TERIMAKASIH BANYAK KEPADA RAKAN-RAKAN: ISMAIL, FAUZI, MAZDARUDDIN, HATIM DAN ROZMAN.
Petang Isnin 27 April saya memandu sendirian ke Kuantan melalui LPT. Hampir ke R&R Maran steering bergegar bila meter mencapai 120kmsj. Sesuatu tak kena. Saya berhenti. Tayar ok. Enjin, secara fizikal, ok juga. Saya teruskan perjalanan. Kali ini semakin teruk. Kelajuan tak boleh melebihi 80kmsj. Tempat duduk sekali bergegar. Saya bimbang kalau-kalau tayar tercabut pula. Akhirnya pukul 9 malam baru saya sampai di Duta Village Beach Resort. Taklimat telahpun bermula..
Esoknya saya menghantar kereta berumur 4 tahun setengah ini ke bengkel di Beserah. Driedshaft nya pecah. Diganti dengan kos RM245.00. Satu jumlah yang saya bayar tunai. Jika lebih, terpaksa guna duit plastik la. Bukan nak menunjuk saya bawa duit dua tiga ratus dalam poket. Jumlah ini tiada apa-apa. Akan tetapi sejumlah wang wajar ada dalam dompet jika dalam perjalanan begini. Jika terdesak, carilah ATM di mana-mana.
Insiden kerosakan atau kehilangan harta benda semakin kerap saya temui dalam tempoh dua tahun ini. Kamera digital saya jatuh dalam sungai di Taman Negara, laptop rosak skrin, kereta rosak itu ini. Macam- macam lagi yang melibatkan pengeluaran wang secara kontigensi. Pada mata kasar, asbabnya jelas. Kereta sudah berusia, patut pun rosak sikit-sikit. Laptop saya letak dalam boot kereta selama 4 jam waktu siang , rosak skrinnya. Ganti skrin baru RM800.00. Itu tak termasuk kos menghantar dan mengambil di pusat servis di Kuantan.
Memang sudah jadi sunnah alam setiap kejadian ada asbab musabab. Air membasah, api membakar. Namun kaddang-kadang berlaku juga kejadian yang berlawanan dengan asbab. Atau tanpa asbab
Sorot ke belakang. Minggu lepas, Faizal, rakan sepejabat, terlanggar babi di Gua Musang. Melihat gambar, teruk juga keretanya rosak. Tangki airnya pecah. Masuk bengkel. Bulan lepas Sazali langgar babi juga di Kerambit. Awal tahun ini Mazdaruddin langgar pagar di Benta. CRV nya rosak teruk juga. Sehingga membolehkan beliau membeli sebuah Toyota Vios baru. Ketika kami pergi ke Pulau Pinang tempoh hari, kompressor kereta Fauzi rosak di Gua Musang (keretanya berusia 9 tahun). Kompresornya ditukar yang baru (recond). Kos RM470.00. Padahal dia baru saja ganti kompressor tersebut 2 minggu sebelumnya. Saya tak bermaksud mengaitkan insiden Toyota Unser milik Hairi yang berlanggar dengan pacuan 4 roda 2 bulan lepas dalam tulisan ini. Tetapi kebebasan berfikir sukar dihalang. Insiden ini sangat menyayat hati. Unser tersebut hancur musnah. Hairi pula terlantar di HUKM sebulan lebih. Patah pinggang dan pecah buku lali..
Jika ditanya rakan-rakan sekerja yang lain, tentu mereka ada pelbagai versi. Mungkin saya boleh buat satu koleksi cerita sebegini. Emm...baik juga idea ni... Saya (kita) percaya setiap musibah ada hikmah. Sebagai ujian atau peringatan. Dengan ujian kita sabar. Dengan peringatan kita syukur. Ini bermakna kita masih diberi hidayah olehNya. Adalah malang jika kita tak sedar musibah itu satu ujian atau peringatan. Malang ekstra jika kita menafikannya langsung atau menyumpah-nyumpah pula. Itu pemikiran tak sedar namanya (unconscious minded)
Kepada diri saya sendiri, rakan-rakan atau pembaca tulisan ini saya berpesan:
Setiap rezeki yang kita perolehi, syukurilah ia. Bersihkanlah ia. Banyakkan sedekah. Hindari sifat tamak dan kedekut. Tingkatkan taqwa sebagai hamba Allah dan mantapkan integriti sebagai penjawat awam atau sebagai rakyat Malaysia. Tak kira ruang dan masa.
Kita hidup bukan hanya di sini... Saya tak berani kata; Jumpa anda ”di sana!” Sebab ” di sana” nanti tak pasti kita jumpa atau tidak. Walaupun kita dapat jumpa, kita akan sibuk dengan urusan sendiri... Oleh itu sementara kita masih di sini, marilah kita berpesan-pesan.