28 January 2011

Ion Negatif


Berada di luar rumah di awal-awal  pagi  memang mendamaikan. Tambahan pula sebelum subuh tadi hujan telah turun. Kehadiran ion-ion negatif memang dapat dirasakan. Sama kedamaiannya tatkala berada di pinggiran air terjun. 


Di wilayah sejarah dan daerah perbukitan ini hutan hujan masih menghijau. Justeru, kabus tebal yang membungkus pagi sebelum terserlah senyuman mentari adalah perkara paling biasa. 

Jika hari ini Allah mengurniakan ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia, maka saya merasakan saya adalah salah seorang daripada kalangan mereka itu. Alhamdulillah.

Beberapa rakan saya sejak akhir-akhir ini ada yang terlantar di wad hospital, ada yang sedang menderita kencing manis, darah tinggi, gout dan penyakit-penyakit lain yang sewaktu dengan usia mereka. Ada pula yang sedang menghadapi symptom-simptom. Ternyata kesihatan fizikal adalah kunci pertama untuk ketenangan kehidupan.

Tiada siapa mahukan sakit. Sakit itu bukan sahaja penderitaan tubuh badan, tetapi juga kesengsaraan mental. Akal yang sihat datangnya dari badan yang sihat. Ingatlah 5 sebelum 5. Sihat sebelum sakit salah satu daripadanya.  Hargailah kesihatan tubuh badan kita. Berikan tubuh makanan yang baik, berzat, seimbang dan paling penting  ia halal.  Harus diingat, bukan sahaja makanan itu terbaik dalam bentuk maujudnya semata-mata, malah juga bagaimana asal-usul makanan itu boleh berada pada suapan kita sebelum ditelan. Juga amalkan makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. 

Selain pemakanan, ambil kira juga penjagaan kesihatan yang lain seperti senaman, posteur, terapi cara kerja, bersauna, atau mengambil suplemen. Setiap orang pasti mempunyai kaedah tersendiri dalam menjaga kesihatan tubuh badan masing-masing. 

Apa yang penting, kita sihat walafiat. Kesihatan itulah sebenarnya kecantikan. Sihat juga membawa maksud tenang, gembira, senang dan bahagia. Ada juga yang berpandangan sihat itu muda. Oleh itu elakkan mengalami 'tua sebelum waktunya'

Hargailah kesihatan tubuh badan. Badan yang sihat memudahkan untuk beribadat.  Tidak lupa juga selalulah kita  berdoa semoga Allah kurniakan kita kesihatan tubuh badan yang tekal, guna untuk kita menjalani urusan kehidupan di dunia ini dengan mudah. Seterusnya semoga Allah menjadikan kehidupan kita di akhirat juga dipermudahkan urusannya. InsyaAllah....

21 January 2011

Bukit Bius

Sejenak di Bukit Bius.
Menikmati masa lalu.... Kembali ke abad 19..

Dari  hadapan Pejabat Agama Islam Daerah, menuruni tangga ke Taman Awam, di sebelah kirinya Masjid Sultan Mahmud. Mendaki pula ke Bukit Bius. Suria 6.00 petang masih lagi terik.
Lebih kurang 100 langkah ketemu rumah kelahiran Perdana Meneteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Terus melangkah..

Kebanyakan banglo di sini adalah warisan British... Rumah Rehat, Rumah Tamu, Rumah Orang Kenamaan....

Kehijauan hutan, bunyi mergastua, padang golf,  Rumah Pam, Zoo Lipis, Rumah Tentera... Istana Hinggap, Hotel, Kolej Komuniti, dan Gimnasium. Bersatu dalam lingkungan kurang 2KM. Kedamaian bagi mereka yang sering berjogging dan beriadah di sini.









20 January 2011

ibu bapa genius anak genius?


Apabila orang bertanya; “Berapakah IQ awak?”  Maka, jawablah berapa skornya.
Itupun jika awak pernah mengambil ujian IQ. Jika tak pernah, tentu awak tak tahu. Mungkin awak akan agak-agak sahaja.  
 Tapi awas awak, kalau kata 60, itu moron. Atau 20, itu idiot. 

