14 August 2010

RAHSIA MINDA HEBAT


Apabila orang bertanya; Berapakah IQ anda? Ada di antara kita yang tahu, dan ramai yang tak tahu. Yang tahu mungkin pernah mengambil ujian IQ. Yang tak tahu kerana tidak pernah mengambil ujian tersebut atau langsung tidak peduli. Namun begitu, mungkin pula kita menjawab 40, 50, atau 60. Tahap 80 juga dianggap masih rendah. 

IQ hanyalah 20% daripada ukuran kehebatan manusia. Selebihnya ialah EQ dan SQ. Ini semua  terkandung di dalam kehebatan minda itu sendiri.

Manusia  paling tinggi IQ pada masa ini ialah WILLIAM JAMES SIDIS dengan skornya 250-300. Beliau seorang Yahudi. Kita  mungkin mempertikaikan kenyataan ini dek kerana Yahudi sentiasa memanipulasi maklumat untuk kepentingan dan kelebihan mereka.   Namun kita tidak dapat mempertikaikan bahawa orang Yahudi memang paling ramai  menjadi saintis, pereka cipta, genius, pencetus, perancang strategik dan para bilionaire. Meski jumlah mereka tidak sampai 30 juta orang, mereka berjaya menjajah minda manusia seluruh dunia.  Selain ideologi, doktrin dan usaha mereka yang berterusan (yang mana kita tidak akan sekali-kali mengikutinya), banyak aspek lain yang boleh kita amalkan khusus dalam konteks hidup sebagai muslim.




Berikut adalah ulasan buku RAHSIA MINDA HEBAT.

Nama Buku: RAHSIA MINDA HEBAT
ISBN 978-967-5102-37-0
Penulis: DATO SITI NOR BAHYAH MAHAMOOD & HAJI MUHAMMAD ZAKARIA
Penerbit: TELAGA BIRU SDN BHD
Tahun : 2009
Bil. Muka surat : 175
Harga: RM26.00

Fizikal buku yang comel dengan kertas glossy lengkap dengan  gambar berwarna, foto yang menarik, gambarajah, rajah saintifik, jadual, ayat Al Quran, Hadis, doa, info dan fakta mengejutkan. Sesuai untuk hafalan, kajian dan rujukan.

Mengandungi 18 bab yang distruktur dari  kejadian otak manusia sehinggalah  pelan bertindak. Bab 1 memaparkan struktur otak dan fungsinya. Bagaimana  merangsang otak dengan aroma, muzik dan warna.  Kecemerlangan otak akan meningkatkan martabat akal. Mengabaikan peranan akal akan merendahkan martabat manusia.

Apakah yang melemahkan akal dan merosakkannya?  Jika akal dapat menjadi lemah, bermakna akal juga boleh dikuatkan atau ditingkatkan kecerdasannya.  Antara amalan yang disyorkan ialah menghafaz  Al Quran,, doa Nabi Musa dan wirid-wirid yang khusus.

Oleh kerana ingatan, lupaan, fikiran dan akal terletak di dalam otak, dan otak adalah organ di dalam tubuh manusia, maka pemakanan yang baik sangat penting untuk memastikan otak berfungsi dengan baik.  Apakah khasiat halia?

 Buah berangan  bukan untuk menggalakkan kuat berangan-angan, tetapi ia  sangat baik untuk menghilangkan lupa. Pernahkah kita makan telur burung merpati dan kemenyan putih? Bagaimana Nabi makan tembikai?  Selain itu pemakanan minda yang biasa diketahui juga disentuh; misalnya buah tin, kismis, kurma, buah zaitun, badam, kacang hazel, za’faran  dan susu.

Ketahuilah, perempuan Yahudi tidak digalakkan minum Koka Kola ( buka ejaan sebenar). Minuman itu dikatakan merosakkan rahim perempuan. Apabila seseorang ibu di kalangan orang Yahudi diketahui mengandung, maka dia akan mengambil makanan yang mengandungi omega seperti ikan tuna. Selain itu dia akan bermain piano dan membuat banyak latihan matematik. Hal ini akan mempengaruhi otak bayi yang dikandungnya. Dalam bab 10 buku ini diterangkan bagaimana mencerdaskan akal bayi.  Termasuk mimpi ngeri akibat memakan makan segera.

