14 May 2009

Fuuuhh...! Bagaikan baru saja kebah dari demam seminggu. Saya tertidur mati petang tadi. Setelah hampir setiap malam tidur lewat. Semua ini ada kaitannya dengan persediaan untuk Konvokesyen ke-23 IPGM Kampus TAA. Alhamdulillah konvo kali ini berjalan lancar. Tahniah untuk semua warga kampus TAA yang bertungkus lumus menjayakannya. Kita semua telah jalankan peranan masing-masing dengan baik. Antara yang menarik, kita sama-sama berjemur di sepanjang jalan di tengah panas terik..

03 May 2009

ROZI


16 April 2009. IPGM Kampus Kota Baru.

Selesai sesi ‘vetting’ bersama Dr Noriati dan Dr Tajul Arifin, saya berhasrat berjumpa Mohd Rozi bin Ismail, rakan lama ketika di STTC, Cheras. Kali terakhir berjumpa beliau November 2008. Belum pun lama sangat. Tetapi sebelum itu kami sudah terpisah selama 17 tahun. Beliau menjadi tenaga pengajar di IPGMKB. Beria-ia beliau mengajak saya datang ke rumahnya di Pengkalan Chepa. Cuma saya tak punya masa. Kini saya rasa saya dapat memenuhi undangannya itu. Sengaja saya tak mahu memberitahu kedatangan saya. Saya tak mahu dia ‘susah-susah’ kerana saya..

Rozi rakan saya yang istimewa. Kami pernah tinggal serumah sewa di Taman Jaya, Bandar Tun Razak. Cheras. Beliau pandai memasak, mengemas, suka fesyen dan glamor yang tak berlebihan. Setahun selepas posting, kami terputus hubungan. Beliau mengejutkan saya dengan menghantar poskad dari Jepun. Rupa-rupanya beliau menyambung pelajaran dalam pengajian Bahasa Jepun selama setahun di Tokyo. Kejutan seterusnya.. berita dan gambar majlis perkahwinannya keluar dalam sebuah majalah wanita edisi khas. Perkahwinannya mendapat tajaan syarikat majalah tersebut. Dia dan isteri telah melancong ke beberapa buah negara Eropah.

Selepas pertemuan November 2008, Rozi ada bertaya saya bila saya nak ’maghi Kelate?’ Saya kira inilah gilirannya saya akan membuat kejutan pula. Tapi terfikir juga , Rozi ni jenis orangnya bila terkejut, siap dengan mengah-mengahnya sekali... Pernah dulu sewaktu pulang dari pasar malam, rakan saya, Ghulam, memegang seekor katak dan menunjukkan kepada Rozi. Si Rozi ni terus kegelian, mengah, muntah dan terus lembik kat situ. Kami terpaksa memapahnya. Malam itu juga Rozi bermalam di HKL dan mendapat MC 2 hari..

Saya melihat carta organisasi di pejabat am IPGMKB. Tiada pula gambar Rozi. Saya perhatikan satu satu. Terutama di bawah organisasi Jabatan Ilmu Pendidikan. Tiada. Kebetulan lalu seorang perempuan muda. Mungkin staf. Dia bertanya dengan mesra. ”Cari siapa encik?” Saya jawab, ”En Mohd Rozi bin Ismail. Cik, boleh tanya, kenapa gambar dia tak ada kat carta ni?”

”Ohh. En Rozi dah pergi ke USA bulan lepas. Sambung belajar Ph.D. Dia bawak isteri dan anaknya sekali..”
......... ,
, ☻

02 May 2009

asbab musabab

TERIMAKASIH BANYAK KEPADA RAKAN-RAKAN: ISMAIL, FAUZI, MAZDARUDDIN, HATIM DAN ROZMAN.

Petang Isnin 27 April saya memandu sendirian ke Kuantan melalui LPT. Hampir ke R&R Maran steering bergegar bila meter mencapai 120kmsj. Sesuatu tak kena. Saya berhenti. Tayar ok. Enjin, secara fizikal, ok juga. Saya teruskan perjalanan. Kali ini semakin teruk. Kelajuan tak boleh melebihi 80kmsj. Tempat duduk sekali bergegar. Saya bimbang kalau-kalau tayar tercabut pula. Akhirnya pukul 9 malam baru saya sampai di Duta Village Beach Resort. Taklimat telahpun bermula..

