08 November 2010

BUKIT FRASER


Negeri Pahang Darul Makmur memang dimaklumi banyak tempat menarik. Dari Puncak Gunung Tahan            ( tertinggi di Semenanjung) hinggalah ke  dasar laut pantai Pulau Tioman (tercantik di dunia) semuanya tersedia untuk dilawati.  Pergilah melancong ke Pahang, cuti-cuti Malaysia! (Promo).
Cuti Deepavali yang lalu tanpa banyak perancangan, berbincang  dengan ahli keluarga lebih kurang, lalu bergerak ke Bukit Fraser. Walaupun jarak dari rumah 90km sahaja, baru kini berpeluang bercuti  di sini dalam erti kata hampir sepenuhnya.  Pada 2007 saya pernah berkursus di sini. Namun, tak banyak peluang meninjau ke sana sini.       

2 jam perjalanan.  Macam lama. Sebenarnya jalan dari Raub ke Bukit Fraser  40km mengambil masa sejam.  Bengkang bengkok dan mendaki.  10kmterakhir mula dari GAP, jalan jadi selorong. Jam angka ganjil adalah untuk kereta naik, jam angka genap untuk kereta turun. Kami sampai jam  9,  jadi sempatlah naik. Tak perlu menunggu jam 11. Ramai pengunjung datang dari jalan sebelah Kuala Kubu. Dari Selangor lah tu..

Tanpa merancang sangat apa yang hendak dibuat, kami redah sahaja ke The Paddock, tempat menunggang kuda. Dengan bayaran RM8 untuk sekali pusingan. Diteruskan dengan membeli madu lebah. Seterusnya mencuba Archery. Memanah memerlukan posteur yang betul. Tegakkan badan, tutup mata kiri, selarikan tangan kiri dan kanan separas bahu, tarik sehingga ke pipi dan  lepaskan anak panah. Lenguh juga lengan...


Seterusnya menikmati panorama..konsep perkampungan Inggeris,  pokok pine, bunga-bunga tanah tinggi (ada yang namanya lipstick), bentuk rumah dan banglo ala Scottish.  Kebanyakan pengunjung membawa teropong untuk melihat burung yang pelbagai speisis. Ramai juga yang mengambil gambar dengan kamera yang dah tentu mahal-mahal belaka. Siap dengan tripod.  Nampaknya mereka jurugambar profesional.
Singgah pula menaiki boat kayuh. Tasiknya tidak begitu besar. Sekali giliran hanya 10-15 minit. Kemudian kami terus ke Air Terjun Jeriau, 4km dari pusat pekan. Jalan menurun, perlu sentiasa membunyikan hon setiap selekoh.  Airnya amat dingin- gabungan cuaca perbukitan, pokok hijau menyelimuti, batu batu sejuk dan sedikit hujan gerimis.



Dalam 10 minit mandi, menggigil, bibir sudah jadi biru-kesejukan.  Kawasan mandi agak luas dan pengunjung tidak sesak. Ada yang mendirikan khemah. Kemudahan bilik salin pakaian dan tandas juga bersih.
Sebelum pulang, singgah makan di dataran awam. Banyak pilihan makanan timur dan barat. Tidak lupa membeli sedikit cenderamata.  Sempat mengejar jam 2.30pm sebelum gate ditutup untuk laluan naik.
Suatu percutian sehari yang murah dan amat memuaskan.  



TUKAR KERETA BARU?

 Setiap pagi parkir kereta di sebelah kereta kawan-kawan, terserlah benar kereta aku yang agak usang. Cat yang pudar dan kelabu, 'tinted' yang sudah lusuh. Ada pulak sedikit kemik di muncung depan. Sudahlah tak pakai sport rim.Tayar pula jenis murah je.

Terkadang terasa ingin tukar kereta baru. Dah jemu naik Proton Wira. Hampir 6 tahun. Bila bawa kereta automatik, baru terasa penat menukar gear kereta manual. Baru-baru ni bercuti ke Bukit Fraser. Nasib
baik bawa kereta auto. Kalau tidak, sakit kaki menukar clutch dan tukar gear.

