28 January 2011

Ion Negatif


Berada di luar rumah di awal-awal  pagi  memang mendamaikan. Tambahan pula sebelum subuh tadi hujan telah turun. Kehadiran ion-ion negatif memang dapat dirasakan. Sama kedamaiannya tatkala berada di pinggiran air terjun. 


Di wilayah sejarah dan daerah perbukitan ini hutan hujan masih menghijau. Justeru, kabus tebal yang membungkus pagi sebelum terserlah senyuman mentari adalah perkara paling biasa. 

Jika hari ini Allah mengurniakan ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia, maka saya merasakan saya adalah salah seorang daripada kalangan mereka itu. Alhamdulillah.

Beberapa rakan saya sejak akhir-akhir ini ada yang terlantar di wad hospital, ada yang sedang menderita kencing manis, darah tinggi, gout dan penyakit-penyakit lain yang sewaktu dengan usia mereka. Ada pula yang sedang menghadapi symptom-simptom. Ternyata kesihatan fizikal adalah kunci pertama untuk ketenangan kehidupan.

Tiada siapa mahukan sakit. Sakit itu bukan sahaja penderitaan tubuh badan, tetapi juga kesengsaraan mental. Akal yang sihat datangnya dari badan yang sihat. Ingatlah 5 sebelum 5. Sihat sebelum sakit salah satu daripadanya.  Hargailah kesihatan tubuh badan kita. Berikan tubuh makanan yang baik, berzat, seimbang dan paling penting  ia halal.  Harus diingat, bukan sahaja makanan itu terbaik dalam bentuk maujudnya semata-mata, malah juga bagaimana asal-usul makanan itu boleh berada pada suapan kita sebelum ditelan. Juga amalkan makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. 

Selain pemakanan, ambil kira juga penjagaan kesihatan yang lain seperti senaman, posteur, terapi cara kerja, bersauna, atau mengambil suplemen. Setiap orang pasti mempunyai kaedah tersendiri dalam menjaga kesihatan tubuh badan masing-masing. 

Apa yang penting, kita sihat walafiat. Kesihatan itulah sebenarnya kecantikan. Sihat juga membawa maksud tenang, gembira, senang dan bahagia. Ada juga yang berpandangan sihat itu muda. Oleh itu elakkan mengalami 'tua sebelum waktunya'

Hargailah kesihatan tubuh badan. Badan yang sihat memudahkan untuk beribadat.  Tidak lupa juga selalulah kita  berdoa semoga Allah kurniakan kita kesihatan tubuh badan yang tekal, guna untuk kita menjalani urusan kehidupan di dunia ini dengan mudah. Seterusnya semoga Allah menjadikan kehidupan kita di akhirat juga dipermudahkan urusannya. InsyaAllah....