14 February 2009

Benar cinta itu bersayap!

Sejarah adalah masa depan!

Pelajaran yang pertama dalam cinta itu sebenarnya pedih. Keduanya sesal. Biarkan kata berganti air mata. Semahunya. Ya, aku bisa bangkit seandainya masa tidak memusuhiku. Masa adalah sejarah.

Seribu tahun lagi mak tetap akan bersemadi di pusaranya. Walau hari ini hari terakhir bagi dunia ini, mak akan masih bersemadi di pusaranya 40,000 tahun. Aku dapat bertemu mak pada masa hadapan. Mulai sekarang, aku menunggu. Terlalu rindu anakmu ini.

Mak, inginku cium kakimu. Ku kucup pipimu. Aku raungkan permohonan maafku. Ampunkan anakmu ini mak. Sewaktu mak tinggalkan, aku ini mak anggap anak mak yang baik-baik saja. Masa telah menjahanamkan aku. Aku tertipu..

Bukankah mak selalu memanggilku Nung. Kependekan daripada gunung. Aku ini gunung intan bagi mak. Mak selalu memujiku. Anak baik. Solehah. Kak Long yang rajin. Ya..Pujian seorang ibu memang ikhlas.

Aku selalu bermanja dengan mak. Walaupun aku anak sulung, bahkan aku lebih manja berbanding adik-adikku. Mak kerap membelai rambutku. Mengusap pipiku. Kasih mak tidak pernah kering terhadap anaknya ini. Mak menunjuk ajar tentang apa yang baik dan melarang apa yang buruk.

Mak menyemai iman ke dalam dadaku. Sembahyang jangan dilupakan. Itu akan menetapkan kakiku di jalan yang betul. Apabila aku mula menginjak remaja, mak mengajar tentang rahsia yang menjadi kehormatan seorang gadis. Sifat malu harus dipegang. Jangan terlalu bersikap murahan. Jangan pula menyombong. Jaga keanggunan dan sahsiah. Jangan mudah percaya dengan rakan lelaki. Nanti bimbang terpedaya.

Mak mahu anaknya ini tumpukan pelajaran. Tunjukkan contoh kejayaan kepada adik-adik. Tiada bekal yang bermanfaat untuk masa depan selain ilmu. Jika sudah bekerja, jangan mudah lupa diri. Bermewah-mewah. Mak tak pernah meminta dibalas pemberiannya. Tidak minta duit gaji nanti diberi kepadanya. Asal anaknya hidup sejahtera, memadailah.

Mak. Anakmu ini sudah remaja. Mimpi-mimpi seorang gadis mula mendampinginya saban waktu. Ingin dipuji kecantikannya. Ingin digiur lenggok tubuhnya. Bagi mengesahkan penerimaan mereka terhadap gadis ini, kehadiran seorang teman lelaki lebih mencukupi.

E tidak pernah kujangka kemunculannya. Namun keberaniannya memulakan perkenalan, mengkagumkan aku. E membuatku teruja. Dia rakan seusia sama persekolahan yang melengkapkan mimpi gadisku. Mak, aku telah dimiliki. Walaupun ayah tetap hero dalam hidupku. Ayah melindungiku dengan kasih sayangnya. Namun kasih yang kuperolehi ini sungguh berbeza. E memberi semula belaian yang kudahagakan selepas pemergian mak. Belaian yang istimewa.

Ayah sibuk bekerja. Mana mungkin ayah punya cukup masa untukku. Sebagai pekerja gigih, ayah selalu pulang keletihan. Sebelah petang ayah menghabiskan masa bersenam atau membuat kerja tambahan. Sebelah malam ayah melayan kami adik beradik. Biarlah saki baki masa ayah diberi kepada adik-adik. Lagipun ayah faham anak gadisnya ini perlukan dunia remajanya yang peribadi. Ayah juga mahu aku tumpukan kepada peperiksaan yang bakal tiba.

