21 July 2009

Kasturi

Kita pernah mendengar dan mengetahui tentang limau kasturi dan kuih kasturi. Atau ada rakan dari kaum India bernama Kasthuri. Namun bagi saya maklumat tentang minyak wangi kasturi baru sahaja saya perolehi ketika menghadiri Ijtimak Sedunia di Sepang pada 11 Julai 2009 lalu. Singgah di gerai menjual pelbagai minyak wangi, saya tertarik dengan keunikan minyak wangi kasturi. Berikut sedikit info tentangnya.

Kasturi terdapat pada satu bahagian pada bawah perut kijang. Bahagian ini terkeluar jelas dalam bentuk tiga atau empat benjolan. Dalam benjolan tersebutlah adanya kasturi. Namun hanya kijang betina sahaja yang memiliki kasturi ini. Dan, hanya kijang betina yang terdapat di Nepal sahaja memiliki keistimewaan ini. Kijang ini mestilah telah memakan 44 jenis bunga yang terpilih untuk menghasilkan kasturi. Walaupun ia memakan 100 jenis bunga sekalipun, jika tiada salah satu 44 bunga tersebut, maka kasturi tidak terhasil.

Bahagian yang terdapat pada perut kijang tersebut akan gugur sendiri jika sampai masanya. Ini menunjukkan kasturi tersebut sudah matang. Namun selalu terjadi kijang ini ditembak oleh pemburu untuk mendapatkan kasturi. Bahagian dalam kasturi ini akan dimasak dengan kaedah tertentu bagi menghasilkan minyak wangi.

Riwayat dalam kitab Alqaa’iq menyatakan sewaktu Nabi Adam as. diturunkan dari syurga, baginda telah diziarahi seekor kijang betina. Lalu Nabi Adam as memberi kijang tersebut secebis daun dari syurga. Dengan izin Allah SWT menjadilah ia wangi.

Antara khasiat kasturi ialah menghilangkan debaran, memulihkan orang pengsan, memulihkan sesak nafas, mencegah sejuk tubuh. Selain itu sememangnya suatu sunnah Rasulullah memakai wangian ketika solat. Solat dengan memakai wangian 70 kali lebih baik berbanding tanpa wangian. Wangian juga sunnah malaikat dan dipakai oleh ahli syurga. Saya telah membeli sebotol minyak wangi kasturi tersebut dan telah menggunakannya. Ternyata baunya amat harum dan tahan lama.

Pendapat saya sendiri: Diriwayatkan sewaktu Nabi Adam turun ke bumi, baginda turun di benua India, manakala Hawa di Tanah Arab. Lalu mereka bertemu di Arafah. Nepal terletak di benua India iaitu di sebelah utara. Justeru itu tidak hairanlah hanya kijang di Nepal yang memiliki kasturi.

Persoalan lain. Diriwayatkan sewaktu Nabi Adam turun ke bumi, baginda menaiki suatu kenderaan. Apa telah terjadi kepada kenderaan tersebut? Jika masih wujud di manakah ia?

GADIS MELAYU -1 PROVOKASI


Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya


BERITA jam 8 malam di TV3, 9 Julai lalu menyelitkan visual seorang gadis cuba untuk terjun dari jejantas di tengah ibukota. Tindakan gadis Melayu berusia 19 tahun ini berjaya menghentikan perkhidmatan LRT untuk satu jam. Dia dikatakan cuba membunuh diri kerana kecewa dengan teman lelakinya. Ah! Satu lagi kes gadis Melayu. Bila mendengar lagu Gadis Melayu nyanyian Jamal Abdillah, rasa bagaikan gadis Melayu sangat sempurna. Ternyata lirik lagu tersebut terlalu melebih-lebih.

Kes gadis Melayu cinta gila kepada Mat Bangla, lari ke Indonesia ikut romeo Lombok, kahwin lari dengan jantan Nigeria, hamil sebelum nikah, dan macam-macam lagi yang memenatkan telinga, menyakitkan mata, dan mencederakan emosi sudah lama diperkatakan. Kesan perlakuan anak-anak gadis ini yang lebih parah dan amat melukakan adalah kepada ibu bapa, keluarga dan orang-orang terdekat.

Selalu bila berlaku kekecewaan, kemeranaan, atau keterlanjuran, lelaki akan dipersalah. Benar, lelaki sedemikian memang tidak bertanggungjawab. Lelaki juga jadi punca. Menyalahkan lelaki juga memang sudah biasa. Samada benar begitu atau ia adalah jalan mudah menutup kelemahan diri perempuan. Betullah perempuan itu lemah dari segi fizikal. Tetapi entahlah, kalau perempuan sanggup dianggap lemah mental, tak cerdik, pendek akal atau….

