Pagi-pagi lagi Mansour sudah tiba di hotel. Seorang anak
muda Melayu Champa baru tamat universiti, 24 tahun. Major dalam pengajian
bahasa, menumpu kepada bisnes tekstil, budaya dan pelancongan. Kami terjumpa
beliau di pasar malam tatkala beliau menghantar stok baju sulaman ke gerai.
Beliau akan membawa kami menjelajah ke sekitar delta Mekong. 70km dari HCMC.
Kami semua muat dalam teksi Toyota Innova. Teksi nama
Vinasun warna putih hijau model Innova lebih murah dan pakai meter. Teksi
sedan lebih mahal. Dalam perjalanan,
singgah di tempat membuat hiasan dinding dari kulit telur. Malangnya sesi
rehat. Tidak dibenarkan masuk.
Terus ke Mekong. Melalui highway. Kelajuan dalam 60km
sahaja. 1 jam lebih perjalanan. Sampai di jeti, banyak bot disediakan. Lebih
selamat jika kita ada pemandu pelancong. Jika tidak, kos perkhidmatan akan berlipat ganda. Me
bermaksud ibu, Kong bermaksud sungai. Sungai Mekong melintasi 4 buah negara-
Laos, Kemboja, Thailand dan bermuara di Vietnam.
Singgah di pulau madu lebah. Menariknya, sarang lebah ada di
sebelah meja kita. Dan kita diberi peluang menikmati madu terus dari sarang
ini. Lebah-lebah juga berterbangan di mulut cawan dan botol madu.. Royal Jelly
dan pollen juga dijual. Di sebelah pula ada gerai jual beg. Jahitan sendiri. Penggemar
barangan kulit seperti kami seakan kena magnet. Beg kulit lembu beli lima
percuma satu. Sempat juga dibelai ular
sawa di tengkuk sambil bergambar..
Bergerak pula ke gerai nyanyian tradisional. Sambil dihidang
buah-buahan, kita didendangkan lagu-lagu trardisional diiringi gitar, er hu,
dizi dan tamborin. Menurut Mansour, liriknya berkisar tentang ketabahan orang
Vietnam Selatan dan keindahan alam.
Penyanyinya dimulai oleh wanita solo 30an, suara soprano, kanak-kanak perempuan, solo lelaki dan berkumpulan
4 orang. Kami agak teruja bila mereka
menyanyikan lagu Si Jantung Hati (sebuah lagu Indonesia).Namun hanya dua baris
pertama lirik yang difahami. Tidak
menghairankan lagu itu dipilih. Tune nya adalah slendro atau pentatonik yang
mendominasi lagu-lagu indo (indo-China dan Indo-nesia – kecuali gamelan Jawa
dan Jaipong guna skel Pelog... haha agak ilmiah di situ).
Seterusnya kami dibawa ke jeti lain. Naik sampan menyelusuri
anak sungai di celahan delta. Di kiri kanan tebing dipenuhi pokok nipah. Teringat
filem Nang Nak. Pengayuh adalah suami isteri, seorang kayuh di haluan, seorang
di kemudi. Sampai di suatu selekoh sungai, si isteri dengan bangganya
menunjukkan kepada kami rumahnya. Rumah itu sangat-sangat sederhana. Kami
difahamkan penghuni tanah delta ini
asalnya makmur. Perang Vietkong telah
memiskinkan mereka. Saya memandang tangannya yang menguak pendayung itu sama seperti tangan si penoreh
getah kalau di Malaysia. Penoreh getah
di Malaysia ternyata lebih berhasil.
Sepanjang 1 km menghilir, banyak perahu lain hilir mudik.
sampai semula di sungai Mekong. Bergerak pula ke pulau lain. Ada industri kecil
membuat gula-gula kelapa. Pembuatan dan pembungkusannya secara konvensional.
Kebersihan dijaga. Harga juga murah.
Terus pula ke tempat menaiki kereta kuda. Empat penumpang bagi setiap
kereta kuda. Kami diberitahu oleh Mansour agar dapat memberi 1000 Dong
seorang atau lebih kepada si pembawa
kereta kuda ini, seorang ibu. Jika itu sahaja bayarannya, alangkah rendahnya...
Kembali ke bot. Sambil
minum air kelapa, menuju ke jeti. Kembali ke tanah besar. Singgah makan tengahari di masjid Champa.
Masjid ini diuruskan oleh sebuah keluarga Champa sejak 1975. Tiada Muslim lain
di daerah itu. Keluarga ini menguruskan katering bagi pelancong yang datang
melalui pakej. Menunya sedap, terutama
tom yam vietnam. Ikan patin masak nanas.
Selesai makan, solat jamak zohor dan asar.
Kembali ke bandar HCMC. Ke lorong kain. Sepanjang lorong ini
semua kedai menjual kain ela. Memang banyak pilihan. Ustaz Jamal membeli begitu
banyak.
Kembali ke hotel.
Malam last shopping ke pasar malam. Seronok berbual dengan gadis-gadis
penjual di situ. Peramah dan melayan.
Kami seringkali didekati oleh ‘orang tengah’ yang menanya adakah
berminat degan khidmat urut, seks dan karaoke bersama perempuan tempatan. Kami menolak dengan baik. Perkara biasa kita
akan ditanya oleh si penunggang motosikal atau pemandu teksi berkaitan khidmat
ini terutama sebelah malam. Gadis penjual di pasar malam juga memiliki nombor
teksi, atau broker yang akan membawa pelancong ke tempat-tempat kelam tersebut, jika berminat.
Kembali ke hotel. Mengemas beg. Esok mesti sampai awal di
lapangan terbang antarabangsa Saigon
Selatan. Jika kembali ke Ho Chi Minh di lain masa, boleh la ke terowong Chu Chi..