03 January 2011

jantung berdebar

Bagaimana rasanya jika orang yang disayang, adik beradik, teman atau taulan pergi meninggalkan anda? Jika orang itu terdekat, seperti ayah ibu atau ahli keluarga, kesannya tentulah amat menyayat perasaan.

Beberapa hari lalu terbaca berita pelakon meninggal dunia akibat sakit jantung. Mengimbas berita akhbar  hujung minggu lepas berkaitan mereka yang meninggal dunia sepanjang 2010, hampir 80%  disebabkan masalah jantung. 

Jantung sama dengan nyawa. Jantung gagal bererti nyawa terhenti. Berakhirlah kehidupan insan.  Biarpun hidup mati telah ditetapkan di azali. Itu kita yakini. Soal kesihatan fizikal sepatutnya tiada kompromi.

Adakah sebab pemakanan? Kurang senaman? Atau lain-lain faktor? 
Nampaknya satu lagi agenda 2011 perlu mengambil kira kesihatan jantung...

Memang traumatik apabila seseorang yang anda bercakap-cakap dengannya, beberapa jam selepas itu, tanpa apa-apa simptom, dia pun meninggal dunia. Penyakit jantung adalah pembunuh senyap.


.... salam takziah kepada rakan sejawat  (AB Karim bin Abdullah)  kerana kematian kakak nya akibat masalah jantung. Amat memilukan baginya melihat nombor di skrin yang menurun satu demi satu...9,8,7,6,5,4,3,2,1,............   suatu ironi tahun baru..      ( Hospital SHAS, Temerloh, 2 Jan 2011)

02 January 2011

salam tahun baru masihi 2011

Assalamualaikum.

salam tahun baru 2011 Masihi.  baru 27 hari yang lalu menyambut Tahun Baru Hijrah 1432.  Azam tahun 2011 secara spesifiknya tak ada. Sekadar meneliti semula azam 2010 yang sebahagiannya belum kesampaian. Azam 1432H memang ada.  Begitupun, tak salah memperbaharui azam setiap hari, atau setiap minggu.  Adalah baik juga meneliti dengan kerap setiap nawaitu yang dipasang. Guna supaya tak menyeleweng atau lari tajuk.

Ternyata tiada apa yang lain sangat menyambut hari tahun baru. Matahari masih terbit di balik awan dihujani gerimis. Alhamdulillah. Cuma hari pertama 2011 ini saya  cuba menjahit kasut sendiri. Setelah meneliti demonstrasi oleh penjual jarum jahit kasut di pasar pagi, lalu saya membeli jarum ini dengan harga RM10.00.  Akhirnya berjaya juga saya menjahit kasut sendiri. Ini kemahiran baru yang tak pernah dipeduli. Satu nilai tambah diri sendiri.

Alhamdulillah untuk apa yang telah dilalui dan sedang dinikmati. InsyaAllah untuk apa yang bakal dihadapi.  Semoga hidup kita semakin diberkati dalam rahmat Ilahi....