23 May 2010

DUDUK-DUDUK DALAM KERETA


Saya tak ingat entri ini dah pernah saya poskan ke blog atau tidak. Kalau sudah, maka jadilah ia sebagai ulangan.... semoga bermanfaat..
Akhir 2008 kakitangan awam telah diberi opsyen bersara umur 56  atau 58. Ramai yang pilih 58.  Jika seseorang mula kerja makan gaji dengan kerajaan pada usia 20, maka 38 tahun dia akan berkhidmat. Taraf kesihatan kini semakin baik.  Dijangkakan kita masih lagi produktif dan aktif bekerja sehingga 58.  Kemudian, umur bersara ini pasti akan dikaji semula. Di beberapa buah negara, usia bersara 70 sudah dipraktikkan. Jika demikian, seseorang yang mula bekerja pada usia 20, akan berkhidmat selama 50 tahun. Lamanya tempoh kita bekerja dalam hidup ni...   (nota: saya maksudkan bekerja dalam sektor awam)  Jika dalam sektor swasta atau bekerja sendiri, tempoh  bekerja akan berbeza pula..

Berulang alik dari rumah ke tempat kerja yang jauh memang mencuri masa. Tak kira di mana sahaja. Dari Seremban ke Kuala Lumpur,  Pekan ke Segamat, KL ke KK, Kangar ke JB, dari Kyoto ke Tokyo, atau New York ke Los Angeles. Cepat lambat bergantung juga kepada sistem pengangkutan yang digunakan, keadaan lalu lintas, atau kecekapan memandu. Tak lupa juga cepat atau lambatnya bangun pagi.

Beberapa rakan saya  di Kuala Lipis yang  menetap di Temerloh, Jerantut, Raub atau Bentong berulang alik setiap hari.  Jarak  Temerloh ke Kuala Lipis 132km sehala. Jika Jerantut, 72km. Paling ramai rakan dari Jerantut. Bagi yang dari Temerloh, perjalanan sehala 2 jam purata.  Dari Jerantut 1 jam. Tapi syukurlah tiada ‘traffic jam’ seperti di Kuala Lumpur. Namun jalan  dari Jerantut ke  Kuala Lipis memang mencabar. Bagi sesiapa yang pernah melaluinya akan merasakan pemanduan yang penuh ‘skill’, penuh focus, dan mistikal.


Destinasi yang saya nyatakan di sini sekadar contoh. Kita fikirlah, jika sehala perjalanan, 2 jam. Pergi balik 4 jam. Keluar rumah pukul 6 pagi. Sampai rumah 7 malam. Dengan andaian tiada faktor-faktor gangguan. Jika memandu, badan dan mental memang penat. Faktor kos minyak, tayar haus atau risiko kemalangan, itu  cerita lain. Kalau hati dah bahagia, jarak dan masa bukan penghalang. Slogan yang diguna: SERONOK BEKERJA, BEKERJA SERONOK. Kata orang, jika tempat kerja dekatpun, jika hati tak seronok, prestasi kita pada tahap biasa-biasa sahaja. Saya pernah berulang alik ke tempat kerja sejauh 100km pergi balik selama setahun dan 80km selama 4 tahun setengah. Selama setahun juga saya balik rumah melebihi pukul 7 malam. 

Apakah kelebihan atau kekuatan yang mendorong orang berulang alik sejauh yang mereka sanggup? 2 atau 3 jam sehala? Selama bertahun-tahun? Salah satu faktor ialah motivasi dalaman.  Secara mudah anggarannya jika 4 jam ulang alik X  260 hari bekerja setahun X  30 tahun tempoh bekerja,  kita  akan  duduk dalam kereta selama 31200 jam! Bersamaan 3.6 tahun!! Duduk saja-saja!  Oh, alangkah! Alangkah! 




     

CARA MENGUKUR ARAH KIBLAT

Menggunakan kaedah matahari terbenam.

Hanya pada tarikh 28 Mei jam 5.16 petang dan 16 Julai jam 5.28 petang setiap tahun.
( waktu di Malaysia)
Cara:
Dirikan objek lurus seperti tiang di tanah lapang dan rata.
Pastikan ia tegak dan lurus. Untuk lebih tepat, letak tali yang diikat pemberat pada penghujung tiang.
Tempat yang dipilih tidak terlindung sinaran matahari.
Waktu yang disemak mesti ikut waktu Sirim seperti waktu televisyen atau radio.
Bayang tiang akan jatuh ke arah timur .
Arah kiblat ialah yang menghadap barat.

Sumber: JAKIM
Semoga bermanfaat..