05 June 2010

MEMINTAS IMAM

JAHANNAM UNTUK ISRAEL!!!


 CERITA SOLAT JEMAAH

Kita sedia maklum dalam solat berjemaah, imam adalah pendahulu. Imam adalah pemimpin. Imam itu diikuti. Demikianlah suruhan Allah SWT. Hikmah di sebalik perkara ini  mudah dianalogi ke dalam kehidupan seharian.  Antaranya pemimpin itu perlu diperhatikan sebelum diikuti. Biar nyata dan sempurna perlakuannya barulah dituruti dan  diteladani.

Namun kerap kita perhatikan sebaik sahaja imam mengucapkan “Allah...hu..” belum sempat sebut “Akbar”,  pergerakan makmum sudahpun hampir sama dengan  pergerakan imam.  Misalnya imam baru mengangkat takbir untuk  ruku’, ada makmum yang serentak tangannya dengan imam lalu sama pula dengan imam ruku’nya.  Terkadang ada pula yang dahinya mencecah  sejadah lebih dahulu daripada imam.

Bagaimanakah dapat makmum itu  serentak dalam pergerakannya?  Satu caranya ialah dengan menunggu imam selesai mengucapkan Allahu Akbar dengan sempurna. Barulah makmum mengikut imam. InsyaAllah akan sama pergerakannya.  Misalnya apabila imam bangun dari sujud untuk kembali berdiri, maka makmum tunggu imam  sudah berdiri dan selesai  mengucapkan Allahu Akbar, barulah makmum sama-sama bangun.

Hal ini mestilah  dimaklumi oleh semua makmum. Imam sendiri boleh memberitahu  makmum. Jika sudah selalu diamalkan, maka pergerakan dari satu rukun ke satu rukun dalam solat itu akan nampak sangat cantik, sama lagi kemas. Mana-mana makmum yang tidak sama pergerakannya akan ‘ terasa janggal’ lalu akan berusaha menyamakan pergerakannya..

Terkadang di kampung-kampung , ahli jemaah tidak ambil kisah sangat perkara ini. Asalkan tidak mendahului imam, cukuplah. Ada juga ahli jemaah yang tahu tentang hal sebegini, tapi rasa segan nak beritahu imam. Maklumlah mungkin ’imam tua.’  Lebih segan kalau imam itu jenis yang  agak ’pasif ’ dengan sebarang  teguran atau penambahbaikan.

Kesamaan pergerakan solat ini, bukan sahaja kemas  di kalangan makmum, tapi juga perlu kemas di pihak imam. Dikatakan begini kerana terdapat imam yang bacaannya laju, agak laju atau amat laju, akan membuatkan makmumnya berterabur dalam pergerakannya.  Terutama dalam solat tarawikh. Misalnya makmum baru nak rukuk, imam sudah pun i’tidal. Bila makmum baru nak turun sujud, imam sudahpun duduk antara dua sujud,. Pendek kata, imam dan makmum perlu sama-sama sedar akan kebersamaan itu.

Benarlah dikatakan, bagaimanakah  umat Islam  dapat bangkit menunjukkan kehebatannya, dapat membina kesatuan, dapat menggerunkan musuh, dapat mengalahkan lawan, jika solat jemaah mereka sendiri lintang pukang.  Lihat sahaja safnya. Adakah tumit-tumit kita disamakan dengan orang di kiri dan kanan? Adakah bahu-bahu kita menyentuhi orang di kiri kanan?  Solat itu tiang agama....  tiang yang semestinya mantap dan amat utuh..


Secebis kisah selingan...

Di sebuah masjid di suatu tempat. Setiap kali solat jemaah, para makmum di situ memang sudah biasa cepat pergerakannya. Hampir sama dengan imam.  Cuma mereka tak beri salam lebih dulu daripada imam saja..  Nak bersegera sungguh mereka ni...

Suatu kali solat Maghrib. Macam biasa, makmum ikut cepat. Bila imam angkat tangan, makmum pun ikut. Tangan diangkat lambat sedikit sahaja daripada imam. Cuma bila tangan itu jatuh, sama pula dengan tangan imam jatuhnya. Begitu juga bila imam bangun dari tahiyyat, makmum nampak macam agak lambat sedikit bangunnya. Tapi sebaik sahaja imam menyebut ’bar” (suku kata kedua ”Akbar) makmum sudahpun tegak berdiri sama-sama imam. 

Tiba rakaat terakhir. Imam pun menyebut ”Allaaaaaaah....” sambil merendahkan badan, membengkokkan lutut untuk turun sujud.  Masa ini makmum sedang ikut imam dengan beza kelajuan 0.5 saat sahaja. Ketika kedua tangan imam dihulurkan ke depan sejadah,  makmum pun buat perkara yang sama. Tetapi tanpa disangka-sangka, tiba-tiba imam terdiam sebentar. Belum sempat sujud... yang terdengar ialah ...huuuuaaaaaaaacchhhh.....  chuuuuuuuuummm!!!  Imam terbersin. Sekali lagi . Huaccchhuuuummm...... Lagi... ! Huaccchhuuuummm...... Semua makmum menunggu sehingga imam habis bersin untuk kali ke-5. Dan semua tangan makmum sedang diletakkan ke atas sejadah. Mereka semua dalam keadaan hampir nak sujud.....
 
sumber gambar, kredit untuk : sahalfikri.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment