15 Feb 2013. Seminggu berikutnya saya ke Singapura lagi.
Bersama Kareem dan Syahrul.
Sampai di
Bukit Jalil pada pukul 10.30 malam. Bas akan bertolak pukul 12.00
tengah malam. Kami semua adalah penyokong
pasukan Pahang dalam kempen piala liga awal tahun ini. Rata-rata kami dalam bas
ini tidak mengenali antara satu sama lain. Yang mengikat kami adalah semangat yang sama iaitu
menyokong Pasukan Tok Gajah dalam menentang Singapura malam nanti. Yang pasti semuanya anak Pahang. Walau mereka
bekerja di sekitar KL dan Selangor, dapat
juga menguruskan perjalanan ke Singapura
demi menyokong pasukan negeri.
Sampai di RnR Gelang Patah pukul 5.30am, kami rehat, mandi, solat. Pukul 8 lebih sudah
masuk ke Singapura. Seperti minggu lalu, kami berhenti di Mustafa. Sekadar
membeli 3 helai tshirt. Itupun dah RM100.00 nilainya. Kami bertiga mencuba
makan tengahari di restoran sebelah Mustafa, AB Mohamed. Masakan mamak. Nasi minyak Singapura. Acarnya dicampur buah delima. Ada kelainan.
Sementara menunggu perlawanan malam nanti, kami merayau
berjalan kaki. Terus ke Kitchener Road. Masuk ke Jalan Besar. Terus ke Syed
Alwi Road. Tujuan kami ingin berehat atau tidur di masjid. Termasuk pula ke Rochor Road. Terjumpa
semacam pasar karat di situ.
Barang-barang lama dan antik banyak di jual di sini. Barang kulit, gajet
lama, radio, alat elektrik... saya membeli beg galas jenama Deuter bernilai
SGD15.00, dalam RM35.00 nilainya. Kareem membeli lampu suluh dan teropong.
Syahrul mendapat beg videocam berharga SGD8.00
Kami berjalan lagi sampai ke Arab Street. Sampai di Masjid
Sultan. Di sini boleh rehat dan mandi. Ramai pelancong singgah di masjid ini.
Inilah satu-satunya masjid yang agak besar yang masih ada di Singapura.
Selepas berehat, kami merayau lagi. Terjumpa restoran
martabak Singapura. Kita boleh pilih
samada nak martabak 7 dollar, 15 dollar atau 30 dollar. Kami pilih yang paling
murah. Itupun tak larat nak habiskan. Martabak di masak di hadapan kita di tepi
meja.
Di sebelah masjid Sultan ini terdapat Malay Heritage Centre.
Asalnya Istana kampung Gelam, peninggalan Sultan Johor terakhir sebelum Raffles
merampas Singapura. Kami melilau sekitar. Terasa nostalgik bila terbayang bagaimana Sultan dan keluarganya dihalau dari
tanah Singapura ini akibat tipu helah Inggeris.
Berjalan kaki semula ke tempat menunggu bas di sebelah
Masjid Aguila.Ada yang ambil kesempatan solat dan baring. Masjid ini juga
bersejarah.
Bas sudah
menunggu. Kami menukar baju kuning
penyokong Pahang. Pukul 6.00 bergerak ke Stadium Jalan Besar. Ada 3 buah bas
lagi penyokong Pahang sudah sampai. Kami telah ditahan oleh pasukan keselamatan
sebaik sahaja turun dari bas. Bilangan kami dikira satu persatu. Badan kami di
scan. Tangan kami dicap dengan dakwat. Kami dilepaskan masuk seorang demi seorang
dengan amat berhati-hati. Terasa seperti tahanan lokap pula.
Sebaik memasuki stadium, sudah ada pasukan ULTRAS, pasukan
sorak dengan gendang mengambil tempat. Mereka memakai baju hitam putih. Stadium
Jalan Besar bersaiz kecil. Padangnya
pula berumput tiruan. Stadium Nasional
Singapura sedang dibaik pulih. Ini alasan Singapura agar pasukannya tidak tewas
bermain di atas padang biasa. Di atas padang sintetik, bola bergerak laju.
Pemain Pahang atau pasukan dari Malaysia tidak biasa. Akhirnya permainan
dikuasai pasukan tuan rumah.
Tempat duduk penyokong Pahang pula telah dihadkan di
sudut tepi, bukan di tengah. Oleh itu perspektif adalah menyerong. Kami tidak
dapat melihat permainan secara sama rata. Ini ditambah pula oleh pengawal
keselamatan stadium (sebenarnya polis) yang mengawal kami dalam jarak yang sangat
dekat. Kurang 1 meter dari kerusi kami. Sudahlah bilangan mereka sangat ramai.
Seperti kami ini banduan yang sangat merbahaya bagi mereka. Sekejap-sekejap
ada di antara mereka yang berpura-pura
bercakap di walkie-talkie... Betul-betul kami tidak rasa menonton bolasepak. Mereka
melindungi penglihatan kami.
Akhirnya ada wakil kami memberitahu kepada ketua mereka
tolong jangan menghalang. Kami datang jauh untuk menonton pasukan kami, bukan
menontong punggung pengawal stadium ini. Setelah itu bilangan pengawal
dikurangkan sedikit. Itupun setelah 30 minit perlawanan berlangsung. Namun
masih ada seorang dua polis ini yang mundar-mandir ke hulu ke hilir di hadapan
kami. Apabila kami bersorak ke arah pemain, polis --polis ini membeliakkan mata
ke arah kami. Lucunya... Wahai polis Singapura, apa yang kamu buat ini tidak berlaku di Malaysia.!!! Tahap
prejudis polis Singapura terhadap orang Malaysia sangat ekstrim.
Pahang kalah 0-3. Selain faktor padang, sorakan pasukan
penyokong yang tak kesampaian , mutu permainan Pahang boleh ditingkatkan lagi. Kami
pulang dengan sedikit kecewa..