Akhirnya selesai ku melaksanakan tugas di Ladang Mentakab. Setelah empat kali mengunjungi estet tersebut, bertambahlah pengalaman dan pengamalan.
Pada 7 April minggu lalu, aku sengaja menjengah Hospital Mentakab dalam laluan pulang. Kini ia bukan lagi sebuah hospital, melainkan menjadi sebuah Pusat Kesihatan Komuniti setelah beroperasinya Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.
Bangunan Hospital Mentakab ini sememangnya bangunan lama. Terbina sejak zaman pra merdeka. Temasuk juga peralatan dan perabut yang masih elok dan berfungsi seperti katil. Masih yang asal sesetengahnya.
Benda yang lama memang banyak kisahnya. Ada kisah rumah mayat, pesakit lari dari wad, surau tempat orang berehat dan tidur tetapi selalu kecurian barang, ada ibu yang nak melahirkan terberanak tepi longkang dan banyak lagi... Di sisi yang baik pastilah lebih-lebih banyak lagi. Betapa banyak pula nyawa yang telah diselamatkan di sini. Ramai pula yang kembali pulih dari sakit. Kelahiran orang baru yang memberi keserian dalam keluarga, dan kesembuhan juga berlaku bukan dari sebab ubat-ubatan tetapi kesan layanan para kakitangan hospital ini.
Wad 7. Dulunya menempatkan para pesakit yang dianggap kritikal. Bagaikan sel terakhir sebelum ke tali gantung. Dalam konteks di sini sebelum masuk ICU. Selalu sahaja pesakitnya akan diambil air tulang belakang untuk didiagnosis. Beberapa ‘kepergian’ dalam seminggu mungkin senario biasa.
Saya pernah diberitahu oleh Mantan Pengetua Sekolah Menengah Agama Darun Naim bahawa dia mempunyai anak saudara yang bertugas sebagai jururawat kanan di wad ini sejak beberapa tahun. Jururawat ini memberitahu bahawa selama dia bertugas beberapa tahun di wad 7 ini, selalu sangat dia menyaksikan saat-saat sakratul maut. Namun dalam kesemua kesempatan yang dia dapat saksikan itu tiada satu pun yang mengucapkan kalimah “LA ILAHA ILLALLAH” sebagai kalimah terakhir sebelum meninggalkan dunia yang fana ini. Hanya satu kes sahaja yang dia pasti. Seorang anak muda dengan rahmat Allah SWT, telah mengucapkan kalam terakhirnya dengan kalimah toyyibah itu.
Marilah kita berdoa semoga Allah memberi rahmatNya di saat-saat ‘ghargharah’ yang amat sukar itu. Di saat pendengaran dan penglihatan tidak lagi bermakna. Di saat roh bakal berpisah dari jasadnya.
Semoga Allah mengurniakan kita dengan husnul khotimah. Dan bila engkau berdoa, jika teringat akan daku, maka sebutkanlah jua namaku....
Dan Allah Maha Mengetahui...
Takziah kepada Cik Rusini, teman sepejabat di atas kepergian bondanya tecinta ke rahmatullah petang semalam....