19 August 2007

KOMPETENSI KECERDASAN EMOSI

KOMPETENSI KECERDASAN EMOSI

Mengurus tekanan
Fazli Mohd Bazin

Tekanan, stress, atau tension sering dikaitkan dengan konflik emosi. Seseorang yang sedang mengalaminya perlukan kompetensi kecerdasan emosi agar dapat mengawal diri. Kecemerlangan dalam mengawal emosi memberi kelebihan kepada seseorang untuk terus menghadapi hidup ini dengan sihat, mental dan fizikal.

Tekanan penting dalam hidup kita. Bayangkan paip air tanpa tekanan. Atau roket tanpa tekanan. Tekanan akan tetap ada di mana-mana atau bila-bila masa. Cuma kadarnya yang diperlukan perlu diambil kira. Terlalu banyak tekanan boleh menyebabkan emosi tidak stabil. Tekanan emosi yang ekstrim pula mungkin menyebabkan gila. Tidak ada tekanan langsung menyebabkan kita sentiasa dalam zon selesa. Terimalah tekanan sebagai sebahagian hidup kita. Belajar pula bagaimana mengurusnya.

Langkah pertama, ingatilah Tuhan. Mengadulah kepadaNya. Sentiasa harap KepadaNya. Samada saat kita bahagia atau duka, sentiasa berserah kepadaNya. Istilah yang biasa digunakan ialah redha.

Ingatkan diri anda “Saya Istimewa”. Ya! Dalam dunia ini tidak ada seorang pun yang betul-betul sama dengan anda. Tentu anda unik kan? Berbanggalah dengan diri anda. Berfikir dengan positif dapat mengubah situasi tiada harapan kepada situasi penuh peluang.

Menurut Dr. Noordin Darus, berbicara dengan bunga adalah satu terapi yang dapat melegakan tekanan emosi. Sebelum pergi kerja atau kelas waktu pagi, ambil masa 20 saat, berbicaralah dengan bunga yang anda telah pilih dan sayangi. Bunga ini mestilah asli, bukan bunga plastik. Berilah selamat pagi kepadanya. Pujilah kecantikannya. Sentuhilah ia. Rasai kelembutannya. Kagumilah kesegarannya disirami embun pagi. Jika ia berbau harum, ciuminya. Anda akan teruja. Ketenangan akan dirasai serta merta. Lakukan tabiat ini setiap hari.

Berbicara dengan ikan juga dapat melawan tekanan emosi. Ikan dapat memahami dan berempati dengan manusia. Ketika diberi makan, ikan kelihatan ingin mendampingi kita, mendengar dan berbicara. Anda akan terpukau melihat gelekannya ke sana sini. Luangkan 20 saat untuk melihat gerakannya yang berseni. Pada masa ini tekanan anda akan menurun secara ajaib.

Haiwan kesayangan anda yang lain seperti kucing, kuda dan yang lain juga memahami perasaan gembira dan sedih tuannya. Mereka juga mahu berkongsi emosi yang dihadapi oleh tuannya.

Melihat wajah bayi juga boleh mengurangkan tekanan. Apatah lagi melihatnya bermain, menangis atau ketawa. Bayangkan ibu bapa yang kepenatan balik kerja, setibanya di rumah disambut bayinya dengan ketawa dan penuh rindu. Dengarkan kata-kata bayi yang tidak difahami, tetapi dimengerti bahawa dia minta didukung,dipeluk dan dicium!

Kesemua teknik terapi ini adalah untuk memberitahu otak agar rileks dan melupakan tekanan yang dihadapi. Ingatlah, bukan anda seorang sahaja yang menghadapi tekanan. Tekanan bukanlah penamat kepada hidup anda yang indah itu. Sentiasa ada cara mengatasi atau mengurangkannya.

Akhir kata, ingatlah “Kegelapan diperlukan untuk menzahirkan bintang-bintang di langit”.
Jumpa lagi…..

No comments:

Post a Comment