Sudah lama aku tak menziarahi daerah Bera, Pahang. Sebuah daerah yang baru dibentuk pada tahun 1994, pecahan dari daerah Temerloh. Hari ini aku ke Sekolah Kebangsaan Kuala Bera kerana ada tugas rasmi. Nama Kuala Bera diberikan sempena kuala Sungai Bera yang terdapat di sini, airnya mengalir ke Sungai Pahang. Sungai Bera adalah jalan perhubungan Pahang dan Melaka pada zaman feudal. Inilah jalannya Hang Tuah gunakan untuk membawa lari Tun Teja dari Pahang ke Melaka.
Berhenti sejenak di atas jambatan Kuala Bera. Menikmati kelembutan riak-riak ombak Sungai Pahang. Sungai yang sarat dengan sejarah kepahlawanan anak watan. Bayu dingin yang berhembus bagaikan akan bercetera….
Sekonyong-konyong sebuah perahu kajang mudik menyusur ke tebing. Aku terlongo. Keluar seorang lelaki muda, sasa, segak dan berpakaian seperti pelakon bangsawan. Lalu keluar pula seorang perempuan dari perahu tersebut. Mereka menuju ke tebing. Penampilan perempuan ini kelihatan seperti seorang pengantin. Dari jarak pandanganku, dia kelihatan terlalu anggun. Lalu mereka bercakap-cakap. Namun aku kurang jelas apakah topiknya. Perempuan tersebut menangis. Hiba sekali...Oh..alangkah....
Barangkali mereka sedang bertengkar, tetapi secara berhemah. Si lelaki cuba memujuk. Si perempuan semakin teresak-esak pula.. Aku nampak si perempuan menanggalkan cincin di jarinya dan mencampakkan ke tepi semak. Selepas mereka bercakap-cakap beberapa ketika, mereka menaiki semula perahu kajang. Menghilang mudik ke hulu Sungai Bera.
Aku teruja mencari cincin yang dibuang oleh si perempuan tadi. Lalu aku turun ke tebing. Ternyata tidak sukar untuk aku menjumpainya. Sebentuk cincin perak permata nilam keungu-unguan. Muat pula di jari manisku. Aku pakainya sehingga saat ini......
......bersambung.