Dalam seminggu ini sahaja dua kali aku ke Cameron Highland. Hari Selasa tak dapat
berjumpa dengan Jennifer kerana dia balik ke Segamat. Neneknya meninggal. Aku tidak dapat berpatah balik kerana berita ini
diterima pada pukul 9.00 malam. Aku telah
pun ‘check in’ di Hotel Equatorial pada 23 April.
Pengisian 24 April
ialah melawat sekitar Cameron Highland (CH). Sesungguhnya perasaan agak bosan
melanda. Aku sudah terlalu kerap
menjengah CH. CH hanyalah 110 km dari rumah.
1 jam memandu kelajuan sederhana.
Terkadang pemandangan di sepanjang jalan Betau_Ringlet lebih
membuat aku teruja berbanding pemandangn
di CH sendiri. Tambahan pula hujan lebat
melanda di CH. Kedai-kedai juga banyak yang tutup atau lambat dibuka kerana
jumlah pelancong tidak seramai ketika
hari cuti. Bosan.
Memandu masuk ke Ladang Teh Boh di Sungai Palas. Simpang
kiri 200m dari hotel. Menikmati teh blackcurrant dan sup cendawan di hujung
balkoni. Elusan bayu dingin lagi kering mengusap wajah.
SMS diterima . Jeniffer
sanggup berjumpa pada hari Jumaat.Sambil menikmati teh dan tart, terbaca info di kotak teh.
Teh secara botani dikenali sebagai camellia sinensis.
Tumbuhan bernilai ini sangat popular kerana ia minuman kesihatan paling alamiah
di dunia (kedua selepas air). Teh di sini ditanam pada ketinggian 6000 kaki. Polyphenols yang terdapat di dalam teh
mengandungi anti oksida yang sangat kuat. Anti oksida berperanan mengurangkan
risiko barah dan penyakit kardiovaskular.
Teh dapat menguatkan gigi (fluorides) dan melegakan masalah
penghadaman. Teh dapat mengurangkan stress, menenangkan tubuh secara metabolic.
Sesetengah orang menggemari teh o. Cara terbaik menikmati teh
ialah menikmatinya secara kosong (teh o kosong). Tanpa gula (risiko kencing
manis) dan tanpa susu ( ririko stroke).
Ini cerita lain. Suatu petang, rakanku, Cuping, berada
bersamaku dan beberapa orang lain di sebuah surau. Selepas solat Asar,
kami berbual-bual. Cuping menyediakan
teh tarik bersama biskut kering. Cuping memang selalu menyediakan teh untuk kami. Dia berpengalaman
bekerja di gerai makan. Teh itu bagiku terlalu ‘kaw’. Lagipun aku bukan
penggemar teh tarik. Maka aku minum sedikit sahaja.
Selesai minum, Cuping
kembali membantu merawat dua orang gadis yang datang ke surau kerana masalah gangguan.
Surau ini menyediakan khidmat bantu pengubatan dan perawatan Islam kepada
mereka yang memerlukan. Perawat-perawat biasanya ramai. Semuanya lepasan Darus Syifaa’ yang diasas oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din. Pesakit
juga ramai.
Aku bergerak untuk
pulang kerana sudah hampir 6.00 petang. Malam
itu aku mendapat berita bahawa Cuping
diserang strok. Ini beraku 15 minit selepas aku meninggalkan surau. Ketika dia merawat gadis tersebut, keadaannya
sudah kelihatan sakit di sebelah kanan. Akhirnya dia rebah, mulu herot, tidak mampu
bercakap dan seakan kejang. Dia dimasukkan ke hospital Lipis.
Kerana sibuk dengan urusan dunia,aku langsug tidak sempat
menziarah Cuping. Aku ini bukan sahabat yang baik. Cuping meninggal dunia dua
hari selepas kejadian di surau itu. Terdapat darah beku di otaknya.
Cuping, sahabatku itu, belum kahwin. Orangnya sangat baik,
rajin, kata-katanya lembut, selalu tersenyum, wajahnya bersih. Pernah aku
terfikir untuk menjodohkan adik perempuanku dengannya. Barangkali bidadari di
syurga telah lama mengintai Cuping. Mungkin Huurun Ain, Ainul Mardhiah atau La’ibah
(nama bidadari) terlalu rindukan Cuping. Mungkin mereka cemburu melihat Cuping
membantu merawat gadis di surau itu. Mereka ingin segera ketemu Cuping. Selamatlah kamu aduhai Cuping, bergembiralah
kamu di sana. Aku yakin tempatmu teramat indah di sana. Justeru perbuatan kamu
yang terakhir di dunia ini adalah perbuatan yang baik.
Resolusi: aku lebih meminati dan menikmati teh o kosong. Tak
kira teh blaccurrant, teh halia, teh lemon, teh vanilla, teh cina atau teh hijau, atau teh misai kucig, atau teh
mas cotek, teh.......teh....