Memang lumrah masyarakat melihat kepintaran manusia daripada sudut akademik. Sekolah kita juga menilai murid itu  cerdik atau tidak berdasarkan berapa banyak “A”. Sedangkan banyak lagi Q yang lain perlu dilihat selain IQ, seperti EQ, SQ, ESQ, AQ atau FQ. 


Pada 17 Januari lalu, saya sempat berada di majlis pendaftaran peserta Program Menengah Tinggi UKM bagi palajar tingkatan empat. Pengarah program, Dr. Noriah menyatakan bahawa di Thailand, Vietnam dan Singapura, program dan kurikulum untuk kanak-kanak genius sudah lama wujud. Apatah lagi di Amerika atau Peranchis. Kanak-kanak mereka telah disediakan program pendidikan sebaik sahaja dilahirkan. Tanya; mengapakah di kalangan orang Yahudi, apabila sesorang ibu itu disahkan mengandung, maka si ibu akan mula membuat latihan matematik dengan banyaknya, selain kerap bermain piano?

Sesetengah kita meganggap anak-anak itu akan mula belajar apabila mereka masuk darjah satu. Ada pula yang mengatakan sebaik sahaja dilahirkan. Ada pula yang mula memperdengarkan muzik klasik atau ayat-ayat Al Quran kepada bayi dalam kandungan.  Itu sudah dikira agak awal.

Bagaimana pula ketika proses persenyawaan? Adakah awak kisah? Dalam entri lepas saya catatkan pentingnya bagi suami isteri bersetubuh secara sopan, penuh adab dan jangan lupa berdoa.  

Agama Islam menyarankan kita memilih bakal pasangan hidup yang mantap agamanya selain menganalisis  juga keturunan, akhlak dan rupa.  Ini kerana insitusi perkahwinan itu akan dihuni sehingga akhir hayat bahkan sehingga ke alam syurga. Syurga di dunia dan syurga akhirat. Generasi atau modal insan yang bakal lahir pula dipengaruhi genetik dan akhlak ibu bapa. 

 Apabila orang bertanya kepada bapa Imam Syafie ; “bagaimanakah tuan mendidik anak sehingga anak tuan berupaya hafaz Al Quran pada usia tujuh tahun?” Beliau menjawab; “Saya telah mendidik anak saya ini 40 tahun sebelum dia lahir...” 

Dan kita semua mengetahui siapa Imam Syafie itu...


18 January 2011

jangan tak sempat berdoa


p/s : bagi pasangan yang sah lagi halal sahaja.  Doa bersetubuh:  




Kenapa perlu berdoa sebelum melakukan persetubuhan?

Ya, maksud doa  tersebut ialah untuk menghindari campurtangan syaitan (atau jin) tatkala proses awal  kejadian manusia.

Salah satu tujuan perkahwinan ialah mendapatkan zuriat. Zuriat pula diperolehi melalui persenyawaan sperma (si suami) dengan ovum (si isteri). Proses ini secara fitrahnya berlaku melalui persetubuhan. Adalah penting semasa proses ini berlaku, segalanya selamat, bersih lagi halal.
Sepatutnya doa ini dibaca terlebih awal sebelum ‘aktiviti secara formal’ bermula. Bukan ketika si suami atau isteri hampir orgasme. Justeru saat orgasme masing-masing sudah tidak dapat mengawal diri masing-masing. Doa mesti dibaca oleh kedua belah pihak.

Bagaimana campurtangan syaitan dan jin itu?  Jika tiada perlindungan, makhluk ini mungkin mengambil kesempatan menyetubuhi si isteri sebelum si suami sempat melakukannya. Dan benih atau sperma makhluk ini terlebih dahulu memasuki rahim isteri.  Makhluk ini juga berupaya memasuki tubuh si isteri dan melakukan gangguan di dalam rahim dengan memakan sperm atau fetus (janin). Terkadang berlaku juga kes haid berterusan (bleeding), tumpah darah atau keguguran.

