12 November 2012

Hatyai dan Songkhla

Hoish...
Agak lama sudah tidak mencoret.  

Sibuk. Urusan kerja. Urusan dunia.  Kali ini dicoretkan  pengalaman bulan lepas. Peace World Ride Malaysia-Thailand.

Pada 19 Okt. 2012, Kami  bertolak dari Raub ke Kuala Lumpur. Pukul 10.00 pagi,  1 wartawan daripada Cycling Malaysia Magazine dan 2 Harian Metro, dan 2 petugas media dari Sabah menaiki bas. Tiba di Bukit Kayu Hitam pukul  6.00 petang.

Jadual sudah tidak diakuri. Kami terlambat. Janji dengan riders dari Perlis Cyclist pukul 5.00 akan  bertemu. Mereka sudah pergi. 

Sampai di imigresen, lori yang bawa basikal kami tidak dibenarkan masuk ke Thailand. Geran yang dibawa adalah geran fotostat. (Tidak munasabah nak masuk negara orang bawa geran kenderaan yang di fotostat.  Tak efisien!)

Pukul 7.00 malam terpaksa mula kayuh ke Hatyai. Sememangnya program asal ialah kayuh dari Bukit Kayu Hitam ke Hatyai. Namun bukanlah mula pukul 7.00 malam. Hari beransur gelap. Lampu kelip dipasang.




Bahu jalan dari Danok ke Hatyai selebar 2 meter.  Jalannya sangat baik, tiada batu-batu kecil atau lubang. Tiada tayar pancit.. Jalanraya pula dua lorong sebelah. Kira lebuhraya lah.  Dalam kegelapan menumpang cahaya lampu jalan yang sekali sekala sahaja ada, dibantu lampu kelip pada basikal, kami berkayuh sejauh 130 km. Pit stop lima kali. Ada juga salakan anjing. Tapi tidaklah sampai dikejar.




Dalam keletihan, pukul 11.15 malam sampai juga ke Bandar Hatyai. Menuju restoran Muslim Cholatarn. Kelaparan dan keletihan. Nasi putih dan Tom Yam cukup memadai. 

Menuju hotel. Semua basikal disimpan di tingkat bawah  hotel.

20 Okt 2012. Pukul 6.00 (di Malaysia pukul 7.00),  tunggu riders dari  Songkhla datang. 10 orang. Agak berusia. Semua MTB.  Dalam hujan gerimis dan kadang kala lebat kami menuju ke Songkhla. Jarak sebenar dalam 40km sahaja. Tapi kami ikut riders Songkhla yang membawa kami  melalui Pulau Koyo jadi  tambah lagi jarak jadi  60km semuanya. Menaiki feri menuju Pulau Koyo. 


Kami dibawa ke kawasan tasik rekreasi. Kayuh keliling tasik. Kemudian singgah pula di tempat patung Buddha yang dalam kedudukan berbaring. Patung ini  berwarna emas. Ada di antara kami yang tidak sanggup bergambar di hadapan patung buddha tersebut. Di sini kami bertemu rombongan pelancong dari Malaysia. Mereka sangat gembira dapat bergambar dengan riders dari Malaysia. Ya, bukan senang berjumpa rakyat Malaysia yang berkayuh basikal merentasi sempadan demi mempromosi keamanan. 

Sampai di Pantai Songkhla berehat sebentar. Pengunjung masih belum ramai. Waktu baru pukul 10.30  pagi.  Bergambar dengan patung naga (Dragon Ball. ada 6 biji bola naga tu.  Seterusnya hujung sedikit pantai ada pula patung ikan duyung. Tak ada hati nak bergambar dengan duyung. Kemudian menuju ke Konsulat Malaysia menikmati jamuan. Kami disambut meriah. Menurut wakil konsulat, di Songkhla terdapat 37% muslim.

Setelah selesai acara rasmi, bersiap balik. 6 orang daripada kami masih bertenaga kayuh balik ke Hatyai. Yang lain naik bas. Basikal semua masuk Tut-tut.

Petangnya kami  7 orang (yang lain merayau sendiri-sendiri) dibawa oleh Haji Jaafar, seorang pemandu Tut Tut, ke pasar gajus. Pelbagai jenis makanan kering dan produk gajus. Thailand memang diketahui lebih maju dalam penyelidikan dan pembangunan pertanian. Misalnya nangka yang dikeringkan. Yang lain takut tak halal. Harga boleh tahan. Nak senang kira 100 baht sama dengan RM10.00. Buang 1 nombor kosong pada baht. Sebenarnya tak sampai RM 10.00 pun . Dalam RM9.50 je.

Seterusnya ke Pusat pakaian Nora. (bunyi macam Melayu, bahasa Thai tu.._ Beli Tshirt untuk cenderamata. Diberi kad diskaun 20%. Dapatlah harga diskaun. Tapi entah-entah itulah harga sebenarpun..

Haji Jaafar bertanya jika ada di antara kami yang ingin pergi massage. Tiada. Semua alim-alim. Haha... Lalu kami ke pasar malam.  Sama saja macam pasar malam Malaysia. Aku dan Kareem lebih suka ke gerai bundle.  Barangan kulit ori dan berjenama- Timberlake, Clark... Tali pinggang, kasut... Kareem membeli beg tangan untuk isterinya. Peniaganya fasih berbahasa Melayu. Rupaya dia otang Pattani. Aku lebih berminat seluar citarasa Timur Jauh.

Balik ke hotel, jalan jem. Ada sambutan perayaan pemujaan dewa. Dapat dilihat mereka mencucuk pipi dengan besi, mencangkuk badan dengan mata kail, menghiris lidah dengan pisau... Agak seram.. Aku membaca doa pelindung dari sihir....

Malam. Gerai jalanan berdekatan  hotel  tak kurang menarik.  Ada pulut durian, pulut mangga. Barangan seks (Macam chow kit), buah-buahan, permainan kanak-kanak yang besar-besar. Namun bukan semua boleh dibeli dan dibawa balik ke Malaysia. Jika permainan senapang M16, sudah tentu tersangkut di imigresen. 

21 Okt 2012. pukul 7.00 pagi bertolak balik. 6 riders yang degil dulu masih tetap mahu berkayuh hingga ke Bukit Kayu Hitam.   Mereka pergi dahulu.  Sampai di Bukit Kayu Hitam, shopping sedikit lagi di Kompleks Bebas Cukai. 

Sampai di  Raub pukul 2.00pagi 22 Okt. 2012.  


p/s Apabila Hairi, sahabat di Ipoh ajak melancong ke Hatyai dan Songkhla pada 24 -27 Nov ini dengan kos RM500.00 sahaja (all in) bukan tak nak, tapi dah pergi pun. Meski aku bukan pergi atas pakej  melancong tapi berbasikal, rasanya tak nak dah... lagi pun 25 November akan ada event Kayuhan Raub 96KM...