Akan tetapi, kereta aku ni tak ada sebarang masalah. Perlukah ditukar? Adakah ini satu keperluan atau semata-mata kehendak? Memanglah banyak ciri-cirinya tak setara kereta mahal lagi automatik. Misalnya tak ada pemain CD, pintu tak automatik (power window) dan tak pakai alarm remote. Memang teruk.... Bukan kedekut, tapi dulu masa beli, gaji kecil je.. Tak mampu...

Bak kata falsafah Russia; Jangan kamu menggantikan mesin yang tidak rosak, nanti kamu bakal kehilangannya. MAksud; benda yang elok buat apa ditukar. Teruskan guna selagi tidak rosak. Bahkan selalunya benda yang tak diguna itu akan selalu mudah rosak.


Keinginan manusia (nafsu) tak pernah terbatas. Jika diberi satu gunung emas, manusia akan mahukan dua. Manusia juga mudah jemu dengan sesuatu benda yang sama dalam tempoh yang lama...
Perlukah aku bersabar dulu..





sumber gambar : http:www.thedigeratilife.com

02 November 2010

Bola kayu -suatu analisis daripada orang yang tak menang

31 Oktober 2010. Ahad. 8.00 pagi-1.30 tengahari. Laman Woodball Lembah Berchang, Kuala Lipis.
64 peserta termasuk 14 dari Cameron Highland dan 1  Selangor. 36 gate. 142 par (71 par = 18 gate). 2 pusingan.
16 flight.

Saya diundi ke flight ke-2. 4 peserta. 3 lagi GB SK Kuala Kenong, Pegawai Pendidikan CH, dan cikgu Fairuz (pernah bermain di peringkat kebangsaan). Memang saya mencari nahas. Bakal dibelasah oleh mereka.... Ketiga-tiga mereka memang pro dan berlatih setiap hari.

Kali terakhir saya bermain woodball ialah lebih kurang  7 bulan yang lalu. Itupun bukan ertikata bermain
sungguh-sungguh. Sekadar memukul bola lebih kurang. Sehinggalah hari pertandingan ini barulah
saya menemukan semula beg woodball ini yang tersorok balik rak di belakang rumah. 

Banyak perkara perlu diberi perhatian ketika bermain. Pertama, kedudukan badan. Adakah perlu membongkok  atau tegak? Kaki terkangkang sedikit atau banyak?  Atau rapat?  (kalau main golf tak ada terkangkang.) Saya jarang guna posisi ini sebab saya tinggi, nampak tak senonoh, macam zirafah nak minum air pun ada...
Sudut atau bearing badan juga mempengaruhi. Jika terlebih ke kiri mungkin bola akan ke kiri
atau boleh jadi lurus. (selalu  saya kurang beri perhatian soal ini, walaupun sedar. Saya banyak ikut kata hati)

Tangan nak digenggam di  tengah kayu pemukul atau di pangkal, atau hujung? Ia akan menghasilkan variasi kelajuan bola. Nak bola manja? Brutal? Atau yang berpotensi membedal sesiapa yang berdekatan...?
Ia juga bergantung kepada kedudukan  bola dengan sasaran. Jika nak 'parking' saja bola, kekuatan pukulan mungkin agak kurang. Jika gate masih jauh sedangkan nak hantar bola terus hampir dengan gate atau terus nak 'gate in one' maka pukulan jadi lebih kuat. Kalau kuat mungkin OB (out of boundary). Kena denda
tambah 1 pukulan.  Bergantung kepada par juga. Ada orang suka main bawah par (birdie). Saya main selamat dan jimat (play safe).

Keadaan permukaan tanah juga sangat penting diperhatikan. Berumput atau tidak? Rumput tebal atau nipis, kering atau basah?  Berlekuk atau rata? Ada akar pokok, tembok, pokok bunga, batu, pasir (bunker), longkang?
Faktor cuaca juga penting. Kalau redup, 36 gate boleh sahaja dalam 3 -4 jam. Stamina tentunya mantap.
Pastikan minum minuman tenaga dan perut berisi. Tapi ada juga orang yang kemaruk main dalam bulan ramadhan.

