17 September 2010

Kurang ajar kah anak-anak kita?



Beraya di kampung baru-baru ini memang meriah. Rombongan bertakbir dari rumah ke rumah masih dijalankan seperti biasa.  Jika tidak disebabkan nak Solat Jumaat, mungkin ziarah akan berterusan  sehingga lewat tengahari.
Apa yang membuatkan meriahnya hari raya ini ialah riuh-rendahnya anak-anak. Kebetulan kali ini jumlah mereka nampaknya bertambah dua kali ganda. Sehinggakan tuan-tuan rumah ada yang terpaksa menempatkan anak-anak ini di ruang dapur tatkala rombongan ziarah bertandang.  Ramai anak-menantu yang pulang beraya. Ramai juga ibubapa dan mertua  yang bertambah cucunya.

Menariknya, tiada satupun rumah yang disinggahi menyediakan juadah di atas meja. Semua tetamu harus duduk di atas lantai. Macam kenduri. Maklumlah memang ramai. Anak-anak yang dalam lingkungan sekolah rendah sahaja tak kurang 50 orang dalam romobongan ini.  Kasihan juga melihat tuan rumah harus mengeluarkan banyak duit raya... Sesungguhnya amalan kunjung-mengunjung patut dimantapkan lagi di kalangan generasi muda. Agar mereka lebih menghargai jiran, saudara-mara dan rakan taulan.

Tanpa bertujuan mencacatkan kelebihan dan kepentingan berziarah pada hari raya, berikut adalah sedikit kritikan sosial untuk renungan bersama.

Pemberian duit raya adalah sedekah daripada tuan rumah. Terserahlah kepadanya hendak memberi atau tidak. Jumlahnya juga tidak ditentukan. Kini, anak-anak sudah menganggap duit raya sesuatu yang wajib diberi oleh tuan rumah. Malah ada yang langsung tidak menjamah juadah yang disediakan. Tujuan mereka semata-mata nak duit raya. Jika tidak diberi, mereka akan merungut. Lebih tak malu lagi mereka akan meminta terus dari tuan  rumah. Dalam soal ini, apakah peranan ibu bapa?

Seterusnya berkaitan adab tatkala bergaul dengan orang tua. Ada anak-anak yang sudah tidak tahu bagaimana seharusnya lalu di depan orang tua. Selamba sahaja berdiri tanpa menundukkan badan atau mohon izin lalu. Malah ada yang lalu seolah-olah nak berlari.
Tatkala semua orang tua duduk di lantai, ada pula anak-anak  yang duduk di sofa dengan kaki terjuntai-juntai hampir sahaja menendang belakang ayah dan atuk mereka.

Berkaitan adab makan pula, anak-anak juga perlu diajar agar tidak membazir. Jangan ambil makanan banyak, kemudian makan sedikit sahaja. Atau gigit sebelah biskut kemudian letak semula. Jangan minum sambil berdiri. Jangan menyepah-nyepahkan makanan.

Selain itu, tingkah laku bertamu juga perlu diberitahu kepada anak-anak. Misalnya duduklah dengan sopan, jangan gatal tangan membuka siaran TV atau mengalih-alih siaran, jangan membelek-belek dan mengalih barang perhiasan, jangan menyampuk perbualan orang tua, bercakap dengan suara yang rendah, jangan masuk ke dalam bilik,  tunjukkan muka yang manis dan senyuman kepada tuan rumah, jika boleh bersalaman dengan semua orang, memberi dan menerima menggunakan tangan kanan, mengucapkan terima kasih dan memberi salam.

 Adakah  saranan ini keterlaluan? Atau ajaran ini ketinggalan zaman? Apakah kita dahulu tidak diajar oleh orang tua kita tentang adab? Atau kita tidak mahu anak-anak kita mengamalkan nilai-nilai yang dianggap usang? Apakah nilai-nilai baru kita? Adakah apabila anak orang lain agak kurang ajar, maka anak kita harus begitu juga.?  Nilai-nilai individualistik tidak harus dipupuk dalam jiwa anak-anak. Demikian juga nilai-nilai materialistik..

SELAMAT HARI RAYA. MOHON MAAF ZAHIR DAN BATIN.

30 August 2010

Kurniakanlah Aku dengan Malam Qadar

Ya Allah, 
sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun,
dan Engkau sukakan pengampunan, 
maka ampunilah aku..

Ya Allah,
Tidaklah aku katakan
agar Engkau terima amalku,
Hanya aku katakan
agar pena keampunanMu
memadamkan dosa-dosaku..

