26 June 2010

MIRI-BRUNEI


Mulanya saya bersemangat nak menulis tentang  lawatan kami ke Miri-Brunei  pada 21-23 Jun 2010 baru-baru ini. Apabila Jamil telah menerbitkan gambar-gambar lawatan ini ke Facebook, saya jadi kurang semangat pula menulis tentang lawatan tersebut. Kata pepatah Cina; ’sekeping gambar lebih bererti daripada seribu perkataan’ sangat tepat menceritakan hal ini. Apatah lagi satu album gambar telah diterbitkan di Facebook.  Namun apabila teks dapat menceritakan apa yang tidak dapat ditafsirkan daripada gambar, saya kembali teringin menulis tentang perjalanan itu. Lagipun ini versi saya sendiri, daripada pengalaman dan persepsi sendiri.

Hari 1: 21 Jun 2010

Bertolak dari LCCT  pukul 7.40 pagi. Tiba di LT Miri pukul 9.50 pagi. Kami terus ke IPG Miri.  Makan tengahari di pusat bandar bersama Khairul Johan, Pegawai Pengurusan Kolej Kediaman berasal dari Johor. Pukul 1.00 tengahari keluar semula melawat  Bukit Kanada. Tapak jumpaan pertama telaga minyak di Miri. Memang aneh bila minyak digali di atas bukit.  Malangnya muzium petroleum Sarawak ditutup setiap hari Isnin. Cuaca siang di Miri terasa hangat menyengat.



Lawatan diteruskan ke Kuala Baram. Melawat pusat ternakan buaya. Seterusnya ke Lutong. Sekadar melihat rumah-rumah jutawan Miri  yang berharga  suku juta sehingga ke 40 juta setiap satu.  Tidak hairanlah nilai hartanah di sini melambung tinggi. Bandar minyak dihuni para jutawan.

Lukisan senja di Pantai Tanjung Lobang amat klasik. Makan malam di di sini. Hanya ada satu sahaja kedai makan Melayu. Siakap 3 rasa, udang salut tepung, sotong besar masak kicap, goreng pucuk medin dan air kelapa, cukup memenuhi kehendak perut. Membuatkan kami tidur awal. Terrlalu penat dan kekenyangan.

Hari 2: 22 Jun 2010

Pukul 7.00 pagi bertolak ke Brunei.  Di sempadan Sarawak-Brunei, pemeriksaan kesihatan dikenakan, selain imigresen. Lecehnya pemandu terpaksa turun mengalih sekatan jalan yang tiada siapa menjaganya. Selepas melepaskan bas dari sekatan, pemandu turun semula menutup sekatan jalan tersebut.  Perjalanan hampir 2 jam setengah agak membosankan. Sepanjang lebuhraya Belait ke Bandar Seri Begawan tiada langsung pemandangan menarik.

John, pemandu bas kami, seorang Filipina dari Zamboanga, Mindanao. Rajin juga bercerita. Beliau sudah 23 tahun tinggal di Brunei. Berkahwin dengan wanita Sarawak keturunan Cina. Katanya di Brunei sekarang sedang sibuk  dibuat persiapan menyambut hari keputeraan Sultan pada Julai nanti.

Sampai di Jalan Kianggeh, PGGMB Brunei,  kami diberi taklimat dan membuat lawatan ringkas ke ibu pejabat mereka. Sebuah Pertubuhan Guru Melayu yang bertaraf konglomerat. Memiliki bangunan sendiri 18 tingkat,  memiliki sekolah-sekolah rendah dan menengah sendiri. Selain pelbagai perniagaan di dalam dan luar negeri.  Masa yang terhad membuatkan kami terlepas melawat Kampung Air. Sekadar melihat di seberang sini sahaja. Tidak sempat ke seberang sana. Seterusnya solat di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien yang kubahnya dibuat daripada emas tulin. Berbual dengan orang Brunei menyerlahkan budi bahasa mereka.  Adunan kelembutan Melayu dan kehalusan akhlak Islam.



 Menarik di sini, semua papan tanda premis perniagaan dan iklan disertai tulisan jawi. Terdapat juga papan tanda yang mengingatkan orang ramai tentang bahasa Melayu, misalnya; ’Bahasa Melayu Bahasa Rasmi Negara’, ’Gunakanlah Bahasa Melayu.’. Agak berbeza dengan negara kita, Malaysia.

Diteruskan pula ke Balai Menyimpan Alat-alat Kebesaran  Sultan. Simbol-simbol dan maklumat berkaitan dengan monarki Brunei  tersimpan. Aktiviti terakhir membeli belah barang cenderamata. Tidak banyak dapat dibeli kerana matawang Brunei yang tinggi.  Saya hanya menukarkan RM50.00 sahaja dengan memperoleh B21.30. John pula memberitahu sempadan akan ditutup pukul 10 malam. Jadi kami bergegas pulang. 
      


 Sampai di Miri, mencari lokasi makan malam. Restoran Lalapan. Sempena 8 jenis item di dalam setiap pesanan.  Misalnya Lelapan ikan kembung. Itemnya, ikan kembung, timun, pucuk ubi, tauhu, sambal belacan, kubis, kacang panjang dan tempe. Dihidangkan di dalam pinggan tanah liat. Menu jawa.

Hari 3 : 23 Jun 2010
Pukul 9.00 pagi melawat ke pekan Bekenu, dalam daerah Sabis, Miri. Di Pasar Tamu, banyak produk kampung dan kuih tradisional ditemui. Saya sekadar membeli tepung sagu lamantak, belacan tumbuk Bekenu, dan kuih selorot.  Barangan di sini amat murah. Namun untuk dibawa pulang bimbang berat beg terlebih sudah.  Untuk buah dan kuih tradisional, kami makan terus di situ.  Setrusnya  ke Pantai Bungai, lokasi gerai Kaum Kedayan. Peniaganya di kalangan wanita Kedayan. Kami juga menikmati makanan dan buahan di situ.


 
Seterusnya berpatah balik ke Miri mencari ikan terubuk. Lokasinya banyak. Kami memilih gerai di pasaraya E-Mart. Pasaraya ini merupakan pusat sehenti yang lengkap. Orang Brunei akan datang membeli belah setiap minggu di sini selain di sekitar Miri. Satu lagi faktor harga barangan di Miri menjadi mahal. Ikan terubuk dibungkus kemas agar senang dibawa sebagai hand luggage.  Sambil itu kami menambah lagi  barang-barang lain untuk dibawa pulang.

Singgah pula di pusat cenderamata Rong Reng di Jalan Brooke. Semua cenderamata jenama Sarawak ada di sini. Harga pula boleh ditawar. 

Sebelum pulang kami bertemu Timbalan Pengarah IPG Miri, Puan Hajah Tumirah. Orang Negeri Sembilan yang sudah berkhidmat di Sarawak 21 tahun. Terimakasih di atas sambutan dan layanan yang diberikan. Terimakasih juga kepada Awang Tengah, James, Khairul Johan, Mr. Tan, Ling dan Lenny. 
Di Brunei, terimakasih kepada Cikgu Haji Antin, Cikgu Pangeran Hajah Rakiah, Cikgu Hajah Salbiah, Cikgu Haji Awang Jeludin dan lain-lainnya yang tak mampu disebutkan nama mereka.  

Pukul 4.30 kami sudah pun check-in di LT Miri. Sampai di Kuala Lumpur pukul  8 malam.