13 July 2014

nota terakhir dari Jepun

Lebih kurang 7 bulan saya tidak update blog ini. 
Tak tahu kenapa. Boleh jadi sibuk, motivasi merudum atau sudah lelah.

 Beberapa minggu pulang dari Jepun, telefon Samsung Note 1 saya rosak. Tidak dapat dibaiki langsung. Segala catatan dan data2 di dalamnya terus lupus. Termasuk catatan ketika melawat Jepun.  Dalam tempoh tersebut juga saya tidak sempat memuatnaik ke blog. Hanya sedikit catatan berikut yang ada. 

25  nov 2013 Mon.
Dari Asakusa, naik keretapi ke Ueno. Kemudian terus ke Ikebukuro, langsung ke Tobu Netima. Kami dah tahu cara beli tiket di kiosk.  Pastikan dulu jumlah tambang. Masukkan duit secukupnya, atau lebih pun tak apa. Walaupun dimasukkan wang kertas 10 ribu Yen, mesin akan keluarkan baki dengan tepat sehingga duit sen yang paling kecil sekalipun.

Sampai di University Daito Bunka. Ini universiti di mana Dr. Rozi belajar ketika ambil ijazah pertama dahulu. Sebelumnya kena naik bas university dari blok pertama ke kampus utama bersama mahasiswa. Kami meninjau-ninjau dan bergambar. Sementara menunggu Dr Rozi uruskan aturcara, kami solat dulu di bilik mesyuarat yang dibenarkan oleh kakitangan di sini.  Kemudian ikuti aturcara lawatan ke perpustakaan dan taklimat oleh Profesor Nakamichi.  Suatu program pengantarabangsaan dibincang.

Kami lihat pekerja am seperti penjaga parkir bas di Jepun sangat komited dengan kerja mereka. Mereka sangat serius menjalankan tugas. Walaupun kerja tersebut nampak remeh. Mereka bekerja penuh etika.
Di setiap stesen keretapi, kita dapat lihat ramai orang berjalan dengan cepat. Ada yang berlari. Bahkan terjatuh di tangga. Adalah biasa ketika menaiki eskalator, kita perlu berdiri di sebelah bahagian sahaja. Ini kerana akan ada orang yang berjalan cepat di ruang sebelah yang kita kosongkan itu. Ya, walaupun sedang menaiki eskalator, mereka masih ingin berlari juga. !

Di dalam keretapi pula, mereka gunakan masa untuk membaca buku, bermain game di telefon pintar atau tidur. Mereka boleh membaca buku sambil berdiri tanpa memegang apa-apa. Berdiri dalam keretapi juga perkara biasa. keretapi sentiasa penuh. Kami sendiri hanya dapat duduk beberapa kali sahaja.  Pernah juga kami duduk di lantai, tetapi dimarahi oleh pemandu. Itupun disebabkan kami duduk di gerabak sebelah pemandu. Menariknya, tempat duduk ini ada pemanas di bawah kusyennya. Jadi bila kita duduk terasa suam. Membuat panggilan telefon juga tidak dibenarkan di dalam keretapi.

Orang Jepun sangat suka dan ingin menolong, tetapi masalah bahasa menjadi penghalang. Mereka tidak tahu berbahasa Inggeris. Jika kita boleh berbahasa Jepun, alangkah bagusnya. Bahasa Inggeris hanya diajar pada peringkat sekolah menengah.

Apa yang kami perhatikan, tidak pernah kelihatan orang Jepun makan sambil berdiri atau berjalan. Tak pernah juga melihat mereka membawa makanan di tangan. Mungkin sebab itu tidak ada tong sampah disediakan di mana-mana. Tong sampah boleh didapati di tandas awam sahaja.

Keluar dari University Daito Bunka, kami singgah di sebuah restoran. Tak tahu nama. Makan tempura. Sedap. Jalan kaki pula ke Kedai 100 Yen. Semua barang harga 100 Yen. Seperti kedai RM2.00 di Malaysia. Bezanya di sini semua barangan Jepun. Saya beli 3 mangkuk Jepun.

Seterusnya kami naik keretapi pula ke Akihabara. Bandar elektrik. Terdapat dua blok utama di sini yang menjual barangan elektronik dan game. Seperti Plaza low Yatt, tapi di sini lagi besar.