29 January 2010

Kenapa tak pandang muka orang yang kita berjabat tangan?


Mata bertentang budi kedapatan.

           Saya berasa kecewa apabila ada kalanya apabila kita bersalaman dengan seseorang, orang itu langsung tak pandang muka kita. Selalunya keadaan ini berlaku sewaktu orang itu harus bersalam lebih dari seorang. Maksudnya bukan di antara kita dengan dia sahaja. Kadang-kadang tu, rasa kecil hati juga. Kita beria-ia mengukir senyum termanis, dia pula sibuk bercakap dengan orang di sebelah kita sambil menghulurkan tangannya ke arah kita dalam keadaan nak tak nak saja.

        Mungkin juga rakan   di sebelah lebih dahulu menyapa, lalu orang ini tak sempat nak melihat muka kita, terus bercakap dengan rakan kita tadi. Tetapi, dalam keadaan tertentu, memang terdapat spesis orang yang bersalam tak suka bertatap wajah walau sesaat.  Apakah yang menyebabkan mereka bertingkah laku sedemikian? Mungkin masalah personaliti, emosi atau egois?

     Pernah saya terfikir, apabila orang sebegini menghulurkan tangan ke arah kita tetapi sambil dia memandang ke arah lain, saya akan tidak menghulurkan tangan kepadanya. Atau saya akan menghulurkan tangan ke arah kiri atau kanan sedikit. Kononnya tangan dia hulurkan tak tepat ke arah tangan kita. Maklumlah sebab dia tak pandang kita. Walau tindakan ini nampak kebodohan, sekadar untuk membuat dia peka dengan sikapnya terhadap orang lain. Itu saja.


Seloka Salam Tak Pandang

Untuk ke seribu satu kali
Ku cuba lagi merendah diri

Barangkali wajah ini hodoh.
Atau air muka kelihatan keruh

Adakah aku ini ganas lagi garang?
Atau nampak macam nak makan orang?

Benar aku tidak segak bergaya
Juga  tidak macam orang kaya

Oh, penampilanku kah tak cukup kemas?
Namun yang pasti  aku tidak punya emas

Lalu kucuba ukirkan senyuman
Tetapi masih belum  cukup berkesan

Ku renung pula ke dalam matanya
Ah! Dia memaling muka pula ke sana

Selalu orang begini aku bertemu
Apa yang tak kena tolonglah beritahu

Tuan, apalah guna tangan dihulurkan
Jika di hatimu tiada keikhlasan




No comments:

Post a Comment