31 December 2009

Jakarta -Bandung


 Pada 24-28 Dis.2009 baru-baru ini saya ke Indonesia lagi. Ini kali ke-3 saya ke Indonesia. Sebelum ini, Dis 2007 saya ke Medan dan Danau Toba,  Dis. 2008 saya ke Padang dan Bukit Tinggi, kini 2009 saya ke Jakarta dan Bandung pula. Terima kasih kepada Hairi Yahya yang menganjurkan ketiga-tiga rombongan ini.

Berikut catatan pengalaman  ke Jakarta dan  Bandung

24hb 12. 2009
Bertolak dari Lipis 7.30am. Sampai di KLIA 12.00pm. Terlepas  penerbangan  pukul 1.45pm. Ada masalah. Naik flight 6.00pm. Sampai di Bandara Udara Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Changkareng,  Jakarta 9.00pm ( 8.00pm Indonesia) Pemandu pelancong: Abg Taufik. Singgah makan malam di Restoran Masakan Padang.  Dalam perjalanan  ke Puncak, bas  eksiden di Jalanraya Ciloto- Puncak.  Langgar lori dan MPV. Gear dan brek rosak. Pukul 1.30 pagi. Naik van buruk 13 orang, sesak. Pemandu ni bawak laju. Beg tinggal. Menginap di Hotel Mandala

25hb 12.2009.
Selesai sarapan. Penjual barangan dah menunggu depan bas. Perkara biasa di Indonesia. Bagusnya jualan sebegini boleh tawar menawar hingga 70%. Barangannya juga kadang-kadang tiada di tempat lain.  Terus ke kedai kerepek dan reject shop.
Langsung ke Lorong Kulit. Syurga barangan kulit. Jamil dan Sahnam paling banyak dan paling lama shopping barangan kulit. Beg, topi, jaket, tali pinggang, kasut, sandal, beg tangan, dompet. Semua kulit. Semua dibeli. Nasib baik tak ada seluar dalam daripada kulit... Masa dah lari. Target akan sampai ke Gunung Tangkuban Perahu sebelum pukul 6.

Makan  petang. Ada orang tangkap gambar tanpa persetujuan kami. Macam kat Langkawi. Lepas tu nanti dia cetak dan jual balik pada kita. RP20 ribu (RM7) 4 keping.   Solat jamak . Abang Taufik solat jugak. Dia kata ibunya muslim, ayahnya Kristian.
         
        Terus ke Puncak (kawasan peranginan tanah tinggi yang dingin, macam Cameron Highland), perjalanan perlahan. Tak  dapat tengok kawah Gunung Tangkuban Perahu. Tutup awal. Cuaca terlalu sejuk. Jalan macek (jam) Libur 3 hari.  Ramai orang bercuti di Puncak. Langsung ke kolam air panas  Sari Ater.  Rakan-rakan pekena kopi bandrek, kopi orang Sunda,  campurannya rempah dan halia. Rasa macam rempah ibu-ibu dalam pantang selepas bersalin.

Makan malam menu sup ikan mas.Ada muzik live. Jamil sempat berduet dengan. penyanyi perempuan tu....  Kat luar restoran, macam biasa ramai penjual menunggu.... banyak cenderamata...Kami langsung ke hotel Mutiara, Bandung.

26hb. Dis. 09
Masih di Bandung. Membeli lagi.. ke Pasar Baru pulak. Masing-masing kami ada juta-juta dalam poket...Sampai pukul 9.30 pagi. Kedai baru buka. Kompleks yang besar. Ada lebih 6000 kedai.Tak termasuk penjual yang menjaja barang sambil berjalan. Memang tak  habis pusing.  Eskalator naik dan turun terletak jauh-jauh. Banyak kali tak jumpa jalan naik atau turun. Harga murah la banding dengan Malaysia. Ada juga penjual yang terima duit Malaysia.  Makan siang di tingkat 6. Nasi Boboko. Rp20.000.00(RM7) untuk 2 orang. Murah giler, sedap. Masakan Bandung mesti ada salad atau ulam. Ayam atau ikan mesti dibakar atau goreng.  Air minum teh panas yang tawar. Sebab itu orang Bandung tidak gemuk. Menurut Abang Taufik, wanita Bandung dikatakan tercantik , kulit mulus dan tidak gemuk. Penjagaan diri luar dan dalam adalah antara ajaran ibu kepada anak gadisnya sejak kecil. Patutlah isteri ketiga Abang Taufik wanita Bandung.

Pukul 2 petang kami ke Toko Tiga, pusat jeans original. Jenama Levis, Peirre Cardin, BMW dan banyak lagi adalah separuh harga dari Malaysia.  Jaket Kulit juga ada...Balik semula ke Pasar Baru.ada yang terkilan tak sempat beli kain kerawang, jean dan macam macam lagi yang harganya jauh lebih murah berbanding Toko Tiga. Sampai kedai tutup pukul 6.00pm. Sempat solat Asar di Tingkat 8 Pasar Baru. Paling atas. Dapat lihat sebahagian Kota Bandung.  Nampak dari atas sistem jalanrayanya yang hanya ada satu jalan utama membuatkan traffik sesak.  Bezanya di sini pemandu tidak cepat marah dan tiada yang memecut. Membunyikan hon digalakkan jika nak cepat atau minta laluan. Jika di Kuala Lumpur atau di Malaysia situasinya lain....