29 August 2010

Dik!! Diikk!! Diiikkk!!!


Catatan 3/3.

Budak menjual CD

27 Ogos 2010. 4.10 petang. Stesen minyak Petronas, Simpang Jerantut, Temerloh

Sewaktu mengepam minyak, saya didatangi seorang budak perempuan remaja.
Di tangannya ada beberapa barang.
Assalamualaikum bang. Saya ....dari tahfiz...Kedah... (Tapi penampilannya biasa saja. Tak nampak macam budak tahfiz pun)....abang nak tengok CD, DVD...
Dari Kedah? Awat jauhnya mai sampai sini oooiii...
Kami pi satu Malaysia bang... mai laa beli ni DVD P. Ramlee bang..
P.Ramlee? wow! Awat sekolah tahfiz juai DVD P. Ramlee?
Pasai apa bang? Tak bleh kaa?
Tak dak laa lagu tuu..  Cuma biasanya kalu tahfiz tu, juai CD Quran ka, bahasa Arab ka..
Oooo..nanti kami bawak la VCD nasyid bang...
Ni lagu P. Ramlee ni lagu yang tak pernah dengaq ka?
Tak bang, lagu biasa, cam Bunyi Gitar,.... tapi dia dok ada video klip lagi..
Erm..karaoke la tu..
Lebih kurang la bang...


Beberapa minggu lepas, di Stesen Petronas Tanjung Malim. Saya didatangi seorang budak perempuan menjual barangan. Dalam lingkungan 13-15 tahun usianya. Wajahnya boleh tahan. Manis.

Assalamualaikum bang. Saya dari.... bang belilah satu produk ni.. bam gosok sesuai untuk gatal-gatal, ruam, sakit sendi....
Dik, dik dari mana ni?
Dari jauh ni bang. Bantulah kami bang. Usahawan kecil-kecilan.
Dik, dah  dekat pukul 7 malam macam ni, adik tak balik rumah ke?
Nanti ada orang jemput saya bang.. ambillah satu bang...
Mak ayah adik tak risau ke..?
Diam.... Bantulah kami bang. Cuba produk ni... Bantu bumiputera, Islam, Melayu..
(Pandainya..) Tak pe la dik, nanti lain kali saya beli ya....

Dia tarik muka muncung dan berkata;   ”Beginilah orang sekarang....” sambil berlalu pergi.
Dik! Dik! Diiikkk!!!!
Namun dia tidak menoleh ....
Saya rasa detik itu sungguh dramatik....














hanya lelaki


Catatan 2/3

Solat Jumaat dan telefon bimbit :- suatu realisme

Hari ini 17 Ramadhan 1431H, solat Jumaat di Masjid Sultan Abu Bakar, Temerloh. Sudah agak lama tidak hadir di sini bersolat Jumaat.  Tajuk khutbah ialah “Al Quran sebagai penawar penyakit rohani dan jasamani”. Sesuai sempena Nuzul Al-Quran. Apa yang dikesalkan, semasa khutbah dibacakan, masih ada yang sibuk melayan SMS.  

Sebelum mengangkat takbir, Imam sempat  memberitahu jemaah agar menutup atau menyenyapkan telefon bimbit masing-masing. Hal ini tak pernah saya dengar sebelum ini. Suatu penambahbaikan. Biasanya Imam meminta ahli jemaah rapatkan dan luruskan saf.

Bukan apa, memang biasa berlaku ketika solat berjemaah, ada sahaja telefon yang berbunyi. Lagu yang keluar pula macam-macam. Dari lagu 60an sampailah ke hip-hop atau suara chipmunk. Habis terganggu ahli jemaah yang lain.  Jangan ada yang terikut menyanyi sekali,  sudah..

Atau kadang-kadang ketika solat, telefon Imam sendiri yang berbunyi.. Baru dia..  Al kisah diceritakan taulan, suatu ketika di sebuah tempat. Ketika solat jemaah, telefon Imam tiba-tiba berbunyi. Imam tersebut serba-salah. Ahli Jemaah pula mulai gelisah. Betu-betul mengganggu kekhusyukan solat.  Bacaan Imam pula hampir-hampir sahaja tersalah. Telefon terus berbunyi tak henti-henti. Akhirnya Imam telah mengambil keputusan yang drastik.... Imam memegang telefon bimbitnya dan menekan butang hijau lalu menjawab panggilan tersebut, ”Saya tengah sembahyang la..”  Lalu menekan butang merah dan cepat-cepat meneruskan solatnya.. Allaaaaahu Akbar...

p/s; kepada orang yang tak pergi solat Jumaat, janganlah buat panggilan atau hantar sms kepada orang yang sedang solat Jumaat.





