Sambal hitam memang popular di Kuala Lipis. Setiap anak jati Lipis tahu apa itu sambal hitam. Ia salah satu identiti Kuala Lipis selain rendang hitam, ikan kelah dan buah salak. Walaupun demikian, sekali sekala sambal hitam boleh juga didapati di Raub, Jerantut atau Bentong. Jarang-jarang pula terdapat di Temerloh, Bera, Kuantan dan daerah lain di Pahang. Rasanya sedap, bahkan amat sedap bagi penggemarnya. Namun begitu ada juga yang tidak gemarkannya.
Melalui tinjauan yang dibuat, ramai bukan orang Pahang yang sudah terpikat dengan keunikan rasa sambal hitam. Rasanya lebih kepada kemasam-masaman. Kerap juga kita jumpa sambal ini di kedai-kedai makan di Kuala Lipis. Misalnya di Penjom, ia menggantikan sambal ikan bilis yang biasa bagi nasi lemak atau pulut. Kini ia dijual dalam bekas kecil dengan harga serendah RM2.00.
Menurut Mak Andak dari Kampung Berchang, Kuala Lipis, setiap rumah orang Lipis mesti menyediakan sambal ini pada kebanyakan masa makan. Kanak-kanak perempuan seawal usia 11 tahun sudah mulai tahu cara membuatnya. Resipi turun temurun lah katakan.
Secara asas, berikut ialah resipi sambal hitam:
Belimbing buluh (direbus dengan garam sehingga kehitam-hitaman, dibuang airnya)
Ikan bilis
Lada
Minyak masak
Bawang merah
Belimbing buluh yang sudah direbus (biasanya antara satu hinga dua jam, bergantung kepada kuantitinya) dituskan airnya. Belimbing yang bertukar warna coklat kehitam-hitaman ini digelar asam belimbing.
Tumbuk ikan bilis sekadarnya jangan sampai hancur lebur. (Tumbuk dalam lesung batu ya, bukan guna penumbuk tangan) Masukkan lada sepedas yang dikehendaki. Tumbukkan bawang juga. Akhirnya masukkan asam belimbing yang memang sudah masam. Tumbuk atau lenyek sahaja dengan antan lesung batu sebab belimbing tu sudah sedia lembik pun. Garam tak perlu dimasukkan sebab asam belimbing sudah dicampur garam. Namun jika belum mencapai tahap leleh yang dikehendaki oleh air liur, boleh saja tambahkan garam.
Panaskan minyak masak dalam kuali. Semua bahan tadi dimasak sehingga naik aromanya. Selepas itu bolehlah dihidang dan dimakan bersama lauk-pauk yang lain. Menariknya, statusnya sebagai sambal kerap dinaiktarafkan sebagai lauk utama. Sambal ini juga boleh tahan untuk beberapa hari tanpa dingin beku. Jika disimpan dalam peti sejuk, lebih lama tahannya. Ada juga orang memakan sambal ini secara mentah sahaja.
Awas, jangan makan berlebihan. Impaknya sama macam makan sambal belacan...
Hari ini 18 Mei 2010 muka depan Utusan Malaysia melagangkan isu buang bayi lagi. Bukan kita tidak tahu fenomena ini berlaku saban hari. Tapi, apakah reaksi kita? Sedih? Simpati? Ada aku kesah? Mencemuh? Muak?
Apapun reaksi kita, kes-kes baru tetap muncul. Itu tidak termasuk yang disembunyikan daripada pengetahuan media. Kalaupun bayi ini tidak dibuang atau dibunuh, kita maklum jumlah anak luar nikah dilahirkan meningkat setiap hari. Sampai bilakah kita akan aman daripada kebejatan sosial di sekeliling kita?
Sekali lagi yang amat menyedihkan, orang Melayu masih menjuarai kemungkaran ini selain juara dalam dadah, HIV, AIDS, sumbang mahram, rempit dan segala macam bidang kehidupan yang menghancurkan. Anak muda Melayu sebagai generasi pelapis sedang menuju ke arah kemusnahan. Samada kemusnahan ini diterjah oleh anasir luar atau diri sendiri yang mengundang, kedua-dua faktor ini sama sahaja bahayanya. Remaja Melayu sedang mempupuskan diri mereka sendiri. Ketika anak-anak bukan Melayu berlumba-lumba meningkatkan kemahiran dan kemajuan akademik, lihat lah apa yang anak Melayu buat. Merokok, berpeleseran, bersekedudukan, syabu, berjaga malam melayan laman sosial, tidur dalam kelas, gila bercinta..namakan apa saja! Kita amat sayu melihat Melayu makin layu.
Seringkali bila berlaku kes remaja mengandung anak luar nikah atau buang bayi, si teman lelaki dapat melarikan diri. Si perempuan yang menanggung perut membusung akan dipersalah. Ibu bapa mendapat malu. Lelaki akan dipersalah kerana memperdaya kaum perempuan yang lemah. Apakah sekadar itu tuduhan terhadap si lelaki? Sudah diketahui si lelaki akan memperdaya, kenapa perempuan percaya? Demi cinta, ku serah segalanya? Kalau demikian, tak perlu nak salahkan sesiapa. Sendiri yang nak. Sendirilah tanggung.
Perempuan sering lemah dalam menilai perilaku lelaki.Apatah lagi jika itulah lelaki yang memang diharapkannya sebagai cinta sejati. Sikap berhati-hati amat perlu. Walaupun lelaki telah menunjukkan 99% kesetiaan dan kejujuran, perempuan masih perlu waspada. Kecuali sikap waspada ini tidak lagi penting pada perempuan, maka terimalah segala risiko.
Apapun, pegangan agama paling utama dalam diri. Barangkali kata-kata ’lelaki menggunakan cinta untuk seks, perempuan menggunakan seks untuk cinta ’ ada kebenarannya. Sama-sama kita fikirkan....
Walau sedikit pengalaman dalam perjalanan yang singkat...
Kecil pengamalan dalam saat yang dekat..
Mengharap besar pengalamian dalam peluang yang dapat...