Antara yang saya rasa bagusnya peniaga di Bandung ialah mereka tidak mendesak kita membeli, senyum sentiasa di bibir, bahasa juga halus, tiada nampak tanda-tanda dengki antara pesaing, tidak marah bila kita tawarkan harga yang sangat rendah (kecuali harga pas/tetap)... Ini patut dicontohi...

Balik semula ke Hotel Mutiara. Makan malam sendiri di tepi jalan. Pekena Bakso babat, pangsit, yamin. RP40 ribu 4 orang. Rakan – rakan lain merayau ke bandar Bandung..

27.12. 09
9.00 pagi bertolak  ke Jakarta. Singgah di R&R minum kopi bajigur (kopi + santan) dengan pop corn singkong. Sedap.  
Langsung ke Taman Mini Indonesia Indah. Konsep macam Mini Malaysia kat Air Keroh. Luas   200 hektar.  Terbina rumah-rumah dari seluruh wilayah Indonesia, seperti rumah Gadang, Batak, Lombok, Bali, Bugis.. Kalimantan... Ada juga taman tema air, tasik, kereta kabel, muzium, balai seni lukis. Untuk menghabiskan semua perlukan lebih dari 1 hari..

Pukul 2.00pm terus ke Mangga Dua. Kompleks beli belah. Sesak dengan pembeli. Seolah-olah ada sales. Suasana yang sama di mana-mana lokasi perniagaan. Benar Pulau Jawa sangat padat penduduknya. Jakarta sahaja 14 juta orang. Boleh dikatakan setiap meter persegi akan ada orang, atau kereta, atau rumah.   Di Mangga Dua kami membeli lagi..Rupiah kehabisan. Cari Money Changer. Di sini juga. kami shopping sampai tutup kedai. 5.30pm.

Pukul 6.30pm  ke pantai Ancol. Tidaklah menarik sangat. Cantik dan bersih lagi pantai di Malaysia. Pantai ini dibuka 24 jam. Waktu malamnya adalah untuk anak-anak muda buat maksiat.  Kami di sini sehingga pukul 7 malam. Memang dah ramai pun pelaku maksiat yang sampai. 

9.000malam sampai di Hotel Bintang, Jakarta.  Hotel ini paling selesa.

28hb. Dis.2009
Sarapan pagi di hotel-hotel 3 bintang di Indonesia sangat sederhana menunya. Nasi goreng, nasi putih, mihun goreng itu wajib. Lain-lain macam roti bakar, lontong, telur goreng.... biassa je.. minuman jus mangga, jus timun...

Pukul 9.00 pagi singgah di Monumen Nasional, MONAS. Tugu peringatan zaman pemrintahan Sukarno. Bergambar saja. Sempat lagi menambah koleksi cenderamata untuk rakan-rakan di Malaysia.  Masa suntuk untuk ke Tanah Abang. Tak jadi pergi.

Terus ke lapangan terbang 12.00pm. . Berat bagasi sudah excess! Siapa punya bagasi harus bayarin sendirik. Rp20 ribu 1KG. 
Penerbangan pukul 3 petang. Sampai di  KLIA 6.30pm
Sampai di Lipis 12.45 pagi 29.12.2009.







16 December 2009

DAPATKAN 4 ANAK SEKURANG-KURANGNYA.


DAPATKAN 4 ANAK SEKURANG-KURANGNYA

Bila kita kahwin, tentulah nak dapat anak. Penyeri rumah tangga, penerus generasi. Namun seramai mana anak yang disasarkan, perlu difikirkan dengan serius. Ada orang sasarkan 1, 2, 3, 7 atau 13. Kalau dulu-dulu, emak-emak kita beranak ramai. Kalau ramai anak, boleh tolong kerja kat kebun ke, sawah ke. Atau kalau ada anak yang meninggal, ada anak lain lagi sebagai ganti.

Kini kita sedang ingin tak mahu anak ramai. Mungkin sebab pendapatan kecil, tak larat nanti tanggung anak ramai. Atau sibuk kerja laki bini, takut anak tak terjaga. Habis berapa anak disasarkan? Saya cadangkan sekurang-kurangnya 4. Bagi yang belum kahwin atau yang sudah kahwin tapi anak belum sampai 4, perlu fikirkan betul-betul perkara ini.