E selalu bertanyakan tentang diriku melalui SMSnya. Sungguh prihatin dia. Bagiku perhatian E cukup membekalku kekuatan untuk menghadapi peperiksaan. Malah untuk mengahadapi hidup inipun! Mungkin hidup bersamanya! E!!!. Apakah yang melekatkan aku padamu? Mak, anakmu ini sudah punya teman lelaki. Kekasih hati. Anakmu ini sudah jatuh cinta. Sedang usia semuda ini, adakah salah untuk belajar menjadi dewasa?

(Mak. Mengapa bila teringatkan mak, air mata ini tidak dapat ditahan-tahan lagi).

Tinggal di asrama adalah perintah ayah. Kalau mak masih ada, itu perintah mak juga. Belajar akan lebih teratur jika tinggal di asrama. Kejayaan lebih terjamin. Pengurusan masa lebih sistematik. Sememangnya masa belajar sangat lumayan di asrama. Namun masa untuk mengenang kekasih hati tetap diperuntukkan sewaktu-waktu.

Biarpun aku boleh bertemu E setiap hari sekolah, itu bukan masa untuk bercinta. Walhal hati ini memberontak untuk berdekatan dengannya. Mendengar kata-katanya. Menatap wajahnya. Akan tetapi, hari Sabtu dan Ahad aku tidak dapat ketemunya. E tinggal di luar. Seandai ada outing, E menungguku di bandar. Dapatlah kami merayau-rayau atau lepak di tempat-tempat tertentu. Di kala itu aku terasakan sentuhan tangan E menggetarkan dadaku. Keanehan perasaan menggodaku.

Sentuhan demi sentuhan membuatkan aku rela menjadi lebih intim dengan kekasihku itu. Suatu hari E mengajakku ke rumahnya. Tujuannya sekadar berbual dan melepaskan rindu. Ayahnya meminta dia menjaga rumah hujung minggu itu kerana ayahnya ada urusan luar. Tinggal dia seorang katanya. Malangnya minggu ini bukan giliran pelajar perempuan outing.

Gelora cinta memberi idea kepadaku. Aku mencelah keluar pintu pagar bersama-sama pelajar luar yang pulang tengahari Jumaat itu. Arus cinta menghanyutkan aku sehingga sampai ke rumah E.

Ternyata E sungguh romantis melayanku. Di situlah segalanya bermula. E memintaku menyerahkan segalanya. Cinta anak sekolahan menjahanamkan. Menenggelamkan aku ke dalam neraka dunia paling dalam. Aku tergoda dengan keindahan. Aku lemas keseronokan. Khayal dalam kilauan. (Mengapa aku mudah sangat termakan pujuk rayu?) E menodai kesucian cinta kami.

(Mak. Aku tidak layak menjadi anak mak. Aku ini berdosa. Aku ternoda. Aku menodai harapan mak. Aku meluluhkan kasih ayah. Aku memberi contoh paling buruk kepada adik-adik.. Anakmu ini lebih kotor daripada kerbau yang memalitkan lumpur.)

Sebulan selepas hari celaka itu, peperiksaan bermula. Aku terpaksa menebalkan muka hadir ke sekolah. Masih ada sedikit semangat untukku mengambil peperiksaan. E pula langsung tidak hadir. Dia merasa malu. Apakah aku tidak malu? Padahal kisah jahanam itu telah tersebar. Guru-guru ku pula yang merasa malu terhadap masyarakat sekitar. Ya, aku ini anak yang tidak tahu malu. Jika aku malu, nescaya aku tidak hadir. Meski aku belum melihat sinar, aku gagahkan juga menduduki peperiksaan.

Mak, pada pagi Jumaat yang sunyi ini anakmu datang ke pusaramu. Layakkah aku ini dianggap anak mak? Masihkah mak sanggup mengakui?
Mak, bagaimana keadaan mak? Adakah mak bahagia? Atau.. Ohhh! Jika disebabkan dosaku ini mak menanggung kesusahan aku redha menggantikan tempat mak itu.

Mak. Aku belum puas menangis. Bahkan biar aku menangis sepanjang hayatku. Aku memohon keampunan yang sebesar-besarnya daripada Mak. Mak. Mak dengarlah rintihan anakmu ini. Penyesalanku ini tak kan sudah sudah mak. Sampai aku mati. Sampai aku dapat menemui mak nanti. Aku bertaubat kepada Tuhan. Aku memohon kepadaNya agar dapat menemui mak. Mak. Mak tunggulah kehadiranku. Entah esok, lusa, tahun depan atau 100 tahun lagi.

Mak. Ayah sangat sabar dengan apa yang menimpaku. Ayah yang sebaik itu telah aku abaikan. Aku lupakan nasihatnya. Akhir-akhir ini dia sering sakit. Aku selalu tidak menghiraukan. Ayah juga sering melihat gambar mak. Dia sangat-sangat rindukan mak. Apatah lagi setelah berlaku sial itu ke atasku. Dia berusaha sungguh-sungguh membina ketabahan. Aku lihat semua itu pada raut wajahnya. Selalu dia membelai adik-adik. Dia juga masih menjaga makan pakaiku. Seolah-olah aku ini tetap seperti dulu. Oh ayah. Hukumlah aku ini. Sebab mak tidak lagi dapat menghukumku.

Mak. Aku rindukan saat-saat kita bersama. Ketika mak sering berbual-bual denganku. Terlalu banyak yang dapat dibualkan. Aku tidak tahu apa yang ada di hati mak waktu itu. Kini aku tahu mak. Setelah mak tiada. Setelah aku ini yatim. Dalam hati mak itu penuh harapan. Tapi mak. Harapan itulah yang aku persiakan. Aku musnahkan. Aku musnahkan harapan mak bila aku musnahkan kehormatan diriku sendiri.

Mak. Aku ingin menangis kembali. Bagaikan ingin sahaja aku melihat mak sekarang di dalam pusara. Aku ingin memeluk mak. Menatap wajah mak sepuas-puasnya. Biar mak rasakan hangatnya airmata ku ini. Namun itu tidak mungkin. Waktu mak meninggalkan aku, aku masih di asrama. Mak pergi tiba-tiba. Mak terkejut dengan berita celaka itu. Begitulah hebat balasan ku pada mak.

Mak. Sebentar lagi aku akan pergi meninggalkan mak. Mereka akan membawaku ke pusat pemulihan. Sememangnya akhlakku mesti dipulihkan. Semoga akan ada sinar dalam perjalanan hidupku nanti. Mak doakanlah ya mak?

Mak. Ayah akan turut menghantarku ke sana. Adik-adik juga ikut. Namun aku harus berdikari. Belajar akademik dan kemahiran. Aku berjanji pada mak, ayah, adik-adik dan diriku sendiri, aku akan mengubah hidupku ini. Aku akan menebus segala dosaku. Semuanya kerana aku ingin berjumpa mak kembali.

Selamat tinggal mak. Mak berehatlah molek molek ya mak? Sabarlah menunggu kedatanganku. Jika mak rindu padaku, aku seribu kali lagi rindu pada mak. Aku akan minta ayah membawa ku selalu ke sini. Ayah tentu suka kerana dia juga rindu pada mak.

Aku doakan mak sentiasa dalam rahmat Allah. Aku juga akan berusaha menghadiahkan mak dengan bacaan surah al Mulk, as Sajadah, ad Dukhan dan al Waqiah setiap hari. Semoga Allah menempatkan mak bersama orang-orang yang diredhaiNya.

Selamat tinggal mak. Aku tinggalkan tanah yang basah ini. Aku akan menangis sepanjang perjalananku ke pusat pemulihan itu. Aku akan menangis sepanjang perjalanan hidupku ini, mak.

Selamat tinggal mak.

Mak…

Mak…..

Mak..!!!.



-----2005