09 July 2011

Tanah China 2


Hari 2: 
Selepas sarapan pagi di hotel  (makan mee cawan yang dibawa dari Malaysia),  kami gerak ke Shenzen. Sebuah bandaraya yang dilahirkan sejak 2000. Dong Zio Pheng memulakan dasar buka pintu kepada  perdagangan luar menjadikan Shenzen yang dulunya hutan belukar kini sebagai bandaraya yang amat pesat maju.  Kelihatan gambar Dong Zio Pheng terpampang di tengah bandaraya.  Ramai pelabur  dari Singapura dan Malaysia  di Shenzen. Pelabur dari  luar tidak dikenakan cukai selama 5 tahun pertama.  Misalnya konsultan lanskap Shenzen antaranya adalah orang Singapura.

 Perjalanan dari Ghuangzao ke Shenzen memakan masa hampir 3 jam. Walaupun perkhidmatan keretapi Guangzhou- Shenzen ada setiap 15 minit dengan jangkamasa perjaanan 40 minit sahaja, namun pakej kami menaiki bas. Lagipun tiket keretapi agak mahal, kira-kira RM40.00.  

 Shenzen dikenali sebagai kota laici. Pokok laici banyak di tanam di tepi- tepi  jalan.  Shenzen juga dikenali sebagai kota orang muda. Sebagai bandar baru, para belia menguasai kehidupan di sini. Selain tiada kelihatan motosikal  (Golongan pekerja hampir semua menggunakan pengangkutan awam), tiada kelihatan orang tua di sini.  Nisbah perempuan dengan  lelaki di Shenzen adalah  7:1. Salah satu sebab lagi kenapa tiada orang gemuk di sini ialah di sana sini kelihatan pejalan kaki. 

Seperkara yang menarik perhatian ialah ramainya orang berjalan kaki di kaki lima yang diteduhi pokok-pokok menghijau. Bahkan gadis-gadis yang memakai seluar pendek kelihatan berani berjalan seorang di bawah kegelapan lorong ini pada waktu malam. Saya berani katakan bahawa  saya   lebih takut  berjalan sendiri di Kuala Lumpur,Pulau Pinang, Johor Bharu,  Shah Alam atau Kelang berbanding di  Shenzen.   

   Bandaraya ini dilihat bersih dari tingkap kenderaan pelancong. Tiada kedai-kedai makan kelihatan. Bayangkan kedai-kedai makan di Malaysia yang kerusi mejanya terjulur sampai ke jalanraya.  Kurang bersih dan mengganggu lalu lintas.

Shenzen bersempadan dengan Hong Kong (jalanraya yang kami lalui hanya 100  meter sahaja dari wilayah Hong Kong).  Untuk ke HK, visa dan matawang  Dolar HK  diperlukan.Sepanjang jalan dari Guangzhao  ke Shenzen, kiri kanan jalan dipenuhi pembangunan,samada kilang, penempatan, perladangan, pelabuhan sungai atau bangunan. Guna tanah pada tahap maksimum. Jika di Malaysia, mudah sahaja melihat tanah terbiar.

Sampai di Shenzen, terus ke Pasar Luoho (sama seperti  Mangga Dua di Jakarta) .  Barangan digital amat banyak di sini. IPad semurah RM200.00. IPhone, Nokia N8 dan lain-lain gajet memang banyak lagi murah. Namun kurang pasti pula kualiti dan  perisiannya.  

Malamnya  shopping lagi di Jalan Beijing. Jenama  pakaian sukan 361° sedang popular di sini. Saya membeli sehelai seluar berbasikal dengan harga ¥105.00. Menarik di sini terdapat kesan lapisan batu-batu yang menjadi  jalanraya sejak dinasti Sung (500 tahun lalu) pada kedalaman 1-2 meter.  Diikuti lapisan batu-batu oleh dinasti yang berikutnya.  Setiap dinasti memperlihat struktur  batu yang berlainan. Mengkagumkan. Sememangnya China mempunyai  tamadun yang sangat lama.  Tidak dapat dibandingkan dengan tanahair kita yang tercinta. Namun baiklah hujan batu di negeri sendiri.  

Kami juga singgah di pasar wholesale One link. Di sini banyak barangan cenderamata.  Beberapa patah perkataan cina yang saya tahu dapat membantu saya dalam urusan jual beli. Misalnya ada seorang penjual hampir memarahi rakan kami kerana sangkanya rakan kami itu mahukan bateri percuma  apabila membeli alat urut berbateri. Setelah saya menerangkan bahawa bateri itu diperlukan haya untuk menguji alat itu sahaja barulah dia faham.  Alangkah baiknya jika kita dapat bercakap dalam bahasa cina ini dengan lebih lancar dan banyak lagi kosa kata yang dikuasai. Tak rugi belajar banyak bahasa. Saya sudah sentuh hal ini dalam entri yang lalu. Dalam konteks Malaysia, orang bukan Cina patut tahu bercakap bahasa Cina. Bukan untuk menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa utama, tapi lebih  ke arah mengurangkan prejudis perkauman.

Esoknya kami ke kedai sutera. Sutera China memang terkenal dengan kehalusannya.  Harganya boleh tahan mahal. Tiada seorang pun kami yang mampu  membelinya.  Begitu juga baju  sutera lelaki.  Memang cantik. Namun lelaki Muslim tidak memakai baju sutera.  Seterusnya ke kedai  teh. Teh  adalah lambang klasik China. Perdagangan teh dan candu membuka hubungan China dengan eropah sejak berabad yang lalu.  Macam biasa harganya agak mahal. Setelah kami semua enggan membeli, gadis penjualnya mengekori kami  sampai ke pintu bas. Akhirnya adalah antara kami yang mudah sangat simpati. Saya tidak membeli teh ini, kerana teh yang saya beli di Cameron Hoghland masih banyak di rumah. 

Seterusnya ke pusat jed dan batu permata.  Di sini kami kena tipu lagi. Mulanya kami dihadiahkan dengan dua batu jed setiap seorang. Setelah diterangkan kelebihan memakai jed,  tauke jed pun menceritakan bahawa isterinya orang Malaysia. Baru-baru ini dia mendapat anak lelaki. Dia sangat gembira. Dia mahu menjual mana-mana set batu permata serendah ¥6000.00 sehingga ¥20,000.00 (20 ribu yuan!) kepada setap kami. Kami hanya perlu bayar dengan harga RM300.00 hingga RM400.00 sahaja sebagai ang pau kepada anaknya.. Hampir semua kami membeli set permata  dan jed ini.  Kami dimaklumkan oleh lain-lain kumpulan pelancong, ceritanya sama sahaja.  Tak pasti pula anaknya itu dah berapa tahun usianya.  Takut-takut  5 tahun yang lalu, sama sahaja ceritanya. Pertanyaan, sejak bila orang Melayu minat dengan jed?



Petang kami  ke Splendid China. Di sini ditempatkan lot-lot untuk  56 etnik  Cina  di samping panorama tiruan bagi  tempat-tempat menarik  di China. Menyaksikan  pertunjukan kuda oleh etnik Monggolia, mengingatkan kepada bagaimana brutalnya etnik ini. Dengan keberanian dan kepakaran berkudalah mereka menumbangkan kerajaan di India dan  Abbasiyah. Satu jam berikutnya menyaksikan pertunjukan kebudayaan berupa tarian etnik. Kesan visual pencahayaannya sangat mengkagumkan. Set pentas , prop, kostum,  gerak tari , system bunyi dan semua elemen persembahannya  betul-betul melopongkan mulut.  Bagai menyaksikan sebuah fantasi cinta sang  puteri bulan. Sebagai kenangan saya membeli DVD  persembahan tersebut untuk tontonan di rumah.

Mengikut pakej, kami sepatutnya akan menyaksikan satu lagi persembahan kebudayaan pada sebelah malamnya. Namun semua kami tidak mahu menonton. Kami mahu shopping. Yuan masih banyak untuk dihabiskan. Ameng terkejut dengan sikap kami. Katanya dia belum  pernah bertemu kumpulan pelancong yang gila shopping seperti kami.  Bagaimanapun dia mengikut sahaja.  Sekli lagi kami  ke Luoho Commercial Hall. Sehingga larut malam baru balik ke hotel. Di LCH ramai peniaga pandai bercakap Melayu.  Barangan murah dan boleh ditawar harga gila-gila.  Pelbagai barangan dibeli sehingga beg terpaksa ditambah. 