Selain diet, aktiviti fizikal  dan riadah juga disentuh. Apakah aktiviti waktu senggang yang sesuai bagi minda?Tidak dilupakan tuntutan tidur untuk merehatkan tubuh dan minda.  Apabila cukup rehat barulah otak dapat bekerja dengan lebih efektif. Otak yang cerdas akan dapat menghasilkan pemikiran kritis, kreatif, menaakul (reasoning), membuat ramalan dan  proaktif.

Bagaimana Imam Ahmad bin Hambal mampu menghafal sejuta hadis? Atau mungkin pernah kita terdengar kanak-kanak seawal bawah 12 tahun mampu menghafal Al Quran. Mengapa perlu bersugi atau berbekam? Adakah berpuasa iaitu berlapar dapat mencerdaskan akal? Jika dari mata terus ke hati atau minda, maka bagaimana menjaga pandangan?  Dikatakan  melihat tubuh perempuan yang seksi atau pornografi dapat merosakkan akal. 

Dari aspek psikologi juga perlu diambil kira. Amalan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah dapat meningkatkan jati diri dan kekuatan minda.  Selalu membuat muhasabah (refleksi diri), berfikiran positif dan menampilkan imej diri yang baik akan dapat meningkatkan kemahiran intrapersonal dan interpersonal.

Buku ini telah mengupas secara komprehensif  tentang bagaimana menghebatkan minda. Sewajibnya lah buku ini dimiliki oleh setiap keluarga khusunya keluarga muslim. Ketika umat Islam dan Melayu dianggap ketinggalan pada masakini, pembangunan minda dan revolusi mental sangat-sangat diperlukan. Cara pemikiran kita perlu diubah. Bahkan jika perlu, cara pemakanan juga diubah.  Adakah kelemahan anak Melayu dalam Sains dan Matematik disebabkan mereka suka makan nasi lemak atau kurang makan makanan laut? .

Bermulalah hari ini jika tidak mampu bermula pada hari semalam.  Milikilah buku ini segera. Baca, fahamkan dan amalkan seisi keluarga. InsyaAllah seluruh ahli keluarga kita akan berubah ke arah yang lebih baik.  Matlamat jangka panjang ialah  lahirnya  umat Islam yang  mampu bangkit  memartabatkan maruah Islam dan Islam kembali menerajui ketamadunan dunia.  WallAhua’lam.

09 August 2010

GUNUNG DATUK


Pergh.!! Macam tak percaya saya mendaki gunung lagi. Setelah terkilan terlepas peluang menyertai Fauzi ke Gunung Tahan pada Jun lalu, peluang kali ini sekurang-kurangnya dapat mengubat kekecewaan.

Kali ini ke Gunung Datuk.  INFO:  Lokasi di Kg. Batang Nyamur, Gadung. 21 km dari Pekan Rembau, 15 km dari Pekan Tampin. Tinggi 2500 kaki. Jam standard mendaki ialah 2 jam.  Puncak gunung ini pernah digunakan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang untuk mengumpulkan Ketua-ketua Adat pada tahun 1372. Jika cuaca baik kita akan dapat melihat Selat Melaka dari puncak.

7 Ogos 2010, sampai di kaki gunung pada pukul 1.00 tengahari, bersama rakan, Fauzi dan 37 pelajar. Disebabkan kami lambat sampai,  khemah telahpun dipasang oleh penganjur. Tinggal nak kena masak untuk makan tengahari. Selepas Taklimat, rehatkan diri. Malam latihan kemahiran PBSM.

8 Ogos 2010. Selepas ’warming up’ sedikit taklimat, 8.00 pagi pendakian bermula. Turut sama pendaki dari Singapura, Majlis Sukan Negara, pelajar SMK Setiawangsa KL dan ramai lagi pendaki persendirian dan kumpulan kecil. Cabaran serta merta menerpa. Setiap langkah  tak pernah mendatar. Lutut dipaksa angkat tinggi. Di sesetengah tempat, lutut hampir saja mengena dagu. Seliratan akar-akar pokok  menjadi tangga semulajadi. Syukurlah cuaca baik walau pada mulanya guruh kedengaran.  Laluan pula tidak terlalu licin. Walau dalam teduhan pokok-pokok, peluh jenuh memandikan tubuh.

Pelajar-pelajar  telah jauh meninggalkan saya. Mereka mencapai bawah par dengan rekod satu jam setengah menawan puncak.  Hanya Q, Wawa, Kak Ina, Jihah, Amal, Afiq dan tiga orang dari UITM dan CIMB bersama kami sebagai kumpulan terakhir.  Akhirnya dalam tiga jam kami pun sampai ke puncak.

Di puncak kami terpaksa menunggu giliran menaiki tangga. Puncaknya luas boleh memuatkan dalam 50 orang.  Kelihatan kampung-kampung, jalanraya dan kebun di bawah sana. Namun kabus masih saja melindungi pada kebanyakan saat. Meski jam sudah 12 tengahari, kedinginan tetap terasa. Setelah puas bergambar, kami pun turun perlahan-lahan.

Perjalanan turun sepatutnya lebih santai. Akan tetapi, kuku kaki terasa sakit disebabkan lebih banyak gerakan ’membrek’ agar tidak  tergelincir. Mungkin faktor kasut juga.
Pukul 2.00 kami sudah sampai ke base. Masing-masing keletihan  dalam kepuasan.

Sebelum ini saya pernah menawan puncak  Gunung Senyum pada 1992 dan Gunung Kinabalu pada 2006. Pendakian kedua-dua gunung ini tidaklah begitu meletihkan. Cabaran Gunung Datuk ialah mendaki terus menerus secara vertikal. Boleh dikatakan tiada langsung tanah rata (horizontal)  untuk bergerak secara berjalan.

Terima kasih dan tahniah kepada Wawa, Naqiu, Syafi dan Jawatankuasa mereka yang menguruskan program ini. Kemahiran mengurus, interpersonal, memimpin, dan Kompetensi Kecerdasan Emosi anda semua sangat cemerlang.  Program ini sangat berjaya. Tidak lupa kepada Encik Rizzwan (Rizz Sharpshooter), En. Nan dan rakan-rakan dari MPAJ, guide dan Koperasi Gunung Datuk.

Jadual berikutnya Gunung Bubu, Gunung Tebu, Gunung Ledang, Gunung Stong.......


KELADAN


 Pekan Sari Padang Tengku, setiap pagi Ahad, atau Pekan Sari Benta, waktu dan hari yang sama, selalunya menyediakan banyak produk kampung. Hal ini samalah dengan Pekan Sari Temerloh, Jerantut atau daerah lain. Cuma di setiap daerah pasti ada kelainan produk kampungnya. Bagi Pekan Sari Padang Tengku, lokasi lebih kurang 15km dari bandar Lipis jalan ke Gua Musang, banyak yang dapat dilihat atau dibeli. Misalnya emping, asam belimbing hitam, sambal hitam, gulai keladi siap dimasak, daging salai, kulit lembu, asam rung buah perah, jeruk perah, ikan pekasam dan ulam-ulaman tradisional.

Terlihat ulam keladan. Sekarang musim. Cuba berkongsi info, namun tidak banyak maklumat tentang ulam ini dalam buku atau dalam internet.  

Menurut Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas, Pokok Keladan merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia serta di negara-negara ASEAN yang lain. Nama botaninya *Dryobalanops oblongifolia Dyer. Tinggi pokoknya mencecah 60m.  Menurut sumber lain pokok keladan adalah keluarga pokok kapur. 

Bahagian yang dijadikan ulam ialah buahnya.  Oleh kerana pokoknya sangat tinggi iaitu spesis balak, maka buah yang diperolehi selalunya buah yang gugur ke tanah. Mulanya buah ini berbentuk bundar dan muda kehijauan. Apabila direndam ke dalam air, dalam tempoh 2 hingga 4 hari ia akan kembang dan bertukar warna kemerahan atau coklat. Apabila kembang, bentuknya seakan-akan cuping telinga kera. Tapi tak perlulah  dibayangkan begitu apabila memakannya  Satu bahagian yang akan berfungsi sebagai akar tujang akan kelihatan. . Samada kembang atau tidak, ia boleh terus dimakan.

Bagi penggemar ulam, keladan semestinya termasuk dalam repertoire mereka. Rasanya sedikit pahit, rangup dan kadang-kadang kelat. Biasanya dijodohkan dengan sambal tempoyak, sambal belacan atau sambal hitam. Tentang khasiatnya secara khusus, saya belum berjumpa setakat ini. Umumnya, semua ulam mempunyai khasiat tersendiri dalam meningkatlkan tahap kesihatan.

RUJUKAN ;