21 August 2010

tanam-tanam


Sementara menanti waktu berbuka puasa, berehat di luar rumah. Melihat pokok-pokok kecil yang melilit di pagar dan menjulur di tanah. Bukan semak. Sengaja ditanam. Ah...! manusia memang suka bertanam-tanaman. Naluri.


Teringat aku suatu cerita dalam sebuah ceramah agama.  Ada suatu ketika di syurga, malaikat penjaga syurga melihat seorang  penghuni syurga sedang tertunduk-tunduk berbuat sesuatu. Lalu ditegur oleh malikat; ”Hei manusia! Kamu sedang buat apa tu?” Lalu dijawab oleh manusia ” aku sedang menanam biji benih”. Malaikat lalu menyindir manusia itu ” Di sini bukan tempat bercucuk tanam! Itu di dunia dulu. Di sini hanya tempat menuai hasil!! Memang...sifat manusia suka bercucuk tanam...”


Apa yang seronok sangat menanam pokok di tepi rumah? Kalau nak kira kos, lagi murah beli sayur kat pasar. Dari biji benih, tanah hitam, baja, air siraman, atau kadang-kadang racun serangga. Belum lagi  gangguan lain seperti dipetik oleh orang, pokok mati dek ditinggalkan lama sebab  balik kampung atau bercuti.  Lebih mahal.



Bertanam atau berkebun biarpun pada skala yang amat kecil adalah suatu bentuk terapi minda. Rasa teruja melihat tanaman itu tumbuh membesar, subur dan hijau. Apatah lagi bila ia sudah cukup masa dipetik hasilnya. Kepuasan yang dirasa berpanjangan. Walau kadang-kadang tu, kacang panjang yang dapat dipetik hanyalah 5 urat sahaja.... 


15 August 2010

Bazar ramadhan Raub


Alhamdulillah. Hari ini masuk hari ke-6 kita berpuasa Ramadhan. Masih di fasa pertama. Ramadhan itu dibahagi kepada 3 fasa.   Fasa pertama adalah rahmat. Fasa kedua keampunan dan fasa ketiga adalah kebebasan daripada api neraka.

Ucapkanlah kalimah  tayyibah (Laa ilaaha illallah) sebanyak mungkin pada bulan Ramadhan ini.

Rahmat Allah sentiasa mencurah-curah. Lihat sahaja kesungguhan  kita mengunjungi masjid atau surau untuk bersolat tarawih, membaca Al Quran dan menmbuat amalan-amalan sunat yang lain.  Apabila kita istiqamah melakukan ini Allah dengan rahmatNya akan memberikan keampunanNya. Sebab itu kita disarankan mengucapkan istighafar sebanyak-banyak mungkin pada bulan Ramadhan. Pada fasa ketiga, Allah akan membebaskan hamba-hambaNya yang berpuasa dengan ikhlas.  Maka berdoalah agar Allah membebaskan kita dari Neraka dan memasukkan kita ke dalam syurgaNya.  Doa yang dibaca setiap 4 rakaat terawih meliputi  hal memohon keampunan dan pembebasan daripada neraka inilah. Tiada lain.


Catatan:
Semalam 15 Ogos 2010 ( 5 Ramadhan 1431H), dalam perjalanan balik ke Lipis dari Gombak,  saya singgah sebentar di Pasar Ramadhan Raub. Di kawasan lapang tapak Pekan Sari, di seberang jalan bersetentang dengan Pejabat Pos.  Ramai peniaga dan banyak gerai. Menu wajib di sini biasalah, gulai asam rung. Ada 3 jenis, asam rung ikan, ayam/daging dan sayur.  Lebih ramai peniaga berbandig Lipis. Kawasan terbuka dan banyakpilihan juadah. Dalam tak sedar habis juga RM25.00

Apa yang menarik, adanya Martabak Abang Kasim dengan slogan Pon..Pon.. siapa lagi Idlan Raja Lawak Astro bersama Ca Ca turut berniaga di sini. Saya tabik dengan mereka berdua kerana tidak lemas dalam glamor. Sanggup berniaga di pasar Ramadhan.  Cuma tak sempat bertanya, mengapa mereka memilih lokasi di Raub?