14 June 2010

KORDINAT TAKDIR


Alhamdulillah. Syukur.
Satu lagi hari yang bertambah baik dilalui.

Travelog.
Soal rezeki, jodoh, maut, mudharat dan manfaat semua di tangan Allah SWT.
Misalnya pernah saya membeli buah mangga di Padang Besar. Lalu membawanya pulang ke rumah di Pahang. Lusanya datang rakan dari Johor. Dapat pula mereka merasa keenakan mangga tersebut. Kalau difikir, rezeki memang ditetapkan Allah di mana lokasinya,  saatnya diperolehi, kuantitinya dan bahkan kualitinya. Dalam kes tadi, saya hanyalah asbab atau alat untuk mendapatkan buah mangga tersebut dari Perlis lalu diberi kepada rakan saya itu.  Sedangkan dia harus pula bergerak  dari Johor ke Pahang, kerana mangga itu akan diperolehi di Pahang pada hari tersebut. Nah! Memang jelas perancangan Allah. 

Epilog
Seorang rakan sejawat punyai minat sama dengan saya; menambah koleksi kasut. Hampir sahaja setiap minggu kalaupun tidak setiap hari, kami memakai kasut berlainan ke tempat kerja. Hari ini  entah kenapa saya tergerak hati memakai kasut yang seingat saya belum pernah dipakai sejak Januari tahun ini.

Sebaik dia melihat kasut yang saya pakai, biasalah dia memang pemurah dengan puji-pujian. Saya mengatakan sekadar kasut bundle. Dia juga penggemar kasut bundle. Memang, jika pandai memilih, kasut sedemikian boleh tahan bergaya, tahan dan banyak rekabentuk yang menarik.  Selalunya kasut ini diimport.

Dia meminta saya membuka kasut. Saya tak kisah kerana dia memang ’pakar’ kasut. Sebaik meneliti kasut saya, dia menunjukkan kepada saya bahagian sebelah dalam kasut tersebut yang mempunyai titik-titik. Sah, memang kulit babi!

Dia sendiri pernah dua kali terkena membeli kasut bundle yang ada kulit babi. Dia tak dapat memastikan hal ini kerana membeli kasut tersebut di pasar malam. Sama halnya dengan saya. Saya membeli kasut ini di Pasar Malam Wakaf Che Yeh hampir dua tahun lalu. Dan telah beberapa kali saya bawa kasut ini ke masjid atau surau. Saya telah lama mengetahui barangan kulit dari kulit babi sememangnya  ada titik-titik.

Prolog
Rakan saya ini, adalah  benar-benar ’pemberitahu’ yang datang kepada saya hari ini, di tempat kerja, memberitahu yang hak dan yang batil. Segalanya datang daripada  Yang Maha Mengetahui.
WallAhua’lam.




No comments:

Post a Comment