Hari terakhir,  pukul 10.00 pagi di Shenzen sempat melawat Windows of the World. Di sini dibuat pelbagai replica tempat-tempat bersejarah dan menarik di dunia. Misalnya Menara Eiffel,  Air terjun Niagara, Piramid, Menara Pisa dan banyak lagi. Malangnya tempat menarik bagi Malaysia dibuatnya Genting Highland di sini.  Lambang pusat perjudian.
Setelah penat bergambar dan membeli cenderamata  terakhir, kami bertolak balik ke Guangzhou.  Tepat 9.30 malam kami terbang kembali ke tanahair tercinta,   Malaysia.

04 July 2011

Tanah China


Ermmmm... Setelah 18 hari balik ke Malaysia, baru ada kesempatan menulis kembali.  Sibuklah konon...

Berikut sedikit catatan perjalanan. 
 
Pada 12 hingga 16 Jun 2011 yang lalu berada di Guangzhou dan Shenzen, China. 15 orang ahli rombongan diketuai en. Hairi Yahya. .  Setelah 4 jam penerbangan tiba di lapanganterbang Guangzhou pukul 1.00 pagi. Disambut oleh Ameng, pemandu pelancong berbangsa Cina yang petah berbahasa Indonesia. Telah jadi pemandu pelancong selama 8 tahun, namun tidak pernah ke Indonesia.  Kami menginap di Hotel Euro Asia. 

Hari 1.
Sarapan pagi di hotel. Hanya berani minum teh o dan makan roti kosong. Menu yang lain menimbulkan kesangsian.  Ada juga keledek rebus dan jagung rebus.Rakan memberitahu jika makan keledek atau jagung itu, periuk yang digunakan belum terjamin halal toyyibannya.  Namun kami sudahpun makan mee segera di bilik. 

Seterusnya melawat  Taman Yuexiu, Five Rams Statue. Tidaklah menarik sangat. Sekadar melihat patung kambing. Macam biasa bergambar dan beli sedikit cenderamata.  Jurujual boleh cakap Melayu stail Malaysia dengan agak baik seperti: “harga sudah murah bang”, “beli untuk orang di rumah”. 

Seterusnya ke pusat ubat-ubatan tradisional China. Lebih kepada sebuah farmasi. Milik kerajaan. Lawatan ke tempat ini adalah wajib bagi semua pakej pelancongan ke Guangzhou. Suka tak suka, kita terpaksa melawat juga.  Adalah seorang professor (entah ya entah tidak) yang buat demo pegang rantai besi yang panas membara. Kemudian tapak tangannya itu disapu krim. Tiada kesan melecur. Hampir sahaja kami semua dipaksa membeli pebagai jenis ubat di situ.  Bila saya bertanya rakan-rakan yang pernah ke Guangzhou, ceritanya sama. Kata mereka professor tersebut kononnya sangat sibuk mengajar di Beijing. Namun hari ini dia sempat meluangkan masa  semata-mata untuk pelancong Malaysia. Kami pun kena kencing dengan cerita yang sama oleh prof tersebut. Nak jadi cerita lagi, datang pula 2 orang professor  lain untuk memberi konsultasi kepada kami. Macam kebetulan kononnya. 

Seterunya ke museum peringatan Sun Yat Sen. Malangnya tutup pada hari Isnin. Pemandu pelancong kami  tak peka. Sepatutnya lawatan ke sini tidak diletakkan pada hari Isnin.  Solat Zohor di Masjid Saad bin Abi Waqas, dam menziarah makamnya. Beliau adalah sahabat Nabi SAW yang telah berhijrah ke China sebelum Hijrah Nabi ke Madinah.  Beliau juga adalah bapa saudara NAbi SAW.  Cuma apabila dalam keadaan kita berhadapan dengan makam Sahabat NAbi begini,  tiada panduan khusus atau adab-adab yang tertera di sekitar makam tersebut.  Bagaimana atau apa yang seharusnya dilakukan. Saya sempat bertanya hal ini  dengan seorang Bangladesh yang berehat di tepi telaga Sahabat ini. Namanya Sultan.  Sultan memberitahu kita hanya perlu membaca salawat dan alfatihah. Beliau seorang musafir yang nampaknya akan tinggal agak lama di masjid ini. Di masjid ini kami berjumpa  dengan etnik Umrumchi yang beragama Islam. Mereka hanya memakai seluar  sekadar takat lutut sahaja untuk solat. Kebanyakan mereka menjadi buruh di Guangzhou.




