01 November 2011

MUSANG, AYAM DAN MASYARAKAT UTOPIA




Pernahkah anda minum kopi musang? Ya, kopi yang diproses daripada biji-biji kopi yang mulanya  bercampur tahi musang. Mungkin tidak pernah, disebabkan namanya, asal-usulnya atau harganya.

Musang liar memakan biji-biji kopi ini tanpa menghadamkannya. Sewaktu musang buang najis, biji-biji kopi ini dikeluarkan. Dikatakan aroma kopi ini  sangat harum kerana rasa pahit kopi sudah tiada lagi akibat proses yang dialami di dalam perut musang. Kopi ini terkenal di Indonesia dan Filipina. Malah pendapatan seorang petani di Manila berjumlah RM704.83 sehari hasil mengutip dan menjual biji-biji kopi tahi  musang ini. Dan, secawan kopi musang di sana harganya  RM21.45.

Musang liar, tinggal di alam  liar. Maksudnya ia tidak dipelihara. Manusia utilitarian dan usahawan mungkin  memikirkan bagus untuk memelihara musang ini. Mengapa? Begini.  Musang liar tidak dapat dipastikan mobilitinya. Hanya pada waktu malam ia akan datang ke ladang kopi untuk makan.  Jika ada halangan tertentu seperti bahaya,sakit,  hujan dan bencana, ia tak jadi datang. Maka hasil kopi musang akan merosot. Jika musang ini dipelihara, pergerakannya dapat dikawal, waktu makannya dijadualkan. Bilangannya dapat ditingkatkan . Termasuk tahap kesihatannya dijaga. 

Dengan kawalan pembolehubah ini maka hasil kopi musang akan dapat ditingkatkan berkali ganda. Ini kerana musang sentiasa ada dan sentiasa dapat makan. Hanya tadah sahaja di bawah rebannya untuk hasil kopi tahi musang yang beraroma itu.... Dan tentu sekali fikirkan  RM RM RM....
Bukankah sudah ada orang memelihara rusa, landak dan buaya?

Al kisah penternak ayam daging yang mahu kaut keuntungan cepat bukan kita tak tahu. Ayam itu rutinnya  tidur di waktu malam. Maka apabila dipasangkan lampu terang benderang di dalam reban ayam, maka ayam tak dapat tidur (sama macam orang). Jadi ayam pun terkelip-keliplah. Kemudian ayampun ternampak makanan di dalam bekas makanannya. Lalu ayam pun makan  sebab tak ada apa nak buat. Impaknya kadar tumbesaran ayam dapat dipendekkan jangkamasanya. 

Sama sahaja konsep tanaman sayur dan bunga di Cameron Highland. Mereka memasang lampu di waktu malam. Namun mungkin belum tersua kajian apakah kesannya kepada manusia yang makan ayam yang cepat besar atau sayur yang cepat matang ini. Adakah kesannya kepada otak atau tahap kesihatan? Yang nyata apabila lembu di Amerika dan Eropah disuntik hormone untuk menjimatkan tempoh tumbesaran, maka muncul wabak penyakit lembu gila sedikit masa lalu.. Manusia jadi takut makan daging lembu gila.. 

Bagaimana dengan kopi musang yang dihasilkan oleh musang yang dipelihara tadi? Sepatutnya musang makan kopi sekali sahaja pada setiap malam. Setelah dipelihara, mungkin musang makan kopi lebih dari sekali sehari. Apakah kualiti kopi yang dihasilkan? Apakah pula kesannya kepada si peminum kopi?  Yang pasti bila pengeluaran sudah banyak, harga mungkin turun. Kerap sangat minum kopi pun kurang baik juga.

Sama sahaja dengan teori sosialisme dan komunisme. Untuk menghasilkan masyarakat sosialis,  masyarakat pertanian akan bergerak kepada masyarakat industry, kemudian pasca industry, kemudian sosialisme di mana kesamaan taraf dan kek ekonomi dinikmati sama rata, sama rasa. Inilah masyarakat idaman komunisme, digelar masyarakat utopia. Di mana tiada lagi konflik. 

Namun bagi setiap fasa, tempoh masa yang berlaku sangat lama. Misalnya bagaimana untuk menggerakkan masyarakat   industry kepada komunisme? Ia perlukan konflik dalam kalangan kaum pekerja. Namun jika konflik tidak berlaku, di mana mereka berada dalam zon selesa, maka tahap berikutnya tidak akan dicapai. Bagi contoh di Rusia pada awal abad ke-20, Lenin telah menggerakkan sebuah revolusi pekerja. Akibatnya berlaku pertumpahan darah yang sangat dahsyat. Sistem beraja telah berjaya ditumbangkan. Akhirnya Rusia menjadi komunis. Diikuti oleh China di bawah Mao Tze Tong. Namun apakah kesudahan masyarakat utopia impian mereka? Wujudkah? Rusia akhirnya mengalah dan China pula membuka pasaran kepada negara luar sejak awa abad ke-21.

Biarkan alam ini bergerak mengikut hukumnya. Sunnahnya. Fitrahnya. Jika dilanggar pasti berlaku kemusnahan. Samada kemusnahan fizikal alam atau kemusnahan kemanusiaan sendiri. Memang tidak salah manusia berusaha mempercepat sesuatu proses. Justeru bertangguh juga tidak baik. Pendek kata biarlah cepat asal selamat.






31 October 2011

MACAM BAGUS SANGAT UCAPAN DIA..



Jarang-jarang kita dapat mendengar  ceramah atau slot ucapan yang menarik. Istilah menarik tentu kita faham.  Paling kerap kita temui ialah ucapan yang mendatar intonasinya, ton suara yang biasa-biasa, penampilan si penceramah yang tidak meyakinkan. Malah wajah penceramah juga faktor penting menarik minat audien. 