Esoknya saya menghantar kereta berumur 4 tahun setengah ini ke bengkel di Beserah. Driedshaft nya pecah. Diganti dengan kos RM245.00. Satu jumlah yang saya bayar tunai. Jika lebih, terpaksa guna duit plastik la. Bukan nak menunjuk saya bawa duit dua tiga ratus dalam poket. Jumlah ini tiada apa-apa. Akan tetapi sejumlah wang wajar ada dalam dompet jika dalam perjalanan begini. Jika terdesak, carilah ATM di mana-mana.

Insiden kerosakan atau kehilangan harta benda semakin kerap saya temui dalam tempoh dua tahun ini. Kamera digital saya jatuh dalam sungai di Taman Negara, laptop rosak skrin, kereta rosak itu ini. Macam- macam lagi yang melibatkan pengeluaran wang secara kontigensi. Pada mata kasar, asbabnya jelas. Kereta sudah berusia, patut pun rosak sikit-sikit. Laptop saya letak dalam boot kereta selama 4 jam waktu siang , rosak skrinnya. Ganti skrin baru RM800.00. Itu tak termasuk kos menghantar dan mengambil di pusat servis di Kuantan.

Memang sudah jadi sunnah alam setiap kejadian ada asbab musabab. Air membasah, api membakar. Namun kaddang-kadang berlaku juga kejadian yang berlawanan dengan asbab. Atau tanpa asbab

Sorot ke belakang. Minggu lepas, Faizal, rakan sepejabat, terlanggar babi di Gua Musang. Melihat gambar, teruk juga keretanya rosak. Tangki airnya pecah. Masuk bengkel. Bulan lepas Sazali langgar babi juga di Kerambit. Awal tahun ini Mazdaruddin langgar pagar di Benta. CRV nya rosak teruk juga. Sehingga membolehkan beliau membeli sebuah Toyota Vios baru. Ketika kami pergi ke Pulau Pinang tempoh hari, kompressor kereta Fauzi rosak di Gua Musang (keretanya berusia 9 tahun). Kompresornya ditukar yang baru (recond). Kos RM470.00. Padahal dia baru saja ganti kompressor tersebut 2 minggu sebelumnya. Saya tak bermaksud mengaitkan insiden Toyota Unser milik Hairi yang berlanggar dengan pacuan 4 roda 2 bulan lepas dalam tulisan ini. Tetapi kebebasan berfikir sukar dihalang. Insiden ini sangat menyayat hati. Unser tersebut hancur musnah. Hairi pula terlantar di HUKM sebulan lebih. Patah pinggang dan pecah buku lali..

Jika ditanya rakan-rakan sekerja yang lain, tentu mereka ada pelbagai versi. Mungkin saya boleh buat satu koleksi cerita sebegini. Emm...baik juga idea ni... Saya (kita) percaya setiap musibah ada hikmah. Sebagai ujian atau peringatan. Dengan ujian kita sabar. Dengan peringatan kita syukur. Ini bermakna kita masih diberi hidayah olehNya. Adalah malang jika kita tak sedar musibah itu satu ujian atau peringatan. Malang ekstra jika kita menafikannya langsung atau menyumpah-nyumpah pula. Itu pemikiran tak sedar namanya (unconscious minded)

Kepada diri saya sendiri, rakan-rakan atau pembaca tulisan ini saya berpesan:
Setiap rezeki yang kita perolehi, syukurilah ia. Bersihkanlah ia. Banyakkan sedekah. Hindari sifat tamak dan kedekut. Tingkatkan taqwa sebagai hamba Allah dan mantapkan integriti sebagai penjawat awam atau sebagai rakyat Malaysia. Tak kira ruang dan masa.

Kita hidup bukan hanya di sini... Saya tak berani kata; Jumpa anda ”di sana!” Sebab ” di sana” nanti tak pasti kita jumpa atau tidak. Walaupun kita dapat jumpa, kita akan sibuk dengan urusan sendiri... Oleh itu sementara kita masih di sini, marilah kita berpesan-pesan.