Apa yang saya sarankan bertolak dari  konsep fertiliti vs mortaliti (kelahiran lwn kematian)
Andaian:
Jika ada 0 anak: bila si ibu dan bapa mati, tiada ganti, (2-2) + 0 maka genenerasi ini pupus. Jika ada 1 anak: bila si ibu dan bapa mati, ganti 1 anak, (2-2) + 1, kalau konsep berniaga, ini rugi, tak balik modal.  Jika ada 2 anak,  bila si ibu dan bapa mati, ganti 2 anak, (2-2) + 2 , ini statik. Sekadar mengganti apa yang hilang. Balik modal aje la.  Jika ada 3 anak, (2-2) +3 , ini bukan sahaja balik modal tapi untung 50%. Kalau berniaga, boleh la untung runcit banyak tu.... Jika anak 4, bila si ibu dan bapa mati, ganti 4 anak, (2-2 )+ 4, maka ini untung 100%.  Simple Arithmetic !  Kalau nak untung lebih, 200% atau 400%, dah tentulah dapatkan anak lebih dari 4.

Inilah sumbangan kita untuk meramaikan umat manusia, tak kira apa bangsa. Jika anda Melayu, maka anda akan menyumbang kepada pertambahan bilangan orang Melayu.
Beritahu formula ini kepada anak-anak kita  bila mereka berkahwin nanti. Maka hasilnya akan berlipat ganda pula 2,4,16,32,64,.....

Jika si ibu sudah tak mampu nak ’produce’ anak sampai 4, tak dapat nak buat apa la.. rezeki banyak tu, syukur je laa.. mungkin kena fikirkan cara lain... tapi anak angkat tak termasuk dalam sifir ni...
Lagi satu, anak-anak yang di’produce’kan ini  mestilah produk sah, yang ada logo HALAL.

Saya mohon maaf jika artikel ini menyinggung pihak-pihak tertentu...

13 December 2009

maha si tua...




 MENITI GRADUASI III

Skrin sejarah  dicatat lagi
Mengulangi nostalgia
Dengan ceritera  baru

Suluh Budiman
Anak-anak kandung mu hadir kini
Mentransformasi diri

Mereka saling berganding
Dengan sinergi di dada
Menghala kemuncak kesarjanaan

Ayuh!
Dengan tawadhuk
Mara wahai saudara kandungku
Kita tidak sahaja  mengajar pengetahuan
Kita mencipta pengetahuan!

UPSI, Tanjung Malim
12 Dis.2009

Sebesar-besar TAHNIAH kepada  20 rakan dari IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis yang mendaftar ke program Doktor Falsafah di UPSI pada 12 Dis 2009.


07 December 2009



  
Kuala Terengganu.

Hujan  telah berhenti di Rantau Abang
Kuala Terengganu kembali cerah dalam nyaman
Lalu Pantai Batu Buruk menikmatkan
Segelas  teh tarik  dan nyanyian ombak
Pasar Payang yang melenguhkan langkah
Memujuk RM bertukar tangan untuk helai-helai baju batik
Memaksa  Monsoon Cup di Pulau Duyung dijengah jauh.
  
Taman Tamaddun Islam melonjakkan kekaguman
Sehening kilauan Masjid Kristal.
Adalah cenderamata paling mengesankan
Tidak semampu kulukiskan
Dengan canting sutera.

Biarlah  keropok Losong atau Seberang Takir
Menceritakan keunikan itu
Dalam cara tersendiri

Kuala Terengganu
Aku akan kembali
Di sini.


5-8 Dis. 2009
Permai Inn,
Kuala Terengganu




03 December 2009

MANDI TANPA SEURAT BENANG…



Bilik air  memang diketahui adalah tempat manusia membersihkan diri. Begitu juga konsepnya dengan tandas. Ia juga tempat kesukaan  syaitan atau jin. Makhluk ini sememangnya tidak kelihatan oleh mata manusia. Sebaliknya mereka dapat melihat apa yang manusia buat.  

           Syor: Ketika azan dilaungkan, sedapatnya, elakkan berada dalam  tandas atau bilik air. Kerana pada ketika azan, syaitan lari lintang pukang lalu berebut-rebut  bersembunyi dalam tandas. Bayangkan, sudahlah mereka bersesak-sesak dalam tandas, kita pun tumpang sekali dengan mereka. Ermh, ermh,  ermh....!!.

         Biasa mandi telanjang ke?  Tak malu ke? Kalaupun tak ada orang tengok atau sekodeng, syaitan dan jin tu ada dok menjamu mata.... Paling utama malu la kat Tuhan.  Malu juga kat diri sendiri.. Dan malu kat makhluk yang kita tak nampak.  Kalau ada semut ke, cicak ke, labah-labah ke kat bilik air tu, diorang nampak juga.... Tolong hentikan segera! Gunakanlah kain atau apa-apa penutup ketika mandi. Bagi lelaki, sebaiknya pakai kain basahan mandi. Atau paling ringkas, pakai seluar pendek atau seluar dalam. Kalau perempuan, lebih lagi la... 