Faktor psikologi dan emosi juga dibina dalam woodball. Jangan tamak nak pukul bola laju-laju atau nak cepat habis. Akibatnya kecundang. Tunggu arahan marshall untuk giliran. Jangan stress. Jangan takut kalah. Bermainlah di bawah tekanan. (Inilah mungkin faktor saya tak menang). Terkadang ada orang suka menyindir, mengapi-apikan, memuji yang ada racun, maka jangan terpedaya. Bila dah kembang mulalah main tak berapa betul... Nasib baik saya bukan kategori ini,  sebab tak ada apa yang boleh dipuji...lagipun mereka nampak saya tak beri saingan pun...


Kesimpulannya woodball menyediakan segalanya. Dari kecergasan  fizikal hinggalah kecerdasan emosi,
pemikiran strategik, kemahiran intrapersonal dan interpersonal (IQ, EQ, SQ, ESQ, dan AQ).

Dengan jumlah pukulan 210, sememangnya saya  tak menang. Namun bila johan dengan 159 pukulan dan
peserta tercorot 248 pukulan,  210 agak memuaskan  berdasarkan alasan sudah lama tak berlatih
dan dibelasah oleh pemain pro. Termasuk juga faktor-faktor disebutkan tadi...

01 November 2010

LOBAK PUTIH

Kencing tak lawas biasanya ditandai dengan simptom-simptom seperti kerap kencing, rasa seperti tersekat-sekat, masih menitis walaupun sudah keluar tandas, teringin kencing walaupun minum sedikit air sahaja, dan mungkin juga rasa nak kencing tapi tiada kencing yang keluar. Kebanyakan masa dihabiskan agak lama di dalam tandas bagi mendapatkan kepuasan atau selesa dan yakin tiada lagi titisan yang tertinggal.

 Bagi yang hendak mendirikan solat, hal ini akan menimbulkan perasaan sangsi adakah  sudah benar-benar 'suci' daripada najis dan kekotoran. Ini akan menjadikan solat tidak khusyuk kerana sentiasa ragu-ragu.

Anda yang menghadapi masalah ini boleh mencuba petua ini. Dapatkan sebiji lobak putih ( banyak di pasar) yang masih segar. buangkan kulit dan daunnya. Potong kiub halus-halus. Kisarkan hingga hancur. Tapis airnya. Buangkan hampasnya. Minum air ini segera. Jika tidak tahan dengan baunya

( seakan-akan hancing) tutup hidung dan terus minum.  Menurut sumber dan dapatan kajian, kaedah ini adalah mujarab. Sehingga ada yang berjaya mengeluarkan biji-biji pasir (batu karang) sewaktu kencing. 
 

P/s; jangan simpan jus lobak putih ini dalam peti sejuk. Ia akan menimbulkan bau yang amat menyengat hidung (bagaikan bau sampah).  selamat beramal....


Terima kasih kepada  AB KARIM BIN ABDULLAH ( rakan sekerja) di atas petua ini.

29 October 2010

AWANG VS UJANG

"Oghe Kito" bagi orang Kelate. "Orang Kelantan" bagi orang bukan Kelantan. Bagi sesiapa yang agak luas dan agak terbuka pergaulannya pasti menyedari perbezaan dan ciri-ciri orang Kelantan. Pertama sekali dialek yang ketara berbeza dengan dialek negeri-negeri lain di Malaysia. Inilah identiti utama orang Kelantan.

Meski mereka sudah berhijrah lama meninggalkan kampung halamannya, dialek ini sukar terubah. Ini kerana mereka suka bergaul sesama mereka sahaja. Mereka juga sering sahaja balik kampung saban minggu atau saban bulan. Jika tidak pun, orang Kelantan selalu kedapatan di mana-mana sahaja. Ini satu lagi cirinya- suka merantau.

Ketika saya dan taulan melancong ke Danau Toba, Medan, Sumatera Utara pada Disember 2008, saya agak terkejut apabila mendengar seorang penjual barangan cenderamata bercakap dalam dialek Kelantan. Namun ternyata dia orang Indonesia. 

