10 July 2009

PAMAH KULAT


Jumaat, 10 Julai 2009. Saya ke Pamah Kulat lagi. Berjumpa cikgu Tabika KEMAS yang gigih itu - Cikgu Saabah. Seperti biasa saya mencerap proses P&P yang dirancang dalam buku rekod mengajarnya dan dilaksanakan di dalam kelas TABIKAnya yang ceria. Saya menyemak folionya yang memang tebal, kreatif, penuh maklumat dan bahan bukti. Beliau juga menulis jurnal praktikum yang relatif panjang dalam bentuk deskriptif. Isu-isu telah dianalisis dengan baik. Dari aspek dokumentasi, sudah menepati piawai. Pelaksanaan P&P pula menggunakan pelbagai strategi, kaedah dan teknik. Misalnya koperatif 3 Stay 1 Stray, Projek dan Simulasi. ABM daripada kotak terpakai memang kreatif. Murid-murid telah diterapkan KBKK dan nilai murni secara langsung dan tersirat. Keseluruhan P&P berjaya, murid-murid aktif, amat responsif dan seronok belajar. Cikgu Saabah juga seronok mengajar. Objektif P&P tercapai sepenuhnya. Beliau memang layak ditauliah sebagai guru cemerlang.

Sebelum saya pulang, beliau bersama pembantunya telah menyediakan makan tengahari untuk kami sama-sama menikmatinya. Gulai lemak ikan talang bersama sayur terung, ayam goreng dan sambal tumis petai. Sekonyong-konyong sebaik kami nak mula makan, muncul Pak Uda, Pengerusi TABIKA. Kemudian seorang pak cik, AJK TABIKA yang sebenarnya nak menjemput anaknya. Bagai dirancang, muncul pula Tok Empat Pamah Kulat (memang dirancang oleh Cikgu Saabah). Meriah jadinya. Tok Empat singgah menghantar durian. Katanya pagi ini sahaja sudah 2 lori dia membeli durian daripada orang kampung! Durian ini dihantar ke Kuala Lumpur dan Singapura. Memang Pamah Kulat sebuah kampung perdusunan. Tok Empat menjemput saya ke dusunnya untuk mengutip sendiri durian.

Sebelum menuju kereta, saya dibekalkan durian dan rambutan oleh Tok Empat. Manakala Noriani, pembantu TABIKA menghulurkan sebiji labu. Katanya jika saya ke rumahnya di Jelu ( tak jauh dari Pamah Kulat) buah salak dan langsat sedang masak sekarang. Tapi saya tak berkesempatan. Terimakasih banyak kepada orang Pamah Kulat. Mereka semua sangat baik hati, pemurah dan peramah. Saya sangat bahagia dapat menjalin persaudaraan dengan mereka ini. ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA, ORANG MEMBERI SAYA MERASA. Memang saya dapat rasakan betapa terharunya dalam hati. Cuma mata saya sahaja yang tidak berkaca...

KANAN KIRI

Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda maksudnya.” Apabila sesorang dari kamu memakai kasut maka mulakanlah dengan yang di sebelah kanan dan apabila menanggalkannya mulakanlah dengan sebelah kiri. Supaya kaki kanan mula-mula dipakaikan kasut dan yang akhir sewaktu menanggalkannya.”

Amalan lain yang boleh diamalkan: Pakai stokin, seluar, masuk tangan dalam lengan baju, masuk kelas, masuk masjid (dah tentulah), masuk rumah, masuk kereta...lagi..?

Selalu bila saya ke masjid atau surau untuk solat jemaah, perkara buruk yang sukar saya tinggalkan (jika berpeluang melakukannya) ialah memerhati ke arah kaki orang. Aneh juga. Namun kaki yang diperhatikan itu sudah tentulah kaki jemaah lelaki. Lebih tepat sebenarnya saya memerhatikan langkah mereka ketika masuk dan keluar masjid.