Jangan lupa, isi ceramah sangat penting. Tak kira isu apa, jika pandai mengolah atau mengadun dengan rencah yang baik, pasti ceramah itu akan berkesan. Mungkin jadi ingatan..

Seorang tokoh yang saya kagumi dalam berceramah atau berucap ialah Dato’ Mazlan bin Mohamad. Beliau sebelum ini pernah menjadi Pengarah IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis. Selepas itu bertukar ke Jabatan Pelajaran Negeri Pahang sebagai pengarah. Terkini ke KPM Bahagian Sekolah dengan menjawat jawatan Pengarah gred JUSA B.

Setiap kali beliau berucap, terdapat beberapa teknik yang sering dipraktikkan. Berikut di antaranya;
1.     
           Intonansi suara. Ada tinggi, rendah dan mendatar. Dimasukkan ayat pertanyaan. Penegasan suara dibuat pada perkataan penting.

2.       Ton suara. Ton suara beliau semulajdinya ton Tenor atau Bass (bayangkan suara P Ramlee dalam lagu  Masam-Masam Manis). Ala-ala DJ pun ada.

3.       Ulangan isi penting. Beliau kerap mengulang ayat atau perkataan dua kali jika isi itu penting.

4.       Contoh berkaitan yang diberi sangat dekat dengan isu dan mudah difahami.

5.       Diselitkan juga kisah lucu yang pendek.

6.       Kadang-kadang dimasukkan kisah-kisah yang meninggalkan kesan mendalam. Ini termasuk pengalaman sendiri. Paling baik pengalaman yang terbaru dialami sehari dua sebelumnya.. Biasanya belai menyebut; " kelmarin saya berada di...."

7.       Pantun. Ini paling ketara dalam ucapan Dato’ Mazlan. Beliau sangat suka menetik pantun-pantun lama. Misalnya Menakik si pisau raut....

8.       Petikan kata-kata tokoh juga dimasukkan. Terbukti beliau seorang yang sangat suka membaca.



9.       Kadang-kadang beliau juga bergerak keluar dari tempat berucap. Tidak static. Bahasa badan memang efektif. Walaupun air muka beliau nampak serius, memek muka beliau juga membantu meninggalkan kesan di hati audien.

10.   Berkaitan penggunaan props, ini amat jarang digunakan. Melainkan bantuan slaid power point. Itupun jarang-jarang ada. Beliau tidak membaca terus dari teks. Beliau menulis sendiri teks ucapan. Namun tidak sangat merujuknya.

11.   Beliau suka menggunakan frasa-frasa yang baru dan segar. Misalnya ‘salah menyalah tak selesaikan masalah’, ‘menghadapi dan menghidapi’ dan sebagainya.

12.   Beliau juga suka memberi pujian kepada organisasinya. Kerap sangat beliau mengakui bahawa IPGKTAA adalah kampus IPG yang tercantik di antara 27 IPG di seluruh Negara. Ini diakui oleh orang luar sendiri. Di samping itu suka pula memberi pujian kepada staff dan warga kerja. Katanya, ‘biar kita duduk sama tinggi dengan orang lain, tetapi bila berdiri sentiasa melebihi’. 

13.   Beliau juga suka menggunakan perkataan “kita” berbanding “saya”. Ini menjadikan audien turut sama menghayati  aspirasi, misi dan visi beliau.

Beliau telah meninggalkan legasi...



30 October 2011

Seronok tu bah..


Kali ini ke Sabah lagi... Ini kali ke-3 saya ke negeri di Bawah Bayu. Pada 2005 mendaki ke puncak Kinabalu. Pada 2008 meredah hingga ke Keningau, Tenom, Beufort.(ada nada sedikit berlagak di situ hehee.. maaf.. ini biasa sahaja..)

Menarik kali ini saya berpeluang memandu kereta di bumi Sabah selama 4 hari (21 -24 Oktober 2011). Waima hanya sebuah kereta sewa (proton wira), tidak jadi masalah.  Dengan sewa 90 ringgit sehari ( namun saya diminta bayar MYR270.00 sahaja), dan tuang minyak MYR90.00, pengalaman merentasi sebahagian lagi wilayah sangat mengujakan. 




Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), terus ketempat menginap. Pagi esoknya bergerak ke Tamparuli, Kundasang dan Ranau. Di Ranau, ke  SPA ikan, Kolam air panas Poring, Ladang Teh Sabah. Bermalam di Kundasang (22°C). Suhu tidak terlalu sejuk kerana tiada hujan.   Puncak Kinabalu hanya muncul sekali sekala sahaja justeru dilitupi awan sentiasa.



Selepas sarapan di Pekan Kundasang, bergerak ke Pasar Tamu Kota Belud. Banyak hasil tani kampong yang unik. Saya sekadar membeli sebilah pisau Bajau yang memang terkenal keunikannya.
Sepanjang perjalanan di kiri kanan jalan terbentang gunung ganang yang cantik. 



Kembali ke KK, bermulalah Shopping sakan. Makan malam di Sinsuran (tepi bulatan patung ikan Layaran), memang enak. Menu ikan bakar, dan rumpai laut begitu menyelerakan.
Pagi esoknya sempat lagi shopping minit terakhir...
Begitu cantik negeri Sabah. Tidak puas merayau rasanya. Pada masa akan datang jika ada peluang, ingin pula saya ke Pantai Timur seperti Tawau, Sandakan dan  pulau-pulau seperti Pulau Mabol, Bum Bum, Manukan..  Atau jika saya ditukarkan berkhidmat di sini.... rasanya rela....

Terima kasih kepada Pak Hairi, Zaim, Mokhtar dan semua ahli rombongan...