Juga, persetubuhan itu dilakukan dengan penuh adab, kesopanan, lemah lembut, mesra dan kasih sayang.  Justeru anak atau generasi yang bakal dilahirkan insyaAllah akan memiliki sahsiah yang baik, sihat, sempurna fizikal dan mental.

Nota: Akhlak anak yang  buruk banyak dipengaruhi faktor persekitaran. Selain itu ada factor lain juga...




12 January 2011

selekoh sabar

Apakah maksud sabar itu?


Kerap terdengar kata-kata "sabar itu ada hadnya". Maksudnya apabila sampai masanya kesabaran itu sudah tidak dapat ditanggung lagi, maka bolehlah buat apa sahaja. Marah, sumpah, dan dendam barangkali  akan di halalkan.

Nanti! Benarkah demikian?
Jika sabar itu ada hadnya, setakat manakah hadnya? Jika ia bertempoh, berapa lamakah masanya? Jika sabar itu terhad kepada ruang, di manakah tempatnya perlu kesabaran dan di mana pula ia tidak diperlukan?

Tatkala memandu kereta di jalan yang berselekoh, kita mudah sahaja teringin memotong kenderaan di hadapan yang sangat perlahan pergerakannya. Namun, kerap juga suara hati  berbisik agar jangan memotong. Tunggu sahaja sebentar apabila jalan lurus. Sehingga situasi jelas, baru memotong. Benar. Kerapkali  sehabis sahaja selekoh, jalan adalah lurus, jika yakin, maka memotonglah.  Pada tahap ini, definisi sabar itu mungkin bermaksud "menambah jangkamasa menunggu kepada sedikit waktu lagi."






Sama halnya  jika membuka pintu dengan menggunakan banyak anak kunci. Kerapkali anak kunci yag terakhir itulah yang akan membuka kunci.

Terbaca  pula kisah seorang aulia. Beliau dijemput ke sebuah jamuan makan di sebuah rumah. Namun apabila beliau sampai di rumah tersebut, tuan rumah mengatakan bahawa jamuan sudahpun habis. Maka dia pun pulang.  Esoknya dia dijemput lagi. Apabila dia sampai, jamuan sudah habis.  Hal ini berlaku berkali-kali. Aulia ini masih juga sanggup datang dan tidak pula marah kepada tuan rumah.

Lalu tuan rumah pun bertanya kepada aulia itu. " Aku lihat kamu tetap juga datang walaupun sebenarnya tiada jamuan yang tersedia untukmu. Dan kamu tidak pula marah kepadaku. Apakah yang menyebabkan kamu mampu berbuat begini?"
Lalu dijawab oleh aulia itu. "Hal ini kecil sahaja. Apa yang aku lakukan ini, anjing juga mampu melakukannya.."

Maka, sewaktu sedang menanggung kesabaran, janganlah kita merungut-rungut. Bersabarlah dengan seikhlasnya. Sesungguhnya sabar itu ialah bersabar di atas kesabaran yang sedang disabari itu.
Dan sabar itu nampaknya tiada ditentukan hadnya...

Sabar itu ada pada jalan yang lurus. Ketika berada di titik membelok, fikirlah dulu, kerana di selekoh itu kesabaran mungkin menemui ajalnya...

Wallahua'lam.

rahsia panjang umur

Terima kasih tak terhingga kepada Ustaz Mazuki dan isterinya, Ustazah Noriah yang sudi singgah menziarah diriku yang terlontar di pedalaman ini..  Tak lupa kepada anak-anaknya 5 orang, serta ayahanda dan bondanya yang turut menjadi tetamu saya... Sangat terharu saya...

Ternyata setelah hampir 4 tahun bermukim di daerah sejarah ini, masih ada sahabat yang sudi menjengah.
Semoga hubungan kasih sayang sahabat antara kita berkekalan... dihujani rahmat daripadaNya...