Kita pernah diberitahu oleh ustaz atau ustazah semasa bersekolah dulu, tentang adab-adab masuk masjid dan adab-adab masuk tandas. Namun mungkin kita jarang mengamalkannya. Kerapkali saya melihat ada antara jemaah yang melangkah masuk dengan kaki kiri di pintu masjid. Kadangkala orang ini nampaknya seperti orang berilmu, atau alim. Yang menarik, saya pernah melihat seorang anak muda memakai seluar jeans dan t-shirt ala budak rock metal, ketika hendak masuk pintu masjid, dia berhenti sebentar lalu berdoa dan kemudian melangkah kaki kanan masuk ke dalam masjid. (kes menilai kulit buku)

Mungkin kita pernah bertemu situasi di pintu tandas masjid tertulis ; Dilarang membawa kasut atau selipar, atau Tinggalkan kasut di luar pintu tandas. Pelik juga. Habis, nak masuk tandas berkaki ayam saja? Bukankah sunat memakai alas kaki bila memasuki tandas. Kadangkala ada selipar tandas di sediakan, tetapi berada di sebelah dalam bilik tandas, bukan di luar. Kita nak masuk tandas kaki kiri dulu. Bila kaki kiri dah masuk, terus pijak selipar dan sarungkan kaki. Jadi kaki kiri dimulakan pakai selipar atau kasut.

LEPIH

Kuala Lipis (KL) atau Lepih (sebutan penduduk tempatan) dulunya pernah menjadi ibu negeri Pahang sebelum bertukar kepada Kuantan. Lipis sebuah daerah tua. Namanya sempena lokasinya di kuala Sungai Lipis bersua dengan Sungai Jelai. Wilayah perjuangan tokoh-tokoh sejarah dan pahlawan Pahang. Antaranya Wan Ibrahim, Maharaja Perba Jelai, Mat Kelubi, malah Mat Kilau dan Tok Gajah sendiri pernah berjuang di sini.

Bangunan-bangunan tua tinggalan British merupakan wajah Kuala Lipis. Rumah-rumah kedai yang dibina seawal 1900, Stesen keretapi, Masjid India, Rumah Rehat Tanjung Lipis, Rumah Rehat Bukit Residen, Bangunan Majlis Daerah, Dewan Residen, SMK Clifford, dan banyak lagi. Jika anda melalui jalan di Bukit Bius (jalan menuju Zoo Lipis), anda akan dapat merasakan suasana ketika zaman orang putih menguasai daerah Lipis dulu. Rumah-rumah banglo lama tinggalan bangsawan di pinggir jalan, adalah artifak yang masih hidup! Bahkan rumah kelahiran Datuk Sri Najib PM ke-6 masih wujud. Sesuailah Lipis memilih untuk membentuk identitinya dengan jolokan bandar bersejarah. Sebagaimana Temerloh-bandar ikan patin, Rompin-bandar udang galah.


Banyak yang unik tentang daerah berkabus lewat pagi dan senja ini. Stesen keretapinya terletak di tengah-tengah bandar. Ada satu sahaja pasaraya yang ’aktif’, jadi tumpuan warga tempatan. Kedai-kedai biasanya sudah mula tutup pintu mulai pukul 5 petang. Kecuali kedai kasut dibuka sehingga pukul 10.00 malam. Suasana di sini aman damai, orangnya berbudi bahasa, masih berpegang pada tradisi, tidak suka meninggi diri. Masyarakat pelbagai kaum masih teguh mempamerkan perpaduan dan kemesraan. Oleh kerana tiada kehidupan malam (night life) di sini, pada pemerhatian saya, tiada gejala sosial terlihat. Tiada juga nampak gelagat yang menyemakkan mata oleh kalangan remaja. Ini daerah pingitan. Belum ternoda oleh kerakusan hidup materialistik dan individualistik seperti di KL yang satu lagi.






Harga makanan di Lepih agak mahal. Tak kira makan tengahari atau malam. Tak banyak pilihan kedai makan. Jika makan tengahari, menunya betul-betul ikut selera orang di sini. Jadi kalau tak kena selera, lebih baik masak sendiri.. Sambal hitam dan rendang hitam memang masakan popular selain gula kabung dan buah salak sebagai buah tangan dibawa pulang. Pasar malam petang Jumaat aka bersambung pula dengan pekan sari (Pekan Sehari) pada pagi Sabtu di lokasi yang sama.

Novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar (penulis tersohor dari Kerambit), memberi gambaran tentang Kuala Lipis pada tahun-tahun 1960an. Citra Pahang klasik pula ditulis oleh Hj. Buyong Adil dalam buku Sejarah Pahang. Untuk warna yang lebih purba, ditintai dalam Hikayat Pahang. Bacalah...