18 April 2009

PELAN JIMAT ZAMAN GAWAT

Berjimat cermat amalan mulia. Sentiasa berbelanja dengan berhemah, buat tabungan. Bila masa kecemasan, tidaklah gabra sangat. Berjimat yang ekstrim memungkinkan kita boleh jadi kaya. Dalam zaman gawat kini, pelbagai pelan ekonomi mesti difikirkan dan dipraktikkan. Berikut satu amalan jimat cermat yang boleh direnungkan bersama…. Amalan ini hak cipta terpelihara seorang yang saya kenal walaupun tak berapa rapat dengannya... Sebelum itu, saya sama sekali tidak berniat untuk menceritakan keburukan orang lain melalui tulisan ini. Lihat daripada sudut praktikal. Selebihnya kita fikir sendiri..

Beliau memilih fesyen yang ringkas. Baju kecil, ketat sikit tak apa. Kebanyakannya warna coklat, putih atau suram. Pernah juga pakai kombinasi yang agak pelik seperti warna yang orang kata ’tak masuk’. Kadang-kadang pakainya macam ada acara santai di pantai. Pilih pakaian yang tak perlu digosok selalu atau dibasuh kerap. Koleksi yang ada boleh diulang setiap minggu.

Di rumah memang tak ada peti TV, mesin basuh, peti sejuk dan dapur. Jimat elektrik. Bil bulanan tak sampai RM20.00. Bila kerajaan kata tak payah bayar bil bawah RM20.00, ini satu bonus! Katil pun tak ada. Dia tidur atas toto saja. Emmm.. masa mengurus banyak dapat dijimatkan...

Dari segi makan (perkara yang paling banyak keluar duit), untuk jimat, kurangkan nafsu makan. Mee segera ok juga. Tak hairan kenapa dia agak kurus. Bawa saja bekal roti dan air masak ke tempat kerja. Kalau ada kursus dekat pejabat yang ada makan-makan, jadilah peserta kursus tersebut. Biarpun bidangnya tak ada kena mengena atau tak berapa disukai. Masa makan, pulun habis-habis. Kalau ada makanan lebih, jangan malu-malu mintak bungkus bawa balik.

Seorang rakan lelaki (saya namakan F), pernah berpeluang diundang makan malam oleh si dia yang mengamalkan pelan jimat ini. Ternyata sidia ni masih sanggup belanja rakan. Jangan anggap dia kedekut. Ingat, ini pelan jimat! Mereka makan chicken chop di hotel di bandar. F memesan fresh oren, si dia memesan air kosong. Mereka pun makan bersama. Alahai..terasa bagai pasangan kekasih pula bila berkongsi sepinggan chicken chop....

Pernah dia pergi berkursus bersama rakan yang dimintanya jadi pemandu keretanya. Bila rakan ini memecut agak laju, sidia marah. Cepat habis minyak katanya. Emmm.. kalau berlaku kemalangan tentulah kosnya jadi lebih besar lagi.... ingat, mencegah lebih baik daripada mengubati..

Ada lagi pelan jimat. Jangan keluarkan satu sen pun bagi kerja-kerja percetakan. Printer dan komputer pejabat ada. Balun je... Tak kisah kalau nak print, atau fotostat berapa puluh helaipun. Kalau dakwat habis, nanti diorang ambil lagi kat stor. Untuk mengelakkan perbuatan ini ketara atau disyaki, lakukan pada waktu petang bila orang dah balik. Kalau rajin, datang je pada hari cuti. Ya, alatan pejabat memang kita berhak gunakan. Tapi gunakan untuk kepentingan bersama, bukan untuk peribadi atau kroni.. kalau urusan peribadi, keluarlah kos sendiri..

