13 August 2009

Puteri Kamalia

Bahawa kamu
Telah berangkat
Meninggalkan Inderapura
Oleh paksa cuba diseka
Sengketa berpenjuru tiga
Dan upaya tipu daya mereka
Adalah sayat kelukaan
Kewalanganku.

Sesungguhnya aku
Setelah itu menjadi perindu
Lewat lima ratus musim bisu
Gagal merampas sejarah
Hanya mampu
Mencintai
Sesudah ketiadaanmu.

Bera, Inderapura
13 Ogos 2009

11 August 2009

ironi


Pada 05 Ogos 2009 yang lalu saya ke Sekolah Kebangsaan Merapoh. Lokasinya 106KM dari Kuala Lipis. Dalam 15 minit memandu lagi akan sampai ke bandar Gua Musang. Lawatan sosial ke kelas Pemulihan Khas SK Merapoh tidak banyak beza dengan kelas pemulihan khas yang pernah saya temui seperti di SK Bintang, Temerloh; SK Sungai Kiol, Jerantut; termasuk SK Titom, Lipis. Juga senario yang hampir sama bagi kelas Pendidikan Khas yang saya selia di SK Bukit Sekilau dan SK Wira, Kuantan.

Cikgu Nor FaizatulAkma sedang membimbing Munirah & Ismail membezakan sukukata 'ga' dan 'ja'.

Latar yang sama di sini ialah ciri-ciri pelajar kelas-kelas tersebut. Bagi kelas Pemulihan Khas, pelajar-pelajar biasanya belum menguasai kemahiran asas 3M. Di samping ada sifat pendiam, pemalu, penakut. Termasuk juga pelajar lambat (slow learner), tidak cukup zat makanan dan masalah lain berkaitan pembelajaran. Bagi kelas Pendidikan Khas, masalah pelajarnya lebih khusus dan memerlukan pengesahan doktor pakar. Misalnya disleksia, autisme, hiper aktif, down sindrom. Masalah buta, pekak dan bisu akan dikendalikan sekolah pendidikan khas atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Berbalik ke SK Merapoh. Ketika saya memerhatikan guru pelatih KPLI, Roslina dan Faizaitul Akma yang sedang mengajar, perhatian tertumpu kepada seorang murid perempuan yang berpakaian selekeh. Tudung kepalanya sekadar disarung sesuka hati sahaja. Dia agak pendiam dan suaranya hampir tak kedengaran. Menurut cikgu Izan, guru pemulihan khas SK Merapoh, murid itu Munirah (bukan nama sebenar), salah seorang murid miskin dari keluarga bermasalah. Dia berusia 10 tahun tapi terpaksa mengikuti pelajaran tahun 2 lantaran keupayaan pembelajarannya yang berkadar perlahan. Kedua orang tua Munirah masih ada. Ayahnya bekerja kampung. Ayahnya tidaklah mengambil berat akan pelajaran anak-anak. Ibunya pula menghadapi kecelaruan fikiran yang serius.

Abang Munirah belajar dalam tahun 6 di sekolah yang sama. Abangnya telah mula belajar mengambilalih peranan menjaga adik-adik sejak kebelakangan ini. Bila cikgu bertanya siapa yang membasuh baju mereka, dia memberitahu bahawa dia membasuh bajunya sendiri dan baju Munirah. Kenapa pakaian sekolah mereka tidak bersih? Katanya dia tidak gunakan sabun basuh kerana tiada wang untuk membelinya. Baju sekolah mereka akan dibasuh seminggu sekali sahaja kerana hanya ada sepasang setiap seorang. Dia membasuh pakaian di sungai.

Setiap kali balik sekolah, abangnya akan memasak nasi terlebih dahulu sebelum membuat perkara yang lain. Ini kerana mereka sangat lapar lantaran hanya sampai ke rumah selepas pukul 3 petang. Jika ada ikan kering atau telur ayam untuk dibuat lauk, itu sudah kira bertuah. Cikgu Izan memberitahu pernah cikgu membuat lawatan mengejut ke rumah mereka dan mendapati mereka adik beradik makan ikan goreng yang sudah berulat. Roslina juga menceritakan dia pernah melihat Munirah membuka bekal sewaktu rehat. Bila ditanya apa yang dimakannya, Munirah cuba menyembunyikan bekalannya. Namun Roslina dapati bahawa Munirah hanya makan bekalan buah nangka sedangkan kawan-kawannya makan nasi lemak atau ayam goreng.
Suatu hari Roslina melihat Munirah sedang termenung di pondok bas. Waktu sudah lebih pukul 4 petang. Bila ditanya tunggu siapa, dia kata ayahnya belum datang menjemputnya. Roslina mempelawa Munirah naik keretanya untuk dihantar balik. Namun bila ditanya di mana rumahnya, Munirah tak tahu pula...
Suatu pagi Isnin, ketika perhimpunan, pemeriksaan murid dilakukan. Pakaian, kebersihan, rambut dan lencana diperiksa. Bila tiba giliran abang Munirah, cikgu memeriksa kasut dan stokingnya. Dia mengangkat sebelah seluarnya menunjukkan stoking. Bila cikgu menyuruhnya mengangkat kedua-dua belah seluar, terkejut cikgu melihat dia hanya memakai stoking sebelah sahaja. ”Kenapa awak pakai stokin sebelah? Awak mengigau ke, awak dah nyanyuk?” Tanya cikgu. Murid-murid lain turut tergelak.

Jawab abang Munirah: ”Sebelah lagi adik saya (Munirah) pakai...cikgu”.


p/s: Selamat menjalani latihan kepada Roslina dan NorFaizaitul Akma. Terus berbakti menjadi guru Pemulihan Khas yang tabah, sabar, dedikasi dan menyayangi pelajar seperti anak atau adik sendiri.