02 December 2010

KEKUCINGAN


Pada suatu hari Jumaat  bulan Ramadhan yang lalu,  Ain seperti biasa, sampai sahaja di rumah sebaik pulang dari sekolah, terus memasuki biliknya. Dia mendengar bunyi seakan dengkuran.  Bunyi  dari bawah katil.  Setelah memeriksa,  Ain menjerit  lalu keluar dari bilik. “Ummi!! Yong beranak bawah katil!!”
Yong tidak pernah dibiarkan tinggal sendirian di rumah tatkala semua warga rumah keluar ke sekolah atau tempat kerja.  Sememangnya tempat tinggal Yong di luar rumah.  Sekali sekala sahaja Yong masuk ke rumah. Hari itu entah macamana sebuah tingkap telah terbuka sehingga Yong berjaya melepasinya. 
Sejak dua tiga minggu sebelumnya perut Yong semakin membesar.  Yong telah dibuntingkan. Entah jantan mana yang punya kerja.  Hari itu bawah katil Ain menjadi tempat Yong melahirkan tiga bayinya.  Ain menangis.  Bukan gembira. Tetapi sedih, geli dan takut melihat anak-anak Yong yang buta matanya.  Izz pula sentiasa teruja.
Ummi cuba memindahkan Yong anak beranak ke luar. Tepi stor belakang rumah. Tiga hari kemudian Yong berpindah ke dalam bilik belakang.  Dalam tempoh satu bulan, empat kali Yong berpindah randah bersama anak-anaknya.  Ayah cuba membantu Yong dengan  mendapatkan sangkar dan pasir.  Namun Ummi  kurang selesa dengan situasi tersebut. Mungkin ada aroma yang tak sesuai.
Suatu hari apabila ayah pulang kerja, Yong sudah tiada lagi bersama anak-anaknya. Izz beritahu bahawa  Ummi telah menghantar Yong ke kawasan deretan kedai  di bawah bukit sana.  Izz dan Ain dengan berat hati telah turut bersama  menjalankan operasi   penghijrahan Yong dan anak-anaknya.  Barangkali Ummi telah menerangkan rasionalnya  tindakan  itu. Ayah  sekadar berdiam diri.
Suatu malam ketika hujan hampir lebat, ayah terihat Yong muncul di luar rumah. Kejadian ini setelah dua hari Yong dihantar ke kawasan kedai sejauh hampir  2km itu. Yong cuba mengeringkan tubuhnya yang basah.  Wajahnya kelihatan biasa sahaja. Tiada tanda sedih, marah atau gelisah.  Tapi anak-anak Yong tidak kelihatan. 
Esoknya hanya satu anak Yong yang muncul. Ayah mengagak dua lagi anak Yong mungkin sudah mati dilanggar kereta atau mati kesejukan.  Ain dan Izz berasa sedih mendengarnya.  Ummi  mengharapkan anak-anak Yong itu telah diambil orang.  Yong kembali ke tempat  lamanya di tepi stor. 
Malam berikutnya, bagai tak percaya dua anak Yong itu muncul pula. Keadaannya agak lemah dan kusut.  Hujan masih turun. Ayah meminta Ummi, Ain dan Izz menyedari bahawa Yong begitu bersusah payah membawa kembali anak-anaknya. Ayah juga meminta bayangkan betapa susahnya Yong menggonggong leher anaknya dari kedai sana kembali ke rumah ini. Dalam jarak hampir 2km, Yong terpaksa melintas jalan yang banyak kereta, mungkin ada anjing atau musuh yang mengancamnya.  Kemudian Yong terpaksa pula meredah hujan yang mana itu sangat tidak disukaiya.  Untuk sampai ke rumah ini, Yong harus mendaki bukit di mana taman perumahan ini pula kedudukannya  adalah  yang tertinggi dari aras laut di daerah ini.  Jika Yong memilih jalan pintas iaitu tidak melalui jalanraya dalam taman, itu bermakna Yong melalui semak samun dan lalang yang tumbuh di sepanjang lereng bukit yang curam. Itu sangatlah menyusahkannya dan menyusahkan anak-anaknya.  Dan harus diingat, Yong terpaksa berulang alik sebanyak tiga kali membawa anak-anaknya satu demi satu! Namun Yong tabah melaluinya. Bayangkan  itu semua.
Ain dan Izz begenangan  air mata mendengar penerangan ayah.  Mereka segera mendapatkan Yong dan anak-anaknya lalu mengusap-ngusap badannya.  Ummi pula terdiam sahaja...
Kini Yong masih lagi tinggal di belakang rumah. Anak-anaknya, Awang, Fraser dan Noti sudah pandai menjaga diri dan membawa diri. Mereka sekali sekala tidak lagi diberi layanan isitimewa oleh Yong. Tambahan pula perut Yong sudah kembali membesar... 


30 November 2010

KENCING TEPI JALAN


Kerap sangat bila pergi ke mana-mana, akan terlihat ada kereta atau motosikal di parkir di tepi jalan. Lalu di sebalik kenderaan itu atau sedikit jauh ke tepi semak, ada orang berdiri melihat ke dalam semak.  Kedua tangannya menghala ke depan di letak bawah sedikit  dari aras pusat. Sah! Tak lain tak bukan, dia atau mereka ini sedang buang air kecil (kasar sedikit, kencing tepi jalan).
Perbuatan ini  tidak manis dipandang mata.  Biarpun lelaki yang melakukannya, rasa malu patut ada.  Dengan menghadap muka ke arah semak, membelakangkan orang lalu lalang di jalanan, bukan bermakna  orang tidak kisah. Jika orang tidak kisah pun, ke mana hilang rasa malu si pelaku? 
Mungkin alasan mereka, sudah terdesak. Tak boleh tangguh lagi. Betul, perbuatan menahan kencing tidak baik untuk kesihatan.  Namun jika dapat, janganlah tunjukkan perbuatan ini kepada orang ramai. Pastikan orang tidak dapat melihat atau orang tidak tahu.
Amalan ini bukan sahaja dilakukan oleh lelaki Melayu, beragama Islam. Boleh dikatakan semua bangsa dan di seluruh dunia.  Jika orang Islam, kesalahannya ialah kencing sambil berdiri, kencing di kawasan terbuka (barangkali menghadap kiblat), dan kencing tak basuh.  Nanti balik rumah entah basuh entah tidak.  Kalau isteri tahu perangai suami macam ini, elok lah isteri selalu bertanyakan suaminya bila pulang ke rumah samada suaminya kencing tepi jalan atau tidak.  Jika ya, suruhlah suaminya basuh dulu.....
Bagi pasangan kekasih, jika si mak we tahu yang si pak wenya kaki kencing tepi jalan, eloklah nasihatkan. Dah tahu perangai pengotor.. Atau jika berani si gadis tanya terus kepada siteruna adakah dia pernah atau biasa melakukan kencing tepi jalan...  dapatlah dinilai jenis apa  bakal suami itu..Takut nanti si lelaki ini memang kaki kencing (kaki kelentong).
Akhir sekali, perempuan pun  ada melakukan perbuatan ini....