 Sikap suka merantau samada mencari pekerjaan atau belajar sememangnya sinonim dengan orang Kelantan. Kelantan antara negeri yang ramai penduduk sedangkan sumber ekonomi agak terhad. Oleh itu keluar merantau adalah jalan terbaik.. Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan lelaki Kelantan cenderung memiliki lebih dari seorang isteri. Jadi tidak hairanlah bilangan anak menjadi ramai. Seterusnya bilangan penduduk juga ramai. Apabila sumber tidak cukup di tempat sendiri, maka berhijrahlah mereka.

Samada di Kelantan atau di luar Kelantan, sikap suka berniaga memang menjadi darah daging mereka.
Sehingga boleh dikatakan jika seseorang Kelantan itu tidak berniaga, maka dia bukanlah Kelantan tulin. Walaupun sekecil-kecil barang, akan diniagakan. Jati diri orang Kelantan yang kental inilah menyebabkan orang cina di Kelantan fasih bercakap dialek Kelantan sehebat orang Kelantan sendiri. Premis-premis perniagaan dikuasai oleh orang Kelantan juga. Dan di negeri-negeri lain juga ramai orang Kelantan memiliki perniagaan yang  maju.

Dan petang ini (29 Oktober 2010) jika biasanya deretan kereta dari Kuala Lumpur melalui jalan Bentong-Gua Musang, pada setiap petang Jumaat, bagaikan pesta balik kampung, situasi kontra kini berlaku. Ratusan kereta dari Kelantan menuju ke Bukit Jalil dengan kibaran bendera merah. Biarpun perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung pada malam esok, gelombang merah telah menndebur di jalanan Gua Musang-Bentong.

Pertemuan Kelantan dengan Negeri Sembilan boleh dianggap sebagai pertemuan dua watak degil. Awang (Awe) bertemu Ujang (Jang). Ujang adalah panggilan kepada lelaki muda di Negeri Sembilan. Negeri Sembilan sinonim dengan Minangkabau di Sumatera Barat.  Mungkin kita kurang beri perhatian kepada kekentalan semangat orang Minang dalam meneruskan kelangsungan hidup (survival). Melalui prinsip hidup hampir-hampir kepada matlamat menghalalkan cara ( maaf, bunyinya agak kasar, prinsip ini tersirat dalam ungkapan Minang dalam entri saya " Santun Melayu"), orang Minang berjaya hidup di perantauan. Buktinya lebih kurang seratus tahun lalu, mereka berjaya mendirikan kerajaan Negeri Sembilan, walhal mereka datang dari Ranah Minang.

Sikap suka merantau ini sama dengan sikap Kelantan (Ada satu pekan di Negeri Sembilan namanya Rantau).
Selain itu, orang Minang juga suka berniaga. (Lihat buku "Bisnes Minang vs Bisnes Cina".) Jika orang Kelantan dapat bersaing dengan orang Cina dalam bisnes, Minang juga boleh. Ini kerana ciri-ciri daya saing itu hampir sama dalam jiwa Kelantan, Minang dan Cina.

Teringat saya perumpamaan untuk suatu situasi yang sukar iaitu ketika dalam dilema. "Bagai mendapat buah simalakano, dimakan  mati mak, disimpan mati bapak". Apa yang harus dibuat? Bagi orang Minang, jika demikian, jualkan saja!!! Itulah otak bisnes.

Oleh itu, tidak kisah siapa juara piala Malaysia 2010.  Kelantan dan Negeri Sembilan mewakili dua entiti Melayu yang  berjaya menonjolkan daya saing dan daya tahan. Ciri-ciri yang amat kita perlukan dalam melonjakkan bangsa Melayu menguasai apa juga bidang khususnya ekonomi dalam kehidupan global hari ini. Kita menunggu-nunggu juga kebangkitan semangat Tuah, Datok Bahaman, Datok Maharajalela dan yang lain-lain.. Apa agaknya sedang dibuat oleh cucu cicit mereka?

18 October 2010

smoga bermanfaat

Ini adalah sebahagian mukasurat buku Ikhtiar dan Doa keluaran Darus Syifa'. Doa yang tertera adalah doa pendinding diri. Bertawakallah kepada Nya..Selamat beramal. Semoga bermanfaat.
Untuk makluman , buku ini ada dijual di gerai-gerai buku Islamik. Di dalamnya terdapat doa-doa berkaitan rawatan penyakit fizikal dan penyakit spiritual.