Makan tengahari di restoran Muslim. Menu  nasi putih, ikan masam manis, sup sayur, udang goreng, ayam goreng.  Teh panas sebagai pembakar kalori.  Teringat ketika melawat Bandung, Indonesia, sememangnya teh kosong dihidangkan bersama makan tengahari dan malam. Barangkali inilah sebabnya wanita Bandung dan penduduk Guangzhou, juga Shenzen , tiada yang obes. Aspek ini amat kontra jika di Malaysia. 

Sebelah petang membeli belah di Jalan Shangxiajiu. Pelbagai barangan murah didapati. Untuk mengira nilai barang berbanding RM adalah mudah. Bahagikan dua sahaja. Misalnya ¥40.00 (40 Yuan) jadi  RM20.00. Harga yang dipamerkan memang agak tinggi. Namun boleh ditawar sehingga 75%.  Dan biasanya pelanggan akan dapat harga tersebut. Ramai juga jurujual yang tahu sedikit-sedikit bercakap Melayu. Terutama untuk menyebut angka atau harga. Jika tak tahu, mereka akan menekan kalkulator dan menujukkan harga yang ditawarkan. Pelancong akan menekan pula kalkulator untuk memberitahu harga yang dikehendaki. Begitulah  komunikasinya. 

Saya menjangkakan  5 tahun lagi kesemua peniaga di sini akan  fasih berbahasa Melayu menggunakan laras bahasa penjual dan pembeli. Dan mereka akan berbahasa Melayu ala Malaysia.  Saya bertanya kepada seorang  gadis penjual kain ela, bagaimana beliau dapat bercakap Melayu dengan baik? Katanya ramai pelancong dari Malaysia yang  datang ke kedainya. Dari situ dia belajar sedikit demi sedikit.  Apa yang menkagumkan saya, bahasa Melayu mereka langsung tak pelat.

Selepas makan malam, kami sambung ‘shopping’ di jalan yang saya pun dah lupa namanya.   Gambarannya mungkin seperti Petaling Street. Namun lebih bersih, teratur, bersopan dan professional. Jika kita teringat barangan di pasar malam di Malaysia,atau di kedai Rm2.00,  maka di sini barangan tersebut harganya adalah 1/3 atau ¼ dari harga di Malaysia.  Sebab itu ramai pemborong Malaysia datang ke Guangzhou mendapatkan stok mereka seperti barangan kulit, jam tangan, beg tangan, t-shirt, barangan berlampu  (selalu ada di pasar malam) dan segala bagai.
Kami balik ke hotel hampir pukul 1.00 pagi. Penat membeli belah tak  terasa.... Cuma teringat gadis-gadis jurujual yang majoritinya memakai seluar sangat pendek, menayangkan peha yang putih melepak..... 

Info: Guangzhou bandaraya ke-3 terbesar di China selepas Beijing dan Shanghai.  Penduduknya sekitar 18 juta. 70% berbahasa Kung Fu. Sama seperti Shenzen, bandarayanya dipenuhi bangunan tinggi yang merupakan apartmen. Rata-rata bangunan antara 5 tingkat ke atas hingga 50 tingkat.  Hampir semuanya rumah kediaman. Tanah adalah milik kerajaan. Penduduk terlalu ramai, jadi gunakan ruang secara vertical bukan horizontal.  Berbanding di Padang, Sumatera Barat, bangunan  yang paling tinggi dibenarkan adalah setinggi 5 tingkat sahaja. Ini kerana mengelakkan kemusnahan besar jika berlaku gempa bumi.
Laluan bas pelancong adalah menggunaka highway di tengah bandar. Highway ini berlapis hingga 3 lapis. Oleh itu tidak timbul soal  “jam” seperti  di Jakarta.