Tulisan seorang pembaca dalam Mingguan Malaysia 19 Julai 2009, menyatakan pokok pangkalnya diri sendiri. Janganlah bila sudah terlanjur, lelaki akan disalahkan. Mengapa mudah terpedaya dengan janji-janji manis? Mengapa cepat sangat lupa diri bila dicintai? Atas nama cinta sejati, sanggup menyerahkan kehormatan, semata-mata membuktikan kesetiaan? Di mana letaknya akal fikiran?

Gadis Melayu sering diperkata, bila mereka sedang bercinta, mata mereka dan hati mereka menjadi tiba-tiba buta. Gadis Melayu tidak kisah tentang lelaki yang telah berjaya menawan hatinya. Walau lelaki itu buruk perangai kurang sikit daripada pelesit, dia (si gadis) akan mempertahankan heronya ini sehabis upaya. Jika dikata begitu begini, dia tetap tidak percaya. Hal ini telah dibicarakan oleh Frank Swettenham dalam bukunya Perihal Orang Melayu, pada tahun 1920an. Frank merumuskan bahawa gadis Melayu sangat mudah diambil kesempatan. Kita tidak tahu sampai bila gadis Melayu akan berubah menjadi kuat semangat, berfikiran lebih rasional, matang dan berwibawa. Tulisan ini tidak bermaksud semua gadis Melayu kurang rasional, emosional yang berlebihan. Siapa yang makan cili sahaja...

Kita boleh menelah, kalau semasa bercinta atau bertunang, lelaki sudah sanggup buat macam-macam kepada perempuan, apa maknanya tu? Jangan pertahankan lagi cinta buta tersebut. Kalau perempuan bijak, mereka tidak akan terpengaruh dengan mainan lidah lelaki. Jika masih berdegil, sehingga masuk ke alam perkahwinan, implikasinya mungkin lebih mengerikan.. Nanti katalah, ’sudah jodoh..’, ’jodohkan di tangan Tuhan..’ ’dah Tuhan tentukan jodoh saya dengan lelaki jembalang ni, nak buat macamana..’ ha jawablah macam tu... Itu kira dah menyalahkan Tuhan..Ingat lah Allah tidak akan mengubah nasib seorang jika orang itu sendiri tidak mengubahnya. Buatlah introspeksi diri sebelum segalanya sudah terlambat. Lebih baik kecewa di peringkat awal (jika tidak dapat dielakkan) berbanding kecewa sepanjang hayat.
Kenalilah jiwa perempuan dan sifat-sifatnya. Khususnya perempuan Melayu yang sifatnya sangat lembut berbanding perempuan lain di dunia ini.. Janganlah kelembutan ini membuatkan gadis Melayu jadi lemah dan diperlemahkan. Lihat juga sifat-sifat wanita bukan Melayu seperti wanita Cina, Arab, Indonesia khususnya Batak, Jawa yang sangat rajin dan lain-lain bangsa yang lebih berdikari, memiliki nilai survival, dan sentiasa ingin menang. Begitu juga kenalilah jiwa lelaki dan segala kehendaknya. Menurut kajian, 60% lelaki akan membayangkan hubungan seks dengan pasangannya semasa mereka sedang bercinta. Walau tidak dalam bercintapun, lelaki memang cekap membayangkan benda-benda macam ini.. Boleh dikatakan jika lelaki melihat seseorang perempuan yang berpakaian seksi, apa yang mampu dilihat oleh lelaki sebenarnya menembusi pakaian perempuan tersebut. Mungkin juga banyak kes hubungan seks bebas adalah manifestasi dari perkara ini. Awas dengan cinta murahan dan godaan nafsu.
Disebabkan itu, sangat menyedihkan bila timbul lagi kes nak bunuh diri, lari dari rumah, merajuk dengan ibu bapa atau yang lebih parah menukar agama mengikut teman lelaki. Janganlah menjadi lemah jiwa semata-mata gagal bercinta atau ditinggalkan teman lelaki. Gadis Melayu harus kuat, tabah, berwibawa, dan berkarisma. Jadilah srikandi seperti Tun Fatimah yang bangkit menebus maruah keluarganya dan maruah wanita.
Jika sangsi dengan pilihan pasangan hidup, mintalah petunjuk kepada Allah. Berdoa semoga diberikan seorang yang bertanggungjawab, beriman dan mendorong kepada keredhaanNYA dalam melayari hidup di dunia ini sebelum berpindah ke alam barzah seterusnya hidup yang tidak akan mati-mati di alam akhirat. Pendek kata kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah, itulah yang utama. Kuatnya iman dalam dada akan membuahkan akhlak dan sahsiah mukmin yang sejati. Pilihan di tangan sendiri.