        Perempuan   dilarang keras mandi telanjang. Jin dan syaitan amat-amat berminat mengganggu perempuan yang mandi telanjang. Suatu kejadian benar berlaku di asrama puteri sebuah sekolah di Temerloh beberapa tahun lalu. Pelajar-pelajar perempuan telah bermain lontar-lontar pakain mandi mereka di bilik air asrama. Ketika itu mereka baru selesai sesi latihan sukan. Masa itu sudah senja. Syaitan pun seronok dan tumpang sekaki bermain bersama pelajar –pelajar perempuan yang  kelihatan menghairahkan itu. Hingga ada antara syaitan tersebut samada secara sengaja atau tidak, telah menjelmakan dirinya.  Lalu dilihat oleh sebahagian pelajar. Maka pelajar-pelajar ini serta merta  diserang histeria...  (Sumber: Perawat yang merawat pelajar-pelajar tersebut).

            Antara sebab-sebab hati menjadi gelap ialah, mandi telanjang, kencing berdiri, kencing sambil gosok gigi, melihat kemaluan sendiri (kecuali atas keperluan), melihat pornografi, makan rezeki haram, banyak sangat ketawa dan berada di hadapan cermin terlalu lama.
Wallahua’lam.






16 November 2009

Metamorfosis....hijrah diri


Emmm...Memang seronok menceritakan hal orang. Memang sedap mengkritik. Lebih sedap daripada makan makanan yang sedap. Apabila menceritakan keburukan orang walaupun benar, itu adalah mengumpat. Namun apabila ia tidak benar, itu adalah memfitnah.


Menceritakan kebaikan orang lain untuk diteladani adalah wajar. Bagaimana orang lain berjaya, bagaimana orang lain berubah kepada yang lebih baik. Ini yang perlu difikirkan agar dapat dijadikan inspirasi dan motivasi. Ia amat membantu untuk mentransformasi diri andai masih lagi berada dalam zon selesa.


Sekiranya kita dapat luangkan masa berfikir mengenai orang lain, kenapa tidak fikirkan diri kita sendiri? Maksud di sini selalulah membuat refleksi introspektif. Adakah diri kita hari ini lebih baik dari semalam? Adakah esok kita lebih baik lagi dari hari ini? Seterusnya bagaimana pula dengan esok-esok yang mendatang? Bagaimana kita lima tahun lalu? Setahun yang lepas? Siapa kita pada tahun hadapan? Sepuluh tahun lagi?


Memikirkan diri sendiri bukan bermaksud mementingkan diri. Dalam hal ini, perlu dielakkan selalu menceritakan kehebatan diri kepada orang lain. Atau selalu memandang diri sendiri lebih baik dari orang lain. Ingatlah, orang yang asyik menceritakan tentang dirinya kepada orang lain adalah orang yang berjiwa kecil...


Orang yang berjiwa besar adalah orang yang yang mampu menambah baik dirinya, seterusnya mampu pula menambah baik orang lain di sekelilingnya..


Hotel Grand Continental, Kuantan.

17 Nov. 2009

09 November 2009

Terima kasih yang teramat sangat ku ucapkan. Aku percaya bahawa sebuah kepercayaan yang kau berikan, datangnya dari hati yang penuh harapan. Harapan bahawa kepercayan itu tidak akan dihancurkan.

Lalu aku berkata kepada hati ini;

”Hargailah sebuah kepercayaan. Balaslah dengan sebuah kejujuran.”


10 NOV.2009

Hotel Shahzan Inn Kuantan

01 November 2009

PANDANG BELAKANG

10 Bulan Berlalu Sudah. 2 Bulan Mendatang, 2009 Akan Lenyap. 2010 Akan Mengambil Tempat. Umur Kita Kian Berkurang..


Sejauh Mana Perancangan Yang Tersenarai Awal Tahun Dulu Telah Terlaksana Sehingga Kini? Mungkin Ada Yang Telah Tercapai. Ada Yang Dalam Proses. Ada Yang Nampaknya Sukar Dilaksanakan. Kena Bawa Ke Tahun Hadapan Lagi Nampaknya.. Ada Pula Yang Langsung Tidak Termasuk Dalam Perancangan, Telah Berjaya Dicapai.


Apapun, Syukur Jika Sudah Terlaksana.... Teruskan Usaha Jika Sedang Melaksanakannya.. Dan Muhasabah Jika Gagal Mencapai..


Kita Merancang, Allah Menentukan..

Fail To Plan, Is Plan To Fail.. Plan Your Work, Then Work Your Plan..

29 October 2009

BERUBAH ATAU BEREBAH?

27 IPGM di seluruh negara baru sahaja mendapat jenama baru. Asalnya digelar maktab. Kalau maktab, banyak sinonimnya dengan maktab-maktab lain. Ada yang mungkin keliru apakah maktab ini bermaksud meja (dalam bahasa arab, maktab ialah meja). Adakah maktab itu tempat tinggal jemaah haji di Mekah? Adakah ia sama dengan Maktab Kerjasama Malaysia yang menguruskan kursus-kursus berkaitan koperasi? Dan pemikiran yang paling ketinggalan ialah yang menyangka maktab perguruan adalah Maktab Adabi Gaya Pos yang menawarkan tuisyen secara surat menyurat.