28 August 2010

wanita oh wanita


Catatan kembali ke Temerloh

Sudah agak lama tidak balik ke Temerloh.  Hari ini, 17 Ramadhan 1431H, 27 Ogos 2010, cuti Nuzul Quran, saya berkesempatan menjengah agak lama. Banyak juga perubahan fizikal Bandar Ikan Patin ini. Antaranya, Bandar Seri Semantan yang bersambung dengan Bandar Baru, Taman Esplanade di tebing Sungai Pahang, Dataran Patin dengan barisan kedai makan berhampiran Jeti menghadap tulisan besar TEMERLOH di tebing seberang sana, jalan alternatif dan penambahan lorong di simpang-simpag tiga.  Namun kesesakan kenderaan dan orang ramai  seperti tiada jalan penyelesaian. Semakin berkembangnya bandar ini, semakin sesak keadaannya. Tambahan pula suasana menghampiri sambutan Hari Raya. Senario ini sama sahaja seperti lima tahun lepas ketika Temerloh mula menjadi Majlis Perbandaran.  Suhu siang juga   tahap ekstrim panasnya.  

Berikut 1/ 3 catatan perjalanan.

   Seawal pagi mengunjungi Pasaraya The Store, Mentakab. Menemani orang tersayang membeli belah. Masuk sahaja ke bahagian ’Ladies’, nah! Tu dia… Terpampang sebesar-besar gambar model pakaian dalam wanita. Bukan model tempatan la...Dengan posing yang selamba, dengan muka tak bersalah, malah bangga menayangkan asetnya yang begitu menyerlah.... Saya percaya tiada sepasang mata pun yang terlepas dari memandang asetnya itu. Termasuk kanak-kanak..

Jangan salahkan lelaki yang merenung. Sedangkan yang tersorok pun, mata lelaki masih sanggup meneroka, inikan pula yang ditayangkan percuma. Pemandangan alam semulajadi dengan bukit bukau dan lurah. Naluri lelaki memang  tersangatlah suka melihat bahagian-bahagian tubuh perempuan yang lekuk-lekuk, celah-celah, beralur-alur dan tembam-tembam. Apatah lagi jika dah tersembul keluar sampai melimpah-limpah... Ingat, imaginasi lelaki sangat dalam sehingga menembusi lapisan kain yang dipakai wanita...

Saya tidak tahu apakah yang perempuan rasa bila melihat tayangan bahagian ‘atas’ dan  ‘bawah’  secara berleluasa begitu. Bangga? Malu? Teruja? Teringin jadi seperti model itu?

Berhampiran eskalator, ada pula patung  tanpa kepala yang dipakaikan koset hitam dengan seluar dalamnya jarang-jarang dan berlubang-lubang. Boleh dikatakan pakaian dalamnya itu tak cukup syarat. Tidak dapat menutupi apa yang patut ditutup. Sudah ditutup tapi masih boleh dilihat. Ada ke perempuan yang nak pakai seluar dalam macam tu? Barangkali ada, isteri yang nak tunjukkan  pada suaminya kot... Sudahlah dengan tak malunya patung tersebut berdiri di situ, dipasangkan pula lampu di dalam badannya. Apakah tujuannya?

Huuuiiiisshhh........kurus dan kecut puasa ku..



24 August 2010

SANTUN MELAYU


Isu yang dipaparkan di dalam akhbar-akhbar sejak kebelakangan ini menimbulkan kecuakan. Cuak tentang perkara yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Ada pihak yang melihat sesuatu isu dari sudut keuntungan politik. Di pihak yang lain masih bercakap tentang perpaduan, perlembagaan, kemandirian kaum dan persaingan ekonomi.

 Kita tidak dapat berselindung dari agenda sebenar. Setiap kaum , setiap parti politik pastilah memperjuangkan  kaum atau pengikutnya. Justeru itulah tujuan penubuhannya. Menjadikan parti sebagai  cara menuntut segala bagai hak dan keperluan adalah mekanisme yang strategik. Hanya sejak kebelakangan ini   pihak-pihak  tertentu menjerit  memperjuangkan itu dan ini tanpa mempedulikan lagi siapa-siapa. Tiada lagi hati yang perlu dijaga.

