sewaktu makan tengahari seorang diri, di dapur, tiba-tiba melompat seekor kucing ke atas meja. Cantik je dia lepak tepi pinggan aku. Aku yang lebih dari separuh terkejut, terus jadi emosional. Bila emosional, jadilah tak rasional. Aku pun berkatalah kepada kucing itu.

”Ewah, engkau ingat engkau setaraf dengan aku ke ha? Aku duduk atas kerusi, engkau duduk atas meja. Dah tu, nak kongsi pinggan dengan aku pulak. Turun! ”

Tapi kucing tu pandang je aku dengan muka seposen. Huisyh....”Ini boleh mendatangkan marah!!” (pinjam dialog filem Tiga Abdul). Aku pun tolak kucing tu dengan aksi yang agak brutal. Kucing pun jatuh. Lari. Dalam hati kecil aku menyesal dengan apa yang aku buat itu.

Baru-baru ni aku balik kampung lagi. Kucing tu aku tengok sedang tidur atas lantai dekat sofa. Macam sakit je.... Aku pun mendapatkannya. Aku usap badannya. Dia membuka mata perlahan. Sekali lagi aku jadi emosional. Membawa kepada tak rasional. Aku pun berkata pada kucing itu.

”Aku mintak maaf sebab tolak engkau hari tu. Aku tak berniat nak menyakitkan engkau. (nasib baik aku tak cakap.....”tak berniat nak melukakan hatimu...” huhu...) Syahdunya kucing itu memandang aku dengan pandangan yang sayu.... (sayu, bukan ayu). Agaknya dia dah memaafkan aku. Buktinya dia tak marah bahkan seronok bila aku usap-usap badan dan lehernya.

Imbas balik lebih kurang 16 tahun yang lalu. Aku dan kawanku melawat Zoo Negara, kat Jalan Hulu Kelang. Tiba kat kandang babi hutan yang kedudukannya di bawah jambatan, aku telah meludah ke atas seekor babi jantan yang sedang tidur. Air liur aku betul-betul jatuh kat atas badan babi tu. Tapi hal itu tak menjejaskan ketenangan si babi yang enak dibuai mimpi di siang hari itu. Aku gelak dengan perbuatan aku sendiri. Namun kawanku tadi tidak lah gelak dia. Sebaliknya berkatalah dia.

”Awak tak baik ludahkan babi tu. Walaupun dia babi, najis, haram, awak tak boleh hina dia. Dah Tuhan jadikan dia babi, nak buat macamana. Dia pun tak mintak nak jadi babi”

Aku terkesima. Dalam hati aku tak berniat pulak nak hina babi tu. Sekadar nak lucukan suasana. Tak sangka dapat tazkirah percuma pulak. Ah, kawan aku tu memang lebih alim daripada aku.

Imbas lagi jauh. Barangkali 1000 tahun yang lampau. Kisah ini aku baca dalam buku ’64 Kisah Wali Allah’. Kisah seorang wali yang sedang khusyuk beribadah dalam sebuah bilik yang sunyi. Dalam biliknya ada seekor ibu kucing yang baru melahirkan beberapa ekor anak. Suatu hari seekor ular datang nak memakan anak kucing itu. Ibu kucing tak mampu melawan ular tersebut. Wali tadi memukul ular itu dengan sebatang kayu. Ular itu pun mati. Ibu kucing memandang wajah si wali dengan mata yang sayu... (barangkali mengucapkan terima kasih). Tidak lama selepas itu wali tadi jatuh sakit. Setelah beberapa hari, dia pun sembuh. Dalam mimpinya dia diberitahu bahawa dia sembuh disebabkan doa si ibu kucing tersebut.... Wallahu a’lam..

ALLAH MELIHAT APA YANG KITA LAKUKAN DAN MENGETAHUI APA YANG ADA DI DALAM HATI KITA...

Jumpa lagi...