Kini maktab dah bertukar kepada institut. Namun begitu rata-rata masyarakat dan warga IPGM sendiri masih dalam proses menyesuaikan sebutan maktab kepada sebutan Institut (IPG). Di Kuala Lipis ada juga sebuah lagi institut iaitu Institut Pertanian. Tak ketinggalan Institut Latihan Memandu (sekolah memandu) yang sememangnya ada di mana-mana.

Sesuai dengan kenaikan gred IPG, asrama pelajar dikenali sebagai kolej kediaman. Namun warga IPGM TAA masih lagi menyebut asrama. Setiap blok masih lagi disebut blok, bukan kolej. Sewajarnya disebut kolej.


Satu perkara lagi, nama-nama kolej (blok) juga wajarlah ditukar kepada yang lebih gah, lebih aura. Nama-nama bunga seperti Mawar, Cempaka, Anggerik untuk kolej kediaman pelajar perempuan agak kebudak-budakan. Nama kelas di sekolah rendah pun sukar nak jumpa nama bunga lagi sekarang. Ai.. asal perempuan je, bunga....... Nama kolej lelaki seperti Kenari atau Nuri juga agak lucu .... Asal lelaki je...burung... Tolonglah..


Apa kata untuk kolej kediaman pelajar perempuan kita bagi nama.... Kolej Walinong Sari, Kolej Puteri Kamalia, Kolej Tun Teja dan Kolej Wanang Seri. Kolej lelaki pula Kolej Keris Mas dan Kolej Pak Sako. Semua nama ini mempunyai aura dan nilai sejarah khususnya identiti bagi negeri Pahang.

Macamana? Tunggu respon....

28 October 2009

Doa apabila stress

Menyinggah di kaunter Cik Faezah, PT Kewangan IPGM TAA, saya terlihat sepotong doa di tampal di depan mejanya. Doa ketika menghadapi stres. Oooo.... patutla dia nampak cool je.. tak stres langsung... wajahnya manis berseri.. huuhuu...

Grafik doa dari blog: cahayamukmin.

22 October 2009

SEJADAH BERDIRI SENDIRI


Malam tadi 21 Okt. 2009 TV menyiarkan lagi berita terbaru sejadah berdiri. Kali ini di Kedah. Hari sebelumnya di Pasir Mas. 2 minggu lepas berita ini tercetus di Bukit Mertajam dan Johor. Ada yang berpendapat kejadian ini luar biasa. Tidak mungkin perkara ini berlaku spontan akibat tindakbalas kimia atau fizik. Melainkan ada unsur spiritual seperti penglibatan makhluk halus seperti jin Islam. Lantas dikaitkan dengan tanda peringatan kepada manusia yang semakin lalai menunaikan solat pada akhir zaman ini. Ini satu cara memberi peringatan..

Ada yang percaya sejadah tersebut sengaja didirikan oleh mereka yang ingin mencari publisiti. Kalau satu atau dua kali peristiwa ini berlaku, mungkin ia unik dan boleh diterima. Namun bila berturut-turut hari, dan semacam diada-adakan dan berpuluh-puluh sejadah berdiri secara lintang pukang dan jauh-jauh (katanya berjemaah mengikut imam seperti yang berlaku di surau sekolah di Kelantan), mungkin juga ia perbuatan nakal individu tertentu. Paling lucu kalau ia dilakukan oleh budak sekolah. Lalu berpusu-pusulah orang-orang agama, wartawan dan masyarakat melihat kejadian itu dan memberi tafsiran masing-masing.

Epilog;

Malam tadi saya agak lewat sampai ke studio. Bukan apa, sebaik sahaja berita TV memaparkan kisah sejadah ini, di rumah saya telah berlaku kejadian sejadah berdiri. Peristiwa ini berlaku pada pukul 8. 50 malam. Lalu saya segera mengambil gambar sejadah tersebut.

Saya berani bersumpah kejadian ini benar-benar berlaku... Selepas kejadian ini barulah saya pergi ke studio. Di studio, saya menunjukkan gambar ini kepada Mek Su, Fiza, Husna, Cha, Sahiful, Jamil dan Encik Umran.

Sekali lagi saya mengaku kejadian sejadah berdiri ini benar-benar berlaku. Dan anda mungkin bertanya, adakah saya sengaja membuatkan sejadah tersebut dalam keadaan berdiri....


14 October 2009

LAKSA GEBUK


07 -09 Okt 2009 KPKI di Maran.

Saya bersama Roselita bertolak dari Lipis pada pukul 4 petang. Melalui Kg. Lada Jerantut, terus ke Jengka 8, langsung ke Bandar Pusat Jengka. . Saya mengesyorkan Roselita membelok ke simpang Kuala Sentul. Ini jalan pintas paling pantas dari Lipis ke Kuantan. Saya hampir muntah kerana jalannya yang berbelok-belok. Pukul 6.30 petang sampai di Maran Golf Resort. Rozman sampai 30 minit kemudian dari Kuala Lumpur.