Sekali lagi kita tidak usah berpura-pura. Persaingan Melayu dan bukan Melayu sudah lama diperkatakan.’Iceberg’ yang selama ini hanya sedikit sahaja timbul di permukaan kini telah timbul dengan saiz yang lebih besar. Ia bakal melanggar siapa sahaja yang menghalang laluannya.

Dalam konteks yang lebih spesifik, persaingan ini adalah antara Melayu dan Cina. Bukan sahaja dalam ekonomi, bahkan kini Melayu bersaing dengan Cina hampir dalam segala aspek kehidupan. Pada setiap ruang dan masa. Dari perniagaan peringkat global hinggalah sekecil-kecil perkara seperti beratur ketika hendak memasuki tandas awam.

Persaingan ini antaranya bertitik tolak dari persaingan nilai. Orang Melayu memang terkenal dengan sikap lemah lembut, tidak suka mengguris hati orang lain, bahkan jika berkelahi orang Melayu sempat lagi berkias-kias dan berpantun (lihat sajak ’Melayu’ karya tongkat warant,1988). Tiada suatu pun kaum di dunia ini yang selembut dan sesantun orang Melayu. Walaupun ini diakui para orientalis sehingga menggelar orang Melayu ‘The gentleman of the east”,  orang Melayu sendiri sedar hakikat ini. Ibu bapa Melayu sejak dulu mengajar anak-anak mereka tentang budi bahasa dan menghormati orang tua.  Kelembutan Melayu ini di adun pula dengan akhlak murni ajaran Islam. Maka bertambah-tambahlah  kelembutan hatinya. Harus diingat Melayu di sini ialah Melayu Malaysia. Bukan Melayu Afrika Selatan, Melayu Indonesia atau Melayu Kemboja.

Sementara itu, orang Cina memegang nilai-nilai yang kebanyakannya agak kontra dengan Melayu. Misalnya  tidak boleh mengalah, banyakkan kerja kurangkan rehat, menjadi pengeluar bukan pengguna, mengumpul kekayaan dianggap mulia, jangan mengaku kesalahan sendiri jika orang lain tidak tahu kita buat salah, jawablah tak tahu jika itu dapat menyelamatkan diri dan orang lain dan simpanlah harta walaupun duit 1 sen.

Orang Cina selama-lamanya  tidak akan mengubah sikap, amalan dan cara hidup mereka. Mereka perlu bersikap begitu untuk survival. Mereka asalnya kaum imigran. Dikatakan mereka datang dengan sebatang cangkul bahkan sehelai sepinggang, buta huruf dan penuh kemiskinan pada mulanya (lihat buku Revolusi Mental).  Kini mereka menguasai ekonomi tanahair ini, mungkin tidak lama lagi akan menguasi pemerintahan negara  pula.

Persaingan ini akan terus wujud dan semakin membesar jurangnya. Meski orang Melayu kini  telah banyak mengubah nilai-nilai mereka, namun banyak nilai ini cenderung ke arah destruktif. Indikatornya lihat saja kadar jenayah, masalah akhlak remaja dan dadah melibatkan Melayu. Semuanya meningkat. Perubahan ke arah nilai-nilai yang konstruktif berlaku dalam tempo yang amat perlahan.

Melayu tidak mungkin menjadi imigran seperti orang Cina, Bangladesh atau Indonesia yang menjadi penghuni tanahair ini. Inilah sahaja tanah yang ada untuk Melayu. Hijrah yang perlu dilakukan oleh Melayu adalah hijrah pemikiran dan sikap. Jika ingin bersaing dengan Cina, maka anutilah nilai-nilai Cina tersebut. Asal jangan menganuti agama mereka.

Sewaktu saya melawat Padang, Indonesia pada Disember 2008, saya dibawa melihat kawasan perniagaan Cina yang telah ditutup. Bangunan-bangunan kedai Cina telah dikosongkan dan diubahsuai menjadi tempat tinggal burung layang-layang. Orang Minangkabau nampaknya berbangga dapat mengalahkan orang Cina dalam bidang perniagaan. Barangkali nilai dan semangat yang mengalir dalam darah minang dapat juga diambil dan diteladani oleh orang Melayu di Tanah Melayu ini.

Telusurilah apakah yang tersirat dalam pesanan orang tua masyarakat minang tatkala melepaskan anak lelaki mereka merantau.

Jangan tinggal sembahyang, kacuali lupo,
Jangan mencilok,  kacuali tapaso,
Jangan mengganggu isteri orang, kacuali suko samo suko,
Jangan rasuah kacuali dibagi samo rato.