Khutbah Jumaat di Masjid Kg. Berchang, Kuala Lipis hari ini 9 April 2010 menyentuh isu kelalaian manusia. Imam, Ustaz Namlur, menyebut dua perkara yang sering melalaikan manusia, iaitu kesihatan dan kelapangan masa. Kita juga tentu ingat hadis menyebut “rebutlah lima sebelum datang yang lima . “
Ya, ketika badan sihat banyak perkara dapat dilakukan. Dapat bersukan, makan yang sedap-sedap dan banyak-banyak, makan angin ke sana-sini, dan apa-apa sahaja yang sayugia dilakukan oleh orang sihat.
Demikian bila ada kelapangan masa. Banyak kerja dapat disiapkan. Dapat beribadah atau melakukan amal jariah lebih banyak, melayani orang lain, atau apa sahaja apabila adanya kesihatan yang baik. Sihat dan lapang. Saling melengkapi.
Oleh itu syukurlah jika kita masih memiliki kedua-dua nikmat ini. Andai kita tak punya salah satu, alangkah malangnya hidup kita. Lapang tapi sakit, atau sihat tapi sempit adalah kombinasi yang pelik. Apatah lagi jika sibuk yang tiada lapang atau sakit yang tiada sihat. Terlalu sibuk, akan membawa kepada sakit. Tak kiralah sakit jasmani atau rohani. Bila dah sakit, tiada lagi kelapangan fikiran. Ya kelapangan di sini bukan sahaja aspek masa, tetapi fikiran juga... Lapang dah jadi sempit. Sihat dah jadi sakit. Ketika sempit lagi sakit sudah menggantikan lapang yang sihat, maka sebuah keluhan adalah harga yang paling mahal, hatta tidak akan mampu melunaskan apa yang telah kehilangan...
Refleksi: Diri ini menginsafi... dan akan sentiasa menginsafi....