3 hari kami berada di Maran, mengendalikan kursus untuk guru-guru prasekolah daerah Maran. Seronok sungguh bersama mereka. Mereka sungguh sporting dan kreatif. Apa yang menarik tentang Maran antaranya sate rusa dan laksa gebuk. Laksa gebuk dibuat daripada tepung gandum, bukan tepung beras. Kuahnya kuah lemak sama seperti laksa pantai timur. Produk ini dihasilkan oleh datuk kepada Cikgu Hartini dari Kampung New Zealand, Maran. Cikgu Hartini dari KEMAS Maran, kami undang khas untuk memberi slot perkongsian pegalaman bersama peserta kursus. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di IPGM Kampus TAA.

Pada malam terakhir, Cikgu Sobar Rahman, rakan lama saya mengajak saya dan Rozman keluar minum ke Bandar Maran. Malangnya hampir pukul 11.30 malam baru saya tersedar bahawa saya tertinggal kunci chalet. Sedangkan pintu terkunci dari dalam.Kami segera balik. Memang benar terkunci…Sobar cuba memanjat tingkap bilik air. Badannya kurus, senang masuk ikut tingkap. Tapi dia tak berani turun ke dalam sebab tingkap tinggi. Saya dan Rozman cuba mengangkat dan membuka kunci tingkap belakang. Kaunter resort sudahpun tutup. Pengawal pula tiada kunci. Pegawai yang uruskan kunci pula sudah tutup telefon bimbitnya. Semua usaha kami gagal. Waktu sudahpun 12.30 pagi.

Akhirnya sebuah kereta BMW datang. Beliau ialah ipar kepada Sobar. Dengan 2 kali percubaan, Encik Ayub berjaya membuka pintu. Namun kami tak sempat berbual panjang dengan beliau. Maran memang hebat. Orang Maran lagi hebat!

Nota; Roselita hanya mengetahui hal ini pada pagi esoknya. Sedangkan bilik beliau berkongsi dinding dengan bilik kami... huhuhu..

Terimakasih kepada Cikgu Hartini Susah-susah je belanja kami sate rusa, laksa gebuk dan lemang. Terimakasih juga kepada PPD Maran. Jus nangka madu Maran memang sedap.. Kepada cikgu-cikgu prasekolah peserta KPKI, terimakasih atas cenderamata dan memori bersama... Kepada Kak Chah penyedia makan minum kami, terimakasih juga. Perkhidmatan Kak Chah taraf 5 bintang.. Kepada Sobar Rahman dan Nazmi, kedua-duanya rakan lama, nilai persahabatan membuatkan kita tidak pernah tua....


24 September 2009

Tolong Lupa Lirik

Syawal masuk hari ke-6. Masih ada lagu raya kedengaran di sana sini. Tapi saya terkilan sungguh dengan lagu raya nyanyian Mamat. Maksud saya liriknya. Ada satu baris liriknya menyatakan begini “Kan ku sujud di kakimu, bila kita bertemu..”


Apa pasal nak sujud di kaki orang pulak ni? Yang saya tahu, hanya penganut agama Hindu yang sujud di kaki orang tua, atau di kaki suami.

Bukankah dah elok dah selesai puasa sebulan, dosa dah terampun, alih-alih balik kampung jumpa orang tua, sujud pulak kat kaki dia... Sujud kepada Allah sahaja Mamat..bukan selain Allah. Itu syirik dan batal aqidah.

Kepada penulis lirik lagu ni, harap menyesal dan bertaubat. (Kecuali penulis lirik ini beragama Hindu). Kepada pihak media, wajib haramkan lagu ni. Sebagaimana lagu hari raya nyanyian Saloma yang ada lirik ’dam dam dum bunyi mercun’ dah tidak disiarkan lagi. Lagu Saloma ni dah dirakam semula oleh Saloma dengan ubahsuai lirik. Kepada syarikat rakaman Mamat, bolehlah rakam semula lagu ni dengan ganti lirik sujud di kaki tu.. mungkin ‘kan ku kucup di dahimu...’

Kita semua tak payah lah simpan lagu Mamat ni dalam telefon bimbit atau lap top dan sebagainya. Nanti kita bersubahat pulak. Apatah lagi dengan bangganya menyanyi lirik tersebut. Jangan sampai terjejas aqidah, disebabkan lidah.


Kepada semua hamba Allah yang muslim, di langit dan di bumi (termasuk Mamat), saya mohon kemaafan. Ikan bawal ikan patin, salam syawal maaf zahir batin.

15 September 2009

PEMAKANAN MINDA

Meneliti beberapa jurnal bakal guru yang major dalam Pemulihan Khas, refleksi yang dibuat seringkali mengupas isu kelemahan daya ingatan dan lupaan. Selain masalah sering tidak hadir ke sekolah,

sering enggan atau lewat masuk ke kelas pemulihan,

masalah lupaanlah yang paling ekstrim.

Refleksi jurnal menganalisis bahawa murid-murid PK seolah-olah tidak pernah diberi teguran atau nasihat, walhal guru PK sudah hampir bankrap idea untuk memotivasikan mereka. Juga apabila mereka

tidak hadir satu hari, mereka akan lupa tajuk yang sudah diajar semalam,

seolah-olah mereka tidak pernah langsung belajar tajuk tersebut

sepanjang hidup mereka sebelum ini.

Apatah lagi jika selepas cuti semester

atau cuti hari raya.

Banyak sebab mengapa hal ini terjadi. Asuhan dan didikan ibu bapa, pemakanan ibu semasa kehamilan, pengaruh rakan sebaya, strategi pengajaran guru,

BBM yang kurang merangsang,

atau motivasi intrinsik

dan ekstrinsik.

Pemakanan yang seimbang sangat penting. Fizikal sihat cergas, mental segar cerdas. Antara cadangan pakar berkaitan pemakanan minda, termasuk juga makanan mencegah penyakit,

amalkanlah memakan makanan

atau amalan berikut:

Blueberry, brokoli, ayam kampung, teh hijau, kolestrum (susu awal lembu), tembikai, lobak merah, jambu batu, bayam, halia, kunyit, kekacang, kuaci bunga matahari, gamat, omega 3 (keli, tuna, salmon, makerel),

vitamin E, vitamin C, zink, prun, soya, madu, kismis, halia, pegaga, kurma, buah tin,

kacang hazel, buah badam, buah berangan, bawang putih, daging (2x seminggu),

daging unta, daging arnab, habbatus sauda, minyak zaitun,

kasturi, susu, susu kambing,labu, minyak sapi, telur,

ambar,bunga cengkih, lobak merah, wangi-wangian,

tembikai,gingko, buah-buahan awal musim, anggur,

daging biri-biri, telur burung merpati,

oren, ginseng,ubat homeopati,

spirulina,saffron, aloe vera,

garam (jilat sebelum makan + doa),

peria, delima dan. terung

ELAKKAN! JERUK, EPAL HIJAU, KEJU (mudah mengantuk. Kalau nak tidur boleh la...), AIR ADA SERANGGA, MINUM KETIKA MAKAN, MAKANAN HARAM ATAU SHUBHAH,

JAGA ADAB dan KATA-KATA.

AMALAN, SOLAT, DOA KUAT INGATAN ATAU ELAK LUPA, PUASA, BACA AL QURAN,

ZIKIR, SALAWAT, BERSUGI, CUKUP TIDUR, KURANG STRESS,

DENGAR MUZIK LEMBUT, LIHAT BENDA-BENDA HIJAU (eg Pokok), BERSANGKA BAIK


SEMOGA BERMANFAAT...INSYAALLAH..

14 September 2009

cinta tak semestinya bersatu

Kadang-kadang kita menyukainya. Terkadang terlalu menyukainya. Hampir-hampir mencintainya. Bahkan sudahpun mencintainya, tanpa disedari. Namun menyukai bukan semestinya mencintai. Jika sudah terlanjur mencintai, cintailah seikhlasnya. Terimalah seadanya. Mencintai bukan semestinya memiliki. Pengorbanan yang paling besar ialah membahagiakan yang dicintai. Bak kata P. Ramlee, berkorban apa saja, harta ataupun nyawa. Walaupun tak berupaya memilikinya.
Tidak dinafikan kegembiraan dan kepuasan hati seseorang ialah apabila berjaya memiliki apa yang disukai, apa yang dicintai dan diidamkan selama ini. Setelah puas berkorban, berusaha sedaya upaya, apakah lagi yang paling membahagiakan selain memiliki apa yang didambakan? Namun terkadang apa yang kita miliki bukanlah tuntas milik kita. Jika kita menganggap sedemikian, seringkali kita cenderung untuk menaklukinya. Memiliki bukan semestinya menakluki.

09 September 2009

Suatu babak sebenar citra anak Malaysia.

SALAM KEMRDEKAAN

Pada pagi cuti Tahun Baru Cina, seingat saya Ahad, tahun 1993, saya dan seorang teman berhasrat bersantai di Genting Highland. Kami bertolak dari Temerloh menaiki moto Yamaha RXZ saya yang baru beberapa bulan dibeli. Masuk ke sempadan Karak, lebuhraya sedang dalam proses naik taraf. Sepanjang jalan batu-batu ditabur tanpa digelek. Kami teruskan juga perjalanan dalam keadaan terhenjut-henjut dan lambat-lambat.
Sungguh tak disangka (walaupun boleh juga dijangka) tayar belakang tiba-tiba pancit. Lokasinya kurang 1 km melepasi simpang Bentong Timur. Ketika itu tiada pekerja lebuhraya pula yang kelihatan. Kereta lalu lalang juga sangat kurang.
Kami termenung sebentar. Sewaktu cuti begini mana ada bengkel yang buka? Kami terus mencari-cari idea. Terfikir nak tolak saja moto sehingga ke tempat yang selamat disimpan. Kemudian kami akan tumpang kereta atau naik teksi ke Genting. Terfikir juga balik saja naik bas. Ambil alat ganti. Atau simpan moto di suatu tempat, datang semula selepas cuti. Akhirnya.... kami tolaklah juga moto perlahan-lahan. Tak berapa lama, kami melihat dari jauh ada seorang lelaki India yang sedang duduk di tepi lori JKR. Setelah hampir kami pun bertanya kepadanya bolehkah dia menolong. Dia kata dia sanggup mencuba. Lalu keputusan diambil. Teman saya mengikuti lelaki India ini ke bandar Bentong menaiki lori JKR. Saya pula menunggu moto. Kurang satu jam mereka kembali. Diiringi seorang pemuda Cina menaiki moto.

Setelah bertanya masalah lebih kurang, pemuda Cina ini mula mengganti tiub moto. Selesai. Saya bertanya bayarannya. Dia kata saya bayar harga tiub sahaja sudah memadai. Ini kerana mungkin dia kasihan melihat kami yang kesusahan, dan sempena Tahun Baru Cina pula. Kami mengucapkan terimakasih atas pertolongannya. Juga kepada lelaki India tersebut yang sudi menolong pada saat-saat sedemikian.

Sempena sambutan merdeka ini, saya mengucapkan jutaan terimakasih dan rasa terhutang nafas kepada:
Para Pejuang Kemerdekaan yang berjuang dengan keringat dan darah demi memerdekakan tanah ini dari rantai penjajah. Doa saya untuk anda semoga anda semua tenteram, sentosa dan berbahagia dalam kehidupan ini dan kehidupan selepas kehidupan ini.
Kepada Anak Merdeka (mereka yang lahir pada atau selepas 31 Ogos 1957 sehingga 15 September 1963) yang memulakan langkah memajukan tanah ini dan menyediakan tapak yang lebih makmur dan subur buat meneruskan kelangsungan hidup kita di atas bumi bertuah ini.
Juga rasa bangga dan setinggi penghargaan saya kepada
Anak Malaysia (mereka yang lahir pada 16 September 1963 dan selepasnya) kerana menunjukkan komitmen dan merealisaikan impian para pejuang kita terdahulu.

Sebagai tanda penghargaan ini saya berjanji dan berusaha mengisi dan mengekalkan kemerdekaan ini dengan nafas saya, tangan saya, lidah saya, hati serta fikiran saya dan tentunya dengan darah saya!!

10 Ramadhan 1430H
31 Ogos 2009
SALAM 1 MALAYSIA -52 tahun kemerdekaan.

03 September 2009

PENTAS KEHIDUPAN


Selembar nostalgia..

Pada 29 Disember 2008 yang lalu, Isnin, saya dan rakan-rakan melawat Istana Lindungan Bulan, Pagar Ruyung, dalam rangka lawatan ke ranah Minangkabau, Sumetera Barat. Istananya sungguh cantik. Namun malangnya kami tidak dibenarkan masuk kerana ada satu majlis berkaitan kemangkatan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar. Meninjau-ninjau di sekitar luar istana, ada penjual keris. Saya membeli 2 parang dan 1 keris. Harganya sangat murah jika dibanding di tempat kita. Terdapat pula 2 kanak-kanak yang nampaknya dhaif, cuba mendekati kami untuk menjual tebu. Kami yang tidak berminat membeli, sekadar menghulurkan duit kecil sebagai sumbangan. Namun ketika si adik lelakinya hendak mengambil duit tersebut, segera si kakak menjerit ”Jangan!! Jangan kamu ambil wang nya!!”
Lalu dia menarik tangan adiknya itu..
”Bonda sudah pesan, kita tidak akan jadi peminta sedekah!!

SYOKNYA TIDUR

Jangka masa tidur yang normal dan sihat bagi seorang dewasa ialah 8 jam. Kita ada 24 jam sehari semalam. Bermakna 1/3 masa kita dalam sehari semalam diperuntukkan untuk tidur. Tidur yang cukup sangat penting bagi merehatkan tubuh, dan membenarkan otak menyusun semula maklumat yang diterima sewaktu jaga. Tak cukup tidur pula boleh mendatangkan pelbagai mudarat. Misalnya tekanan bertambah, hilang tumpuan, mudah marah atau wajah kelihatan kusam.


Jika 1/3 masa kita adalah untuk tidur, ini bermakna seseorang yang hidup selama 60 tahun, akan melakukan aktiviti tidur selama 20 tahun!


Hidup ini singkat. Apakah yang dapat diisi selama 60 tahun hidup di dunia, selain daripada tidur selama 20 tahun?

Makan, termenung dalam kamar kecil, pergi balik kerja/kuliah, pergi bandar...balik kampung.... tengok TV, berapa tahun pula jumlahnya tu ye...?

SALAM RAMDHAN


13 RAMADHAN 1430H