06 November 2011

Tak sensitif, kan?


Sewaktu saya memandu melalui jalan dari Tuaran ke Ranau (22 Okt 2011, ) ternampak suatu gerai tertulis “Babi Hutan Salai”.  Memang kembang tekak dibuatnya. Tambahan pula asap dari salaian itu menerobos ke jalanraya.

Hal semacam ini adalah biasa bagi masyarakat pedalaman non muslim. Orang Asli di Semenanjung juga amat menggemari babi hutan. Misalnya suku kaum Jahut  di Penderas pandai membuat lemang babi hutan. Daging babi hutan ini diperam di dalam buluh jadi semacam pekasam. Bila sudah sampai beberapa hari, barulah dimakan. 



Ketika saya melancong ke Danau Toba, Medan Indonesia pada 2008, ( bukan nak menunjuk, ya. Akan tetapi  ramai orang sudah melancong ke sana),  gerai-gerai menjual babi salai dan anjing salai mudah didapati di Pekan Parapat. Parapat adalah pekan di tebing Danau Toba. Kita boleh bermalam di sini sebelum menaiki bot ke Pulau Samosir di tengah danau. Hawa di Parapat sangat dingin. Dikatakan orang-orang Batak memakan anjing untuk memanaskan badan. Jika kita melihat anjing hidup tanpa ekor, itu tandanya ekor anjing itu telah dipotong untuk dibuat sup.

Berbalik kepada babi salai dan anjing salai. Agak sukar mencari kedai makan Muslim di situ. Jika adapun,  betul-betul di sebelah gerai salai  tersebut.  Tentang kisah orang Batak makan anjing ini dimain-mainkan oleh orang bukan Batak di Indonesia..

Pada masa dahulu, Jakarta banyak tikus .Banyak penyakit dibawa oleh tikus. Penduduk menjadi risau. Mereka pun  berfikir untuk menyelesaikan masalah itu. Lalu dibawa kucing dari Surabaya. Tikus pun habis pupus dimakan oleh kucing .  Namun  timbul pula masalah baru.Kucing pula menjadi banyak. Lalu dibawa anjing dari Jogjakarta. Habislah kucing dibelasah oleh anjing. Lama-kelamaan anjing pula membiak dengan banyak.  Maka tiadalah lagi binatang yang dapat menghapuskan anjing ini.  Fikir punya fikir, dibawalah orang Batak dari Medan ke Jakarta. Maka selesailah masalah itu...

Teringat pula saya sewaktu saya di kolej beberapa waktu dahulu. Kami semua tinggal di asrama. Makan tengahari dan malam di kantin asrama. Makan pula guna ‘tray’.Suatu hari ada rakan ternampak seorang pelajar Cina sedang makan makanan yang agak disangsikan. Pelajar Cina ini namanya Ng Wee Teng. Wee Teng sudahpun hampir selesai makan, lalu ditanya oleh rakan apakah ‘makanan’ yang dimakannya itu. Wee Teng selamba mengaku bahawa itu adalah  daging babi yang dikeringkan. 

Perkara ini menjadi isu hangat di kolej. Semua pelajar muslim takut untuk makan di asrama lagi, sebab tak tahu tray yang mana satu telah digunakan oleh Wee Teng. Sudah bercampur dalam mesin basuh pinggan. Ramai pelajar yang marah. Sehingga sampai ke telinga saya Wee Teng telah diberi pengajaran di biliknya. Semua tray  pula telah disamak oleh pihak kantin asrama.
Selepas itu Ng Wee Teng telah digelar Ng Se Run Ding........