02 July 2009

Kg. Pamah Kulat

Kampung Pamah Kulat terletak dalam kawasan Ulu Dong, Raub. Terkenal dengan dusun buah-buahan dan pelbagai tanaman pertanian. Durian, salak, rambutan, pisang, nenas, keledek dan segala macam pokok lagi. Pemandangan di sepanjang jalan juga menarik. Seakan-akan sebuah lukisan yang biasa dilukis semasa di sekolah rendah. Ada bukit, pokok-pokok, pohon kelapa, rumah kampung, kolam ikan, kain di ampaian yang melambai ditiup angin. Jika teruskan perjalanan ke kampung Pulau Chekas, di mana ada pusat perkelahan Lata Jarum, ada pula perusahaan bunga kantan di sana.

Semalam, Khamis, 01 Julai 2009 separuh hari saya berada di Tabika KEMAS Kg. Pamah Kulat. Menyelia dan membimbing praktikum guru TBK di situ, Cikgu Saabah binti Seman. Beliau memang kreatif, inovatif dan seronok mendidik kanak-kanak kecil seusia 4, 5 dan 6 tahun. Melihat kerenah kanak-kanak tersebut, ternyata memang Cikgu Saabah punya ketabahan, emosi yang kompeten, dan aura seorang pendidik yang berkarisma. Antara permainan yang dilaksanakan dalam slot P&Pnya, dayung sampan, memancing, mencipta kapal layar dari botol air, menaiki bas dan membuat sandwic. Murid-muridnya aktif, responsif dan riang gembira. Syabas diucapkan kepada Cikgu Saabah. Usaha murni cikgu tak akan dilupakan sepanjang hayat.

Sebelum saya meninggalkan Tabika tersebut, saya telah dihadiahkan sebuah bungkusan (berisi Al Quran) oleh Cikgu Saabah, dan beberapa biji durian gred A dan sebiji nenas yang sungguh besar oleh pembantu Tabika dan seorang ibu kepada kanak-kanak Tabika tersebut. Terima kasih banyak-banyak. Orang Pamah Kulat memang pemurah..

No comments:

Post a Comment