13 August 2012

TIDUR DENGAN MIRING KE KANAN




Salah satu cara yang boleh membantu untuk kita bangkit bersolat malam (Tahajjud) adalah tidur dengan miring ke  kanan. Inilah cara Rasulullah SAW tidur.  Kebiasaan ini akan membuat kita tidak tidur mati (terlalu nyenyak).  Hadis : “ Jika kamu mendatangi  tempat  tidurmu, maka berwuduklah seperti wuduk untuk solat, lalu berbaringlah pada sisi kanan badanmu.”

Dari Hafsah r.ha. dia berkata;  “Apabila mendatangi tempat tidurnya, Nabi SAW meletakkan tangan kanan di bawah pipi kanan”

Ketahuilah bahawa solat tahajjud adalah penyebab kepada kebahagiaan hati, penyebab terselamat dari neraka, penyebab masuk syurga, penyebab terhapus dosa,  penyebab meraih husnul khatimah, meringankan lamanya berdiri pada hari kiamat,  penyebab dikabulkan doa, meraih cinta Allah, mengusir penyakit badan dan jiwa, meraih petunjuk dan mendidik diri mencintai kemuliaan.




MEMEGANG AL QURAN TANPA WUDUK



Menurut  penulis buku ‘KENALI AL-QURAN’,  tidaklah diharamkan orang yang tidak berwuduk memegang al-Quran dan membawanya, serta membacanya. Bahkan semuanya itu diharuskan kerana tidak ada dalil yang melarangnya.  Namun adalah lebih afdhal jika kita berwuduk sebagai satu penghormatan terhadap kalam Allah SWT. 


Isu hukum memegang al-Quran tanpa wuduk  berkisar dalam memahami ayat 77-80 dalam surah al-Waqiah yang bermaksud;

Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, ( yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;  al-Quran itu diturunkan daripada Allah Tuhan sekelian Alam.

Ahli fikah berpendapat  “kitab yang terpelihara” adalah a-Quran. Dan golongan yang suci adalah kaum muslimin yang berwuduk dan membacanya.   
Ayat tersebut bukan membicarakan tentang Muslim yang berwuduk tetapi membicarakan tentang sumber al-Quran dan jalan penyampaiannya kepada Nabi Muhammad SAW.

 Ia bertujuan membatalkan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan kafir yang mendakwa al-Quran diturunkan oleh syaitan. Ayat ini menolak dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa yang menurunkan al-Quran adalah malaikat 

“Almutahharun”  bermaksud malaikat adalah tafsiran yang dipersetujui jumhur sahabat seperti Ibn Abbas, Anas bin Malik, para tabiin seperti Alqamah dan Qatadah. Malaikat digelar ‘al-mutahharun’ kerana mereka tidak pernah melakukan dosa. Wallahua’lam.