Terbaru dia berpindah ke rumah sewa di sebuah taman. Ini kerana elaun perumahannya sudah naik. (Gajinya saja lebih RM4000.00 sebulan). Kalau dia terus menyewa kuarters kerajaan, elaunnya yang tinggi itu tidak dapat dinikmatinya. Kalau kitapun, akan buat macam ni juga... Lagipun berilah peluang orang yang yang lebih memerlukan kuarters, yang ramai anak misalnya.. Dia memilih rumah yang terbina di atas tanah yang rata. Katanya, rumah yang lokasinya di atas atau di bawah bukit, akan menyebabkan penggunaan minyak kereta yang banyak apabila kereta mendaki. Pemikiran saintifik! Otak fizik! Saya teringat Prinsip Archimedes bahawa jarak yang paling dekat di antara dua titik ialah melalui satu garis lurus. Saya tak pasti dia terfikir atau tidak hal ini. Jika ada jalan lurus dari rumah ke tempat kerja, tanpa belok-belok, tentulah masa dan minyak dapat dijimatkan sekali lagi.

Bila dia bertanya rakan-rakan, di manakah kedai perabot yang jual katil murah, pelan rahsia jimat cermat beliau kini telah diketahui oleh lebih ramai orang lagi... Mungkin ada nanti yang mendapat idea tambahan untuk berjimat cermat... Saya sendiri berminat mengkaji idea ini. Memang PRAKTIKAL! Cuma..pelan ini perlu diubahsuai ikut citarasa masing-masing...selamat mencuba!



DI CELAH MERAPI DAN SINGGALANG

Tika matahari Merapi

Terhenti di Bukit Tinggi

Kutemui azalea

Antara sempit jalanraya

Kuning sawah

Tanpa lelah

Menghidupkan hidup


Tika bulan Singgalang

Malam tenang di Padang

Kutemui bakwit

Antara mujahadah taqwa

Maal Hijrah

Istiqamah

Kemanusiaan kuhirup


Bukit Tinggi, Sumatera Barat

28 Disember 2008

1 Muharam 1430H

05 April 2009

Beg dan tangan

Bila Norhisham KU Unit Pemulihan Khas menghantar sms bahawa Rosmaini kena ragut pada petang Ahad 22 Mac, emosi saya berbaur. Terkejut, sedih, simpati. Saya segera menghubungi Norhisham. Kejadian berlaku di depan The Mall, KL. Peragut menaiki motosikal. Berdua. Rosmaini baru turun dari bas di Terminal Putra. Laptop yang baru sebulan dibelinya lesap begitu saja. Termasuk modem broadband dan beberapa asigment yang perlu segera dihantar. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi.
Saya simpati pada Rosmaini. Bukan saja dia kehilangan benda-benda tersebut, tetapi dia sendiri pada masa itu belum menerima elaun, tidak seperti rakan-rakan KPLI yang lain yang baru saja jadi OKB bila dapat RM3000.00 lebih beberapa hari sebelum kejadian.

Isu ragut memang sudah basi. Tapi tetap berlaku sehingga kini. Dalam sesi tutorial PK, beberapa cadangan diberikan. Antaranya;

Perempuan tak payah pakai beg tangan. Siapa yang mencipta beg tangan? Sejak tahun masihi bila perempuan mesti membawa beg tangan? Ramai tutee perempuan setuju tak payah pakai beg tangan. Betul ke tu... Nanti dah kerja, mula lah nak beg tangan yang mahal-mahal.. Idea lain, cara pegang beg atau barang. Pegang atau letak sebelah depan badan. Kalau letak dalam bakul motor, pastikan ada penutup. Selalu pandang ke belakang bila berjalan. Terutama bila dengar bunyi motor. Kalau peragutnya berjalan, jerit kuat-kuat. Jangan kejar peragut samada naik moto atau berlari. Banyak kes mengejar peragut berakhir dengan tragedi.. Duit, beg tangan, kad kredit, kad pengenalan, lesen malah telefon bimbit boleh diperolehi semula. Tetapi nyawa...

Banyak idea diberikan. Yang penting langkah pencegahan. Bila dah berlaku, menyesal hanya berguna untuk 2-3 minit sahaja... Ingatlah, peragut akan tetap wujud dan semakin kreatif.. Tapi sayang kreativiti mereka digunakan untuk menyusahkan orang lain...