24 March 2011

oh cikgu PSV


Mengapa lukisan kanak-kanak selalu ada matahari? Mengapa apabila disuruh melukis suasana kampung, kanak-kanak  akan melukis rumah, sawah, gunung, dan tidak ketinggalan ialah matahari? Kedudukan matahari pula selalunya di celah gunung atau di sudut lukisan. 



Ramai di kalangan orang dewasa yang kurang berbakat melukis akan berbuat perkara yang sama juga jika mereka terpaksa melukis.. Persoalan, mengapa hanya itu sahaja gambaran yang mereka tahu?  Kurang bakat mungkin satu sebab.

Saya terbaca beberapa keluhan daripada bakal-bakal guru PSV. Kisahnya mereka ini terlibat dalam suatu program  lawatan ke sekolah yang majoriti muridnya adalah Orang Asli.  Mereka tidak puas hati kerana kumpulan  guru pelatih PSV ditugaskan mengecat mural. Manakala kumpulan Bahasa Melayu, Pemulihan dan Matematik terlibat sepenuhnya dalam aktiviti bersama adik-adik angkat yang terdiri daripada murid-murid Orang Asli. Saya bersimpati dengan keluhan guru-guru pelatih PSV ini. Pihak penganjur program telah menetapkan  pembahagian kumpulan sedemikian.  

Mengapakah persepsi  bahawa guru Pendidikan Seni Visual adalah guru yang hanya atau selalu sesuai untuk acara lukis melukis atau cat mengecat sahaja?  Mengapakah persepsi ini masih wujud pada pada tahun 2011? Jika kita tinjau di sekolah-sekolah terutama sekolah rendah, apakah  tanggapan warga sekolah terhadap guru PSV? Saya percaya kebanyakannya masih menganggap guru PSV adalah guru lukisan.  Atau lebih sedikit sahaja daripada itu. 

Guru lukisan?  Jika pada tahun-tahun 60an, 70an hingga 80an memang matapelajaran pendidikan seni  di sekolah didominasi dengan aktiviti melukis saban minggu. Ia kaedah paling mudah bagi guru yang kurang persediaan. Beri sahaja  sehelai kertas kosong kepada murid, haa melukislah kamu. Tajuk yang diberi, bebas! Lukis apa sahaja.  Selalunya rumah saya, kampong saya, keluarga saya.

Apabila generasi  ini dewasa sekarang, maka inilah persepsi yang mereka anuti terhadap PSV dan guru PSV.  Jika mereka ini menjadi guru yang bukan major PSV, maka apa yang mereka ajarkan murid mereka ialah apa yang mereka pelajari  daripada guru mereka dahulu. Lebih parah kalau guru yang major PSV melakukan hal sedemikian.

Tanyalah guru besar, apa yang beliau jangkakan terhadap PSV?  Mungkin tak begitu penting, sebab bukan subjek UPSR.  Sebab itu pada tahun 6, PSV, Muzik, Kajian Tempatan, PJK selalu ‘disembelih’ semasa P&P demi melatih tubi subjek peperiksaan. Dalam jadual memang wujud. Realitinya subjek-subjek tersebut selalunya sudah menjadi arwah pada tahun 6. 

Sadis jika di IPG (kilang guru) wujud persepsi sebegini. Buktinya seperti kes guru pelatih di atas. Mereka juga berbakat dalam bidang lain. Mereka boleh memimpin,  berkomunikasi, berteater,  berpuisi.  Pendek kata otak kanan dan otak kiri mereka sarat dengan kemahiran.  Inilah produk atau modal insan  guru yang  negara kita perlukan. Sayang jika pakej lengkap mereka ini tidak dimanfaatkan apabila mereka keluar berkhidmat di sekolah nanti. Semuanya disebabkan oleh persepsi yang salah.

 anekdot: PSV: visual yang disenikan secara penuh pendidikan. guru bukan PSV kadangkala berkemahiran juga dalam PSV. hmmm...


22 March 2011


Kucing Bantu Orang Tercekik Tulang

Semalam ummi  menggoreng ikan talapia untuk makan malam.  Ringkas tapi ok.  Talapia merah  memang lebih sedap berbanding talapia hitam. Kini harga talapia merah mencecah RM16.00 sekilogram. 

Sedang  ayah, ummi, ain dan izz seronok meratah  ikan goreng tersebut, eerrkkk..!..  Ummi tercekik tulang. Memang ikan ini tulangnya boleh tahan banyak. Besar-besar lagi. Dalam keadaan begini boleh jadi kalut juga. Tiada cara atau ubat yang ajaib untuk menyembuhkan. 

Ada pelbagai petua bagi ‘melepaskan’  atau mengeluarkan tulang dari kerongkong. Ada yang mencadangkan minum air dalam senduk. Ada pula kata telan nasi sekepal. 

Ayah menyuruh ain memanggil notti, seekor kucing yang selalu lepak di luar rumah. Notti datang. Semuanya hairan. Apakah kaitannya? Adakah kucing akan mengorek mulut ummi untuk mendapatkan tulang tersebut  lalu memakannya? 

Ayah meminta ain memegang  tangan notti. Tangan kucing itu diletakkan di leher ummi. Lalu leher ummi diurut-urut menggunakan tangan kucing ini. 

Setelah beberapa kali urutan, Alhamdulillah, ummi kata tiada lagi terasa tulang itu di kerongkongan. Ummi berterima kasih kepada notti. Notti rileks sahaja..

Nota: petua ini adalah petua tradisional. Ia diilhamkan setelah memerhatikan  tingkah laku kucing yang tercekik. Kucing akan mengurut-urut lehernya dengan tangannya.  

                                                     notti (6 bulan)



20 March 2011

nilai ke-X




Lebih baik menyalakan lilin daripada mengutuk kegelapan.

(Peribahasa Cina)