19 August 2011

Jibril (iii) -Lailatul Qadar


Tiba-tiba saya terjaga dari tidur. Seakan dikejutkan seseorang.  Alarm telefon bimbit belum lagi berbunyi.  Namun bagai ada suatu semangat memaksa saya bangun dari  ranjang. Menuju ke jendela, merenung ke luar.  Malam ini sungguh hening...  Langit sunyi.  Ada sedikit embun turun.



Sesiapa yang dapat beribadat pada malam Lailatul Qadar, maka amalannya itu bersamaan  amalan selama 1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan. Sekiranya kita dapat bertemu Lailatul Qadar selama 10 kali (sekali setahun dalam 10 tahun) selama hidup kita, maka nilainya  ialah 833 tahun 4 bulan.  Bertuah sungguh dia yang beroleh peluang ini. Dan hendaklah kita sangat-sangat cemburu jika ada yang mengakui bahawa; “ Sejak baligh lagi saya tidak pernah terlepas peluang beribadat pada   Lailatul Qadar”. Andaikan dia berusia puluhan tahun. 

Bagaimanakah mereka memperolehi itu? Pertama, hidayah itu milik Allah SWT. Hendaklah kita memohon hidayah itu. Orang yang diberi hidayah akan berada dalam rahmat Allah. Orang yang dirahmati  Allah, Allah akan mengasihinya. Kedua, kekuatan azam kita sendiri yang diikuti usaha unuk mendapatkan malam yang berkat itu. Niat mesti ada, azam sungguh-sungguh, doa mohon kepada Allah dan berusaha.

Usaha yang paling tepat ialah kurangkan tidur pada malam-malam Ramadhan. Ada sesetengah orang alim yang langsung tidak tidur atau tidur sekejap sahaja. Amalan beriktikaf juga amat digalakkan. Pastilah kita akan bertemu dengan malam Qadar pada salah satu malam-malam Ramadhan.  Ini kerana terdapat riwayat mengatakan  Lailatul Qadar  boleh muncul pada mana-mana malam Ramadhan. Bukan semesti 10 malam terakhir.

Jika Ramadhan kali ini 30 hari, maka 10 malam terakhir bermula pada petang hari ke 20. Jika Ramdhan kali ini 29 hari, maka 10 malam terakhir bermula pada petang hari ke 19. Terlepaskah sudah satu malam itu? Kemudian jika tak mampu, carilah pada malam-malam ganjil iaitu 21, 23, 25, 27 dan 29. Jika paling tak mampu juga, jangan tinggalkan malam 27. 

Antara amalan yang boleh dilakukan pada malam Qadar ialah bersolat sunat taubat, tahajjud, hajat, tasbih dan witir. Membaca Al Quran, berdoa, beristighfar, berzikir dan bermuraqabah.
Marilah kita berdoa semoga kita ketemu Lailatul Qadar. Dalam  sisa Ramadhan yang sedikit ini mari kita turut berdoa semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu.  

 Sekiranya kamu ingat, sertakanlah nama diriku yang berdosa ini dalam doamu yang tulus itu..

15 August 2011

hijrah


Hampir usai  1432 tahun sejak hijrah pertama.. 

Sekali lagi saya berhijrah. Atau kata lain bertukar tempat kerja. Setelah 4 tahun bertapa di sana, kini saya di sini. Sudah dua minggu. 

Tempat lama memang meninggalkan banyak kenangan. Pahit manis, masam,tawar. Orang kata tempat jatuh lagi dikenang. Oopss !  Saya tidak jatuh di sana.  Malah saya sentiasa siaga dan berasa hebat di sana.  Kini saya  naik pula ke tempat baru. 

Kalau dulu fizikalnya tempat lama berada di tingkat satu, kini di tempat baru saya berada di tingkat dua. Semakin jauh dari parkir kereta. Semakin tinggi dari aras laut.  Positifnya saya perlu berjalan lebih sedikit. Ingat, setiap 25 langkah  bersamaan 1 kalori dibakar. Senaman naik tangga pula bagus untuk jantung.

Saya sentiasa positif. Tiada yang tidak baik apabila  berhijrah.  Apa yang penting segera sesuaikan diri dengan persekitaran baru. Namun jati diri jangan hilang. Rakan sekerja dan sejabatan  saya kini merupakan tiga orang pemegang Ph.D.  Dr. Shatar, Ketua Jabatan merupakan pakar kualitatif. Dr. Haji Azhar, pakar kuantitatif. Dr. Khairuddin pakar kajian teks dan tafsir.  Puan Rogayah, bakal membentang kajiannya (viva) dua hari lagi dan  Encik Kamarul  baru sahaja bertukar penyelia Ph.D buat kali kedua. Barangkali beliau akan tamat Ph.D pada 2014 berdasarkan kegigihannya itu.

Saya berharap akan mendapat sedikit aura di persekitaran baru ini. Jika kita berkawan dengan tukang besi,sedikit sebanyak  kita akan mendapat  bau belerang (sulphur). Jika kita berkawan dengan si penjual minyak wangi, maka kita akan